Selasa, 13 Mei 2014

Politik Terengganu 1

POLITIK INSTANT DI TERENGGANU

Episod keluar masuk parti di Terengganu dalam tempoh 24 jam amat menarik. Kelmarin Menteri Besar, DS Ahmad Said letak jawatan. Jam 8.30 malam tadi (Isnin 12/05/14), ADUN Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman angkat sumpah sebagai MB Terengganu ke 14. Jam 12.00 malam tadi, ADUN Kijal DS Ahmad Said dan ADUN Ajil, Ghazali Taib, istihar keluar UMNO dan menduduki DUN sebagai ADUN Bebas. Kedudukan kerusi DUN Terengganu, jam 1.00 pagi tadi: BN 15, Pas 14, PKR 1 Bebas 2. 

Jam 8.30 pagi tadi (Selasa 13/05/14), ADUN Bukit Besi, Roslee Daud istihar keluar UMNO dan jadi ADUN Bebas. Sebelah petang: 3 ADUN UMNO: Dato' Mohd Jidin Safie (Permaisuri), Ir Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Muhamad (Hulu Besut) yang disebut menyertai kumpulan DS Ahmad Said, menafikan mereka keluar UMNO.

Justeru itu, petang tadi Penasihat Undang-undang Negeri memaklumkan kerajaan BN masih teguh dengan keahlian: BN 15 (tambah 1 - Speaker DUN), Pas 14, PKR 1 dan Bebas 3. Speaker DUN membuat sidang media, tiada pembubaran DUN.

Jam 9.30 tadi, ADUN Bukit Besi menarik balik surat keluar parti yang dihantar ke Pejabat Agung UMNO pagi tadi. Ini menambahkan kerusi BN dan mengurang kerusi ADUN Bebas: BN 16 (termasuk Speaker), Pas 14, PKR 1 dan Bebas 2.

Apa pun, kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan MB baru, sebuah kerajaan tanpa majoriti. Bila-bila masa boleh berlaku sebarang kemungkinan buruk. Terdedah kepada bahaya undi tidak percaya. Keadaan sama berlaku di Selangor dan Perak selepas PRU3 (PRU 1969). Kedudukan kerusi DUN Selangor: kerajaan 14 pembangkang 14, Perak: kerajaan 19 pembangkang 21. Keadaan masa itu diselamatkan oleh pergantungan Parlimen dan semua dewan perundangan atau DUN seluruh negara.

Kemelut di Terengganu hari ini terdedah kepada 3 kemungkinan:

1. Ikut kes Perak 2009, sepatutnya kerajaan majoriti perlu dibentuk. Kerajaan BN dengan 15 ADUN sepatutnya ambil status moral dan meraikan prinsip demokrasi berparlimen meletak jawatan untuk memberi ruang mana-mana kumpulan yang boleh membentuk majoriti mudah 17 ADUN membentuk kerajaan. Sistem pilihan demokrasi berparlimen berasaskan seorang ahli mewakili satu kawasan, boleh membentuk kumpulan majoriti. Speaker DUN itu, wakil kawasan mana, beliau bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam PRU lepas dan kalah, mana ada maruah hendak terlibat dalam pengundian dalam sidang DUN, walaupun undang-undang memperuntukan beliau boleh berbuat demikian sebagai sebahagian dewan. Perlu ada maruah dalam politik, be gentlemen. 

Seandainya kes Terengganu tidak diselesaikan seperti kes Perak (2009), masyarakat awam akan memandang rendah keluhuran perlembagaan dan kurang hormat kepada undang-undang ciptaan manusia. Demi memuliakan perlembagaan dan undang-undang negara, kes Perak (2009) dan kes Sarawak (1966) perlu menjadi rujukan dan panduan, untuk mengelakkan pembaziran wang rakyat untuk memanggil satu pilihan raya negeri kerana karenah 2 orang YB.

2. Pihak yang dominan dalam DUN Terengganu ialah UMNO/BN (asal 17 ADUN) dan Pas (14 DUN) perlu ambil peranan utama menyelesaikan kemelut ini untuk mengelakkan penggunaan wang rakyat untuk memanggil satu pilihan raya yang kosnya tentu besar. UMNO perlu cari jalan supaya 2 ADUN berkenaan bersetuju bentuk kumpulan majoriti : UMNO 15 campur 2 Bebas. 2 ADUN Bebas yang keluar UMNO boleh masuk BN menerusi keanggotaan parti komponen lain yang tidak perkauman: Gerakan atau PPP. Tambahan pula Gerakan dan PPP tidak diterima di kawasan bandar, izinkan mereka yang tidak sebati dengan UMNO tetapi sayang kepada BN, boleh terus menyokong BN menerusi Gerakan atau PPP. 

Pihak Pas boleh beri kerjasama bersama ADUN PKR dengan 2 ADUN Bebas membentuk kumpulan majoriti (14+1+2) 17 ADUN. Tak usah berebut siapa patut jadi ketua kerajaan, demi menyelamatkan wang rakyat digunakan untuk mengadakan pilihan raya khusus bagi sebuah negeri. Apa salah, ADUN Bebas atau ADUN PKR jadi MB.  Berkorbanlah demi rakyat,buangkan ego.

3. Jalan akhir demi maruah dan prinsip demokrasi berparlimen tetapi tidak boleh dielakkan penggunaan dana awam yang besar, sebuah kerajaan baru hendaklah dibentuk dengan kembalikkan kepada kuasa rakyat. Biar rakyat menentukan kerajaan pilihan mereka lantaran pilihan mereka dalam PRU13 menyusahkan banyak pihak. Pilihan akhir ini, bukan sekadar melibatkan kos yang ditanggung oleh SPR tetapi parti-parti yang bertanding yang mengeluarkan perbelanjaan untuk menggerakkan jentera parti. Di samping itu, dalam amalan demokrasi pilihan raya di Malaysia, bukan kecil dana awam ditanggung untuk penglibatan berbagai jabatan kerajaan dan agensi awam dengan pelbagai program, kos pengangkutan, elaun dan sebagainya untuk membantu secara tidak langsung jentera kempen parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan.

Penyelesaian terbaik dengan kepentingan rakyat perlu dijadikan agenda utama untuk menyelesaikan kemelut Terengganu. Pihak kerajaan dan pembangkang sama-sama main peranan demi rakyat, demi demokrasi dan demi kedaulatan undang-undang. 

Jam 11.00 malam, Selasa 13/05/2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan