Khamis, 22 Mei 2014

Teluk Intan 1: peluang sama rata

PRK TELUK INTAN MENJANJIKAN PELUANG SEIMBANG

Pilihan Raya Kecil P76 Teluk Intan yang akan diadakan pada 31/05/14 nanti adalah satu episod demokrasi pilihan raya ala Malaysia yang amat menarik, dan amat istimewa dengan latarnya tersendiri. Persaingan dua calon: Dyana Sofya Mohd Daud mewakili DAP sebagai parti penyandang, sementara Datuk Mah  Siew Keong dari Gerakan/BN, bukan sekadar bekas penyandang, tetapi adalah pemimpin nombor satu sebuah parti yang pernah menguasai sebuah kerajaan negeri. 

Dyana Sofya bukan sekadar pendatang baru, istimewanya ialah  seorang wanita, muda dan lebih mencabar ialah Melayu. Populariti beliau sengaja ditonjolkan oleh pihak lawan, UMNO dan rakan-rakan komponen BN, dengan memperkecilkan keupayaan seorang gadis, mencemuh penglibatan orang Melayu. Sebaliknya pihak kawan khususnya Pas, sebagai satu penghormatan ke atas wanita dan kaum Melayu dan satu cubaan berani DAP menonjolkan kepelbagaian kaum. 

BN menerusi parti Gerakan yang  diberi kuota bagi kerusi parlimen ini sejak beberapa siri pilihan raya, terpaksa mempertaruhkan Presidennya. Ini menjanjikan satu pertarungan hidup mati bagi parti Gerakan, yang semakin hilang glamornya selepas hilang kuasa di Pulai Pinang. Tambahan pula, beliau adalah anak tempatan dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Persekutuan.

Kerusi Parlimen Teluk Intan (dulunya Telok Anson) memiliki beberapa episod menarik dalam acara demokrasi pilihan raya. Kerusi Teluk Intan adalah antara kerusi parlimen dengan komposisi 2 kerusi Dewan Undangan Negeri di bawahnya yang tidak banyak terlibat dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya. Dua kerusi DUN: Pasir Bedamar, kerusi kawasan bandar majoriti pengundi Cina, sementara kerusi Changkat Jong, bersifat luar bandar, majoriti Melayu. Komposisi pengundinya mengikut kaum, Teluk Intan adalah sebuah kawasan pilihan raya campuran sifatnya: Cina 41.9 peratus, Melayu 38.6 peratus dan India 19.0 peratus.

Kerusi parlimen ini mencatatkan sejarahnya dalam PRU3 (PRU 1969) bila Menteri Kebajikan Masyarakat, Dr Ng Kam Poh, calon MCA mewakili Parti Perikatan, yang mempertahankan kerusi itu, ditewaskan oleh seorang inspektor tiket bas, Chan Fu King. Chan salah seorang giant killers dalam PRU 1969, seorang ahli biasa DAP dari Ipoh dan DAP tidak mempunyai cawangan di Telok Anson masa itu. Kekalahan Dr Ng, salah seorang menteri yang kalah dalam PRU itu, dengan majoriti sebanyak 3,774 undi adalah besar berbanding jumlah pemilih pada masa itu.

Dalam PRU 1974, kerusi ini diberi kepada Gerakan, di mana calonnya Aw Hock Chong menang dengan majoriti 1,249 undi untuk menumpaskan Fu King. Kerusi DUN Pasir Bedamar, yang merangkumi bandar Telok Anson, dimenangi calon DAP menerusi Tee Ah Kow menewaskan K.Ramasamy, calon PPP yang bertanding atas tiket BN, yang mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRU 1969. Dalam PRU 1969, Ramasamy mengalahkan calon Perikatan dari MCA. 

Sungguhpun DAP kalah di Telok Anson dalam PRU 1974, namun masih mengekalkan kerusi DUN (Pasir Bedamar) kepada pihak pembangkang, dalam suasana prestasi buruk pembangkang setelah 3 pembangkang utama di Semenanjung: Pas, PPP dan Gerakan menyertai UMNO, MCA dan MIC bersama parti dari Malaysia Timur membentuk BN. 

Dalam PRU 1978, sokongan kepada pembangkang meningkat terutamanya di kawasan bandar. Di Telok Anson, bagi kerusi parlimen, sekali lagi Aw Hock Chong (Gerakan/BN), menewaskan Chan Fu King (DAP), juga dengan majoriti kecil, 1,393 undi. Kerusi DUN Pasir Bedamar, Thee Ah Kow dari DAP mengekalkan kerusi dengan majoriti besar, 4,481 undi.  

PRU 1982, sungguhpun BN mengekalkan kerusi parlimen, tetapi dengan majoriti yang merosot. Sekali lagi, tokoh veteran DAP, Chan Fu King bertanding dan tewas dengan 832 undi sahaja iaitu majoriti 3.18 peratus. Kerusi DUN Pasir Bedamar dimenangi DAP menerusi Mohd Fadzlan Yahya, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pusat, tetapi dengan angka majoriti yang menurun berbanding PRU 1978, sebanyak 2,735 undi atau 18.22 peratus. 

Dalam PRU 1986, yang mempertontonkan prestasi DAP terbaik dalam 5 siri PRU disertainya, tetapi terjemahan pungutan undi di Teluk Intan sebaliknya. Bagi kerusi Parlimen, DAP yang mempertaruhkan Mohd Fadzlan, dikalahkan oleh Ong Tin Kim dari BN dengan majoriti 1,443 undi atau 5.0 peratus. Mohd Fadzlan yang pertahan kerusi DUNnya, menang dengan majoriti 3,178 undi atau 17.17 peratus. 

Menjelang PRU 1990, parti-parti pembangkang membuat pakatan pilihan raya menerusi Angkatan Perpaduan Ummah di kawasan luar bandar dan Gagasan Rakyat di kawasan bandar dan Sabah. Kerusi Pasir Bedamar masih dikekalkan oleh DAP menerusi Loh Jee Mei dengan majoriti lebih besar 4,340 undi. Mohd Fadzlan dipindahkan ke kerusi DUN Lahat di Ipoh, dan berjaya kekalkan kerusi DAP di situ. Bagi kerusi Parlimen, Ong Tin Kim mengekalkan kerusi BN setelah mengalahkan M.G. Panditan, Naib Presiden MIC yang dipecat, kemudiannya menubuhkan serta mengetuai Indian Progressive Front (IPF) yang bertanding atas tiket DAP, dengan majoriti 2,111 undi.

PRU 1995 yang didakan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya, serta beberapa tuntutan masyarakat Cina dipenuhi kerajaan Persekutuan, memberi kesan besar swinging undi Cina ke pihak BN. Kerusi negeri Pasir Bedamar yang dikuasai parti pembangkang sejak 6 kali PRU (1969-1990) jatuh ke tangan calon Gerakan/BN, Mah Siew Keong. Beliau menang dengan majoriti 3,172 undi. Ong Tin Kim kekalkan kerusi parlimen dengan majoriti besar, 13,968 undi. 

Kesan gelombang Reformasi 1998, yang mengubah corak pengundian kawasan Melayu dan kawasan luar bandar, tetapi kesannya kurang menonjol di kawasan Teluk Intan dalam PRU 1999.  Kerusi Pasir Bedamar, dirampas balik oleh DAP, menerusi Seah Leong Peng. Beliau menang dengan majoriti besar, 5,038 undi. Bagi kerusi parlimen, Mah Siew Keong menang dengan majoriti 2,783 undi sahaja mengalahkan Raj Nalaiya dari DAP. Keseluruhannya pencapaian DAP amat berkurangan berbanding dengan beberapa PRU sebelumnya.

Sebelum reformasi, satu pilihan raya kecil kerusi Parlimen Teluk Intan diadakan pada 17/05/1997, berikutan kematian wakil rakyatnya. DAP menang menerusi M. Kulasegaran, dengan majoriti 2,916 undi mengatasi calon BN dari Gerakan. 

PRU 2004, pilihan raya pertama selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya yang difokuskan kepada pengwujudan lebih banyak kawasan campuran, setelah swinging besar pengundi Melayu ke parti pembangkang dalam PRU 1999. Kali ini, pengundi semua kaum dan dari berbagai kawasan memihak ke BN, menghasilkan kemenangan paling besar buat BN. Seah Leng Peng yang mengekalkan kerusi DUN Pasir Bedamar, dengan majoriti lebih kecil, 3,391 undi, sementara Mah Siew Keong memenangi kerusi parlimen dengan majoriti lebih besar, 10,041 undi. Pencapaian DAP lebih merosot berbanding PRU 1999. 

Mah Siew Keong yang mewakili BN menerima kesan dari gelombang tsunami politik 2008 kesan dari swinging undi pemilih India dan peralihan undi Cina 2013, beliau gagal pertahan kerusi dalam PRU 2008 dan PRU 2013. Ini memberikan Seah Leong Peng menambahkan majoriti undi kemenangan DAP dalam PRU 2013 (7,313 undi) berbanding kemenangan M. Manogaran dalam PRU 2008 (1,470 undi). 

Gelombang kebangkitan rakyat dengan fokus yang lebih besar oleh pakatan pembangkang dalam PRU 2013, berbanding dengan agenda menafikan penguasaan dua pertiga BN di Parlimen, dalam siri PRU sebelum, telah merudumkan sokongan rakyat terhadap BN, terutama di kawasan bandar dan kawasan campuran. Kemenangan calon DAP bagi kerusi parlimen Teluk Intan dengan majoriti 15.31 peratus serta menguasai 57.36 peratus undi sah adalah satu kemenangan selesa. Di samping itu, ianya mewakili gambaran kasar pencapaian DAP dalam PRU 2013. 

Latar belakang gelagat partisipasi dan bentuk keputusan di peti undi oleh pengundi Teluk Intan, meletakkan kerusi P76 ini pada persaingan terbuka, sama rata dan evenly contested. BN meletakkan calon dari berbagai parti: MCA, PPP, Gerakan serta UMNO di kerusi tradisinya, kerusi DUN Changkat Jong. BN  menurunkan calon dari kaum Cina dan India di kerusi parlimen dan DUN Pasir Bedamar dan Melayu di Changkat Jong dalam 13 siri PRU. Bukan sahaja kerusi parlimen dan negeri Pasir Bedamar silih berganti antara BN dengan DAP, malah kerusi negeri Changkat Jong pernah dimenangi calon Pas dalam PRU 2008. 

Senario tersebut amat menarik yang memisahkan kawasan pilihan raya Teluk Intan dengan aliran politik nasional dan terdedah kepada beberapa kemungkinan yang tidak mengejutkan. PRK Teluk Intan pada tahun 1997 menyaksikan dalam suasana politik nasional yang selesa untuk BN, tanpa diduga calon DAP dari kaum India memenangi kerusi berkenaan.

Sungguhpun harapan cukup tinggi kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong, yang pernah memenangi kerusi parlimen dan kerusi DUN, pernah jadi Timbalan Menteri, Exco negeri, anak tempatan, yang paling penting Presiden Gerakan Pusat demi memulihkan keyakinan rakyat selepas prestasi buruk BN dalam dua PRU terakhir. Perlu diingat, sebelum ini, dua Presiden parti gagal di Teluk Intan. M.G. Panditan, bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perindustrian & Perdagangan (semasa menjawat Naib Presiden MIC), adalah Presiden IPF, bertanding atas Gagasan Rakyat di kerusi parlimen dan Datu' M. Kayveas, Presiden PPP, bekas Timbalan Menteri, bertanding di kerusi Pasir Bedamar dalam PRU 2013. 

Apakah Siew Keong akan menjadi ketua parti ketiga yang akan tewas di Teluk Intan. Apakah cubaan DAP mengetengahkan calon Melayu buat pertama kalinya, setelah berjaya beberapa orang Ahli Parlimen bagi kaum Cina dan India, akan dapat memenuhi aspirasi politik baru yang akan mewarnai masa depan politik Malaysia, politik berasaskan kesamarataan, nilai-nilai moral tuntutan universal dengan mengetepikan pengenalan kaum. Kemungkinan calon Melayu yang mewakili generasi terpelajar dan muda akan menguasai PRK P76 akan menjadi realiti, kerana rakyat di sini pernah mengangkat calon Melayu DAP sebagai wakil rakyat.

PRK P76 amat penting bagi kedua-dua parti: Gerakan dan DAP, kerana hasil PRK ini menentukan masa depan mereka. Kemenangan buat Gerakan yang meletakkan Presidennya menentukan penerimaan rakyat selepas perubahan pucuk kepimpinan. Bagi DAP, kemenangan Dyana Sofya membuktikan DAP sebuah parti yang diterima semua kaum.


 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan