Sabtu, 24 Mei 2014

Teluk Intan 2: cabaran calon Melayu

PRK TELUK INTAN: CABARAN CALON MELAYU 

Menjelang Pilihan Raya Kecil P076 pada 31/05/14, perhatian utama adalah kepada calon DAP; seorang wanita muda, profesional, dari keluarga aktivis UMNO dan paling istimewa beliau adalah Melayu. Uniknya DAP yang digambarkan oleh UMNO dan media arus perdana sebuah parti rasis yang didominasi oleh kelompok Cina, membuat satu keluasbiasaan, calon wanita Melayu. 

Satu keistimewaan DAP berbanding parti lain, ialah mempromosikan serta mengetengahkan calon muda, berpendidikan, profesional. DAP parti yang paling ramai menghantar ahlinya ke Parlimen. Lim Guan Eng berusia 25 tahun semasa mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen mewakili Kota Melaka. Lim Kit Siang berusia 27 tahun semasa memenangi kerusi Parlimen. Farn Seong Tham, berusia 23 tahun sebagai Ahli Parlimen Sungei Besi, Fan Yew Teng, 27 tahun (Ahli Parlimen Kampar), Fung Po Kuan, 28 tahun (Ahli Parlimen Batu Gajah), Teo Nie Ching, 27 tahun semasa memenangi kerusi Parlimen Serdang dalam PRU12 (PRU 2008). Alice Lau berusia 27 tahun memenangi kerusi Parlimen Lanang dalam PRU13 tahun lepas. Itu sekadar beberapa nama. Di kerusi ADUN, DAP mengatasi parti lain menghantar ahlinya ke DUN.

Pencalonan Dyana Sofya Mohd Daud yang baru berusia 27 tahun, bukanlah satu perkara luar biasa. DAP telah lama memberi ruang kepada tenaga muda ke dewan perundangan. Istimewanya Dyana Sofya, wanita Melayu pertama dicalonkan DAP sebuah parti yang didominasi oleh kaum Cina.

Keberanian DAP meletakkan calon Melayu di kawasan pengundi Melayu cuma 38 peratus sahaja, dalam penjelasan membuktikan DAP sebuah parti berbagai kaum. Harapan sebuah bangsa Malaysia yang merdeka dan sedang menuju wawasan negara maju tanpa pengenalan kaum, adalah inspirasi politik baru. Tindakan pengurusan DAP meletakkan calon Melayu, seiring dengan tindakan Pas meletakkan bukan Islam sebagai calon dalam PRU13, adalah antara langkah drastik memenuhi tuntutan politik baru yang berasaskan ketelusan, kesamarataan dan keadilan, bukan lagi politik terpisah oleh batasan rasisme, ragionalisme dan kronisme. 

Dua cabaran utama kepada calon wanita Melayu mewakili DAP dalam PRK P076 Teluk Intan; kemampuan mempertahankan prestasi.  Dalam PRU13, DAP memperolehi 27,399 undi atau 57.36 peratus undi sah, dengan majoriti sebanyak 7,313 undi iaitu 15.31 peratus. Justeru PRK ini tidak akan mempengaruhi struktur kuasa dan kedudukan di Parlimen, dijangkakan peratusan keluar mengundi kurang berbanding 80.70 peratus dalam PRU13. Pengurangan peratusan keluar mengundi, pastinya akan mengurangkan perolehan undi calon bertanding. Pengurangan undi secara langsung akan mengecilkan undi majoriti, akan diperbesarkan oleh media arus perdana mesra UMNO/BN, kemerosotan sokongan kepada DAP. Undi DAP merosot akan disimpulkan tentangan penyokong DAP dari kalangan bukan Melayu terhadap calon pilihan pimpinan parti.

Dalam PRK Dun Kajang tempoh hari, undi PKR serta majoriti adalah lebih rendah berbanding pencapaian PRU13. Itu yang diperbesarkan kononnya sokongan kepada PKR merosot. Peratusan keluar mengundi yang menurun tidak diambil sebagai perbandingan, sedangkan dari segi peratusan undi, undi calon PKR meningkat.

Cabaran kedua, berdasarkan kepada kes pencapaian calon pakatan pembangkang bagi kerusi P162 Gelang Patah dalam PRU12, yang mempunyai 33.85 peratus pengundi Melayu. Kedua-dua BN dan pakatan pembangkang meletakkan calon parti berlainan setiap kerusi. Bagi kerusi Parlimen Gelang Patah: MCA lawan PKR, DUN Skudai, Gerakan lawan DAP, DUN Nusa Jaya, UMNO lawan Pas.

Calon PKR, Dr Zaliha Mustafa memungut 24,779 undi berbanding calon MCA/BN, 33,630 undi. Undi calon pembangkang di N48 Skudai yang dimenangi DAP ialah 23,124 undi dan undi calon Pas di N49 Nusa Jaya ialah 9,259 undi.  Dijumlah undi pembangkang bagi kerusi DUN (DAP+Pas): 32,383 undi. Beza undi calon pembangkang Parlimen dengan calon pembangkang DUN: 32,383 tolak 24,779, iaitu 7,604 undi. Seramai 7,604 pengundi mengundi pakatan pembangkang di kerusi DUN tetapi tidak mengundi calon pakatan pembangkang di kerusi Parlimen. 

Mungkinkah di kerusi Skudai, penyokong MCA tidak mengundi calon BN dari Gerakan, tetapi mengundi calon Parlimen MCA yang mewakili BN. Elemen ini turut membantu kejayaan calon BN mengatasi calon pakatan pembangkang Melayu di kerusi Parlimen.

Jika pengundi memilih corak pengundian sama, DUN dan Parlimen, calon PKR boleh menang dengan majoriti  5,470, setelah dicampur undi calon BN di kedua-dua kerusi DUN: 26,913 undi. Apakah kerana di kerusi Parlimen, diletakkan calon Melayu, pengundi Cina undi DAP di DUN Skudai tetapi undi calon MCA/BN di kerusi Parlimen. 

Tetapi dalam PRU13, bila pakatan pembangkang meletakkan calon DAP, Lim Kit Siang untuk kerusi Parlimen Gelang Patah, undi beliau hampir sama dengan jumlah dicampur undi pakatan pembangkang bagi kedua-dua kerusi DUN. Dalam PRU13, pengundi Melayu adalah 34.27 peratus, 33.85 peratus dalam PRU12. Undi Lim Kit Siang ialah 54,284, sementara jumlah undi pembangkang di kerusi DUN ialah 54,657 undi (33,692 undi DAP di Skudai dan 20,965 undi Pas di Nusa Jaya).  

Dalam PRU13, BN meletakkan calon UMNO, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, sementara dalam PRU12, BN meletakkan calon Cina, dari MCA. Apakah ada perkaiatan kekalahan PKR dalam PRU12 dan kekalahan BN dalam PRU13 di Gelang Patah iaitu bersangkut paut dengan penolakan calon bukan dari majoriti kaum pengundi.

Cabaran kedua ini, jika berlaku di Teluk Intan, iaitu kekalahan calon DAP, usaha untuk mengatasi pengundian berasaskan rasisme dan perkauman masih gagal. Di Teluk Intan, 38.6 peratus pengundi adalah Melayu, tinggi sedikit dari pengundi Melayu di Gelang Patah.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan