Selasa, 3 Jun 2014

Teluk Intan 4: keunikan pengundi Teluk Intan

KEUNIKAN PENGUNDI TELUK INTAN MEMBUAT KEPUTUSAN

  Seramai 20,157 pemilih atau 50.29 peratus dari jumlah 40,076 undi sah telah memilih calon BN, Datuk Mah Siew Keong dalam PRK Teluk Intan, kelmarin. Kegagalan calon yang mewakili parti yang pertahan kerusi Parlimen berkenaan bukanlah satu kejutan. Keputusan PRK tersebut adalah ulangan PRK kerusi yang sama sebelum ini. Kekalahan Dyana Sofya, walaupun dengan majoriti kecil, 238 undi, berbanding calon DAP yang menang dalam PRU13, mendiang Seah Leong Peng menang dengan majoriti 7,313 undi, menggemparkan banyak pihak.

Ulasan menarik yang menceraikinkan kegagalan calon DAP pertahan kerusi dan kejayaan calon BN merampas kerusi yang pernah didudukinya, amat menarik dijadikan bahan-bahan menarik panduan kerja jentera parti menghadapi PRU akan datang. Semua ulasan dan alasan adalah pandangan dan penemuan selepas hari mengundi.

Pandangan yang paling tepat, jujur dan matang ialah kebimbangan veteran DAP, Lim Kit Siang. Lim beri pandangan bahawa BN akan menang PRK ini berdasarkan jentera dan strategi kempen BN yang berfokus kepada realiti tempatan: janji pembangunan, kemudahan infrastruktur,  pembinaan lebuhraya Taiping-Banting, pembinaan sebuah universiti di Teluk Intan, kelebihan calon BN yang lebih matang dan berpengalaman serta bakal dilantik menteri. Calon DAP, Dyana Sofya, mengikut Lim, lebih menguasai media sosial, dengan fokus kepada isu nasional dan kesejagatan, yang hanya mempengaruhi pengundi muda yang sebahagian besarnya tinggal di luar kawasan. Gambaran jujur ini telah awal-awal lagi dibayangkan oleh Lim.

Peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 67.31 peratus, iaitu 40,626 dari 60,349 pengundi, telah dianalisiskan sebagai antara penyebab kegagalan calon DAP mempertahankan kerusi. Pandangan dalaman dan luaran DAP meletakkan faktor ini di tangga utama, kegagalan calonnya. 

Dalam mana-mana PRK, peratusan keluar mengundi adalah  lebih rendah berbanding dengan PRU sebelumnya. Semua PRK selepas PRU13: Kuala Besut, Kajang, Balingian, Bukit Gelugor dan Teluk Intan, peratusan keluar mengundi di bawah 80 peratus, kecuali Sungai Limau iaitu 85.22%, masih rendah berbanding dengan PRU13; 89.4%.  

BN mengekalkan Kuala Besut dan Balingian, dengan peratusan undi dan peratusan majoriti yang meningkat. Di Kajang, PKR berjaya meningkatkan peratusan undi. Di Bukit Gelugor, dengan paratusan keluar mengundi rendah, cuma 56.38 peratus, DAP menang dalam "menang tanpa bertanding". 

Jika peratusan keluar mengundi dijadikan sebab kemerosotan undi, dalam PRK Batu Sapi (2010), cuma 60.94 peratus sahaja keluar mengundi. Dalam PRU12 (2008) peratus keluar mengundi ialah 63 peratus, bila calon BN hadapi lawan mudah, seorang calon bebas. Dalam PRK berkenaan BN ditentang oleh calon popular dan tokoh PKR dan SAPP, gagal menarik peratusan keluar mengundi, memberikan BN kekal kerusi dengan majoriti besar.

Keputusan PRK berbeza dengan pencapaian dalam PRU sebelumnya di mana-mana kawasan di seluruh negara, kerana isu-isu semasa nasional di samping isu tempatan lebih ditonjolkan, tambahan pula seluruh jentera rasmi dan tak rasmi bertumpu di PRK berkenaan. Peratusan keluar mengundi yang tinggi dalam PRK memberi kelebihan kepada BN. PRK bagi Parlimen Pendang (2002), Pengkalan Pasir (2006), Galas (2010) dan Manek Urai (2010), yang menyaksikan peratusan keluar mengundi yang tinggi, membantu BN merampas kerusi Pas: Pendang (86.04%), Pengkalan Pasir (83.01%) dan Galas (83.15%). Manek Urai (87.37%) memberikan BN kalah kecil, 65 undi sahaja. 

Antara punca peratusan tinggi keluar mengundi dalam PRK ialah; kerja keras jentera parti mencari dan mengangkut pengundi yang tinggal di luar kawasan. Strategi klasik BN yang disokong kekuatan sumber kewangan cukup berkesan dalam PRK di mana BN kalah dengan majoriti kecil dalam PRU. Strategi ini berjaya dalam PRK kerana jentera parti bertumpu di situ.

Apabila peratusan keluar mengundi rendah dalam PRK memberi kesan kepada parti yang pertahan kerusi. BN kalah kerusi Kuala Terengganu (2009) 79.76% dan Sibu (2010) 69.33% keluar mengundi. PKR hilang kerusi Hulu Selangor (2010) bila hanya 75.92% keluar mengundi.

Geostrategis Dr Azmi Hassan dari UTM, memberi alasan kekalahan calon glamour Dyana Sofya adalah hasil dari undi protes. Undi protes diterjemahkan dalam bantuk: peratus keluar mengundi yang rendah dan undi rosak. 

Persaingan sengit satu lawan satu di Kuala Besut, Sungai Limau dan Kajang, undi rosak adalah kecil, kurang dari satu peratus. Di Kuala Besut, undi rosak cuma 125 undi atau 0.88%, Sungai Limau; 145 undi (0.62%) dan Kajang; 176 undi (0.62%). Justeru, saingan sengit di 3 PRK berkenaan mempamirkan setiap undi adalah penting, maka kebarangkalian undi protes yang sengaja merosakkan undi tidak berlaku. Jika undi rosak diterjemahkan sebagai undi protes, unsur protes adalah rendah di kerusi berkenaan.

Di Teluk Intan, undi rosak adalah sebanyak 543 undi atau 1.34 peratus. Angka 1.34% adalah angka average sahaja, bukanlah besar sangat, berbanding dengan undi rosak dalam siri-siri PRK dalam tempoh 15 tahun terakhir. Dalam PRK Batu Sapi (2010), undi rosak adalah 372 undi atau 2.38 peratus, Tenang (2011) 1.44%, Hulu Selangor (2010) 1.49%. 

PRK Bukit Selambau (2009) yang ditandingi calon paling ramai, 15 orang, undi rosak 415 undi atau 1.68%. Sepatutnya tiada undi protes, kerana pengundi diberi pilihan yang banyak: calon BN, calon PKR dan 13 orang calon bebas.  Faktor undi protes menerusi undi rosak yang mendorong kekalahan calon DAP, amat boleh dihujjah dan dipersoalkan.

Sungguhpun faktor peratusan keluar mengundi yang rendah berbanding 85% semasa DAP menang dalam PRU13, dengan mengambil kira pengundi muda tidak balik kampung, kenaikan undi BN walaupun cuma 71 undi tidak boleh dipinggirkan. Kenaikan undi BN dalam masa peratusan keluar mengundi yang rendah, menggambarkan peratusan tinggi ayungan pengundi yang lari dari DAP ke BN. 

Kekalahan DAP hasil kemerosotan sokongan pengundi Cina dari 85% dalam PRU13 ke 70%, sokongan pengundi India, turun dari 62% ke 52%. Kenaikan sokongan di kalangan pengundi Melayu dari 25% tahun lepas ke 28%, tidak mencukupi mengimbangani kemerosotoan sokongan pengundi Cina untuk membantu Dyana Sofya, calon muda, bukan orang tempatan, dan kurang pengalaman. 

Kekalahan calon wanita Melayu pertama diturunkan DAP bukan satu episod yang mengejutkan dan di luar dugaan. Amatlah tidak adil dibebankan kelemahan batang tubuh Dyana Sofya berbanding kekuatan pengaruh, pengalaman dan kredibiliti Mah Siew Keong, kerana pengundi Teluk Intan (dulunya parlimen Telok Anson) melakukan 3 keputusan yang di luar kelaziman keputusan demokrasi kepilihanrayaan.

Dalam PRK parlimen Telon Anson (1961), calon bebas Too Joo Hing, bekas Menteri Muda Pelajaran mencipta sebuah kejutan mengalahkan calon MCA/Perikatan yang pertahan kerusi milik partinya yang dimenang dalam PRU1 (PRU 1959). 

Dalam PRU3 (PRU 1969), seorang ahli biasa DAP dari Ipoh, Chan Fu King digelar giant killer kerana mengalahkan Menteri Kebajikan Masyarakat, Dr Ng Kam Poh. DAP tiada cawangan di Telok Anson.

Dalam PRK 1997, DAP membuat satu kejutan sekali lagi, apabila BN yang menang dengan majoriti 13,968 undi dalam PRU 1995, ditewaskan oleh DAP menerusi M. Kulasegaran, dengan majoriti 2,916 undi. 

Kegagalan DAP yang menang dengan majoriti 7,313 undi dalam PRU 2008 dan kalah dalam PRK dengan 238 undi, tidaklah sesuatu yang mengejutkan jika mengimbas semula pencapaian dalam PRK kawasan parlimen ini terdahulu. Keunikan dan keistimewaan pengundi Teluk Intan hari ini dan juga ibu bapa mereka 50 tahun lalu, sebenarnya satu fakta pilihan raya yang tersendiri, mungkin berbeza dalam konteks keseluruhan berbanding kawasan lain. Pengalaman Teluk Intan dengan latar sejarahnya tersendiri, boleh dijadikan satu ciri tingkahlaku partisipasi politik. 


 

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan