Rabu, 30 April 2014

1 Mei

SELAMAT MENYAMBUT PERAYAAN HARI PEKERJA

Pertamanya diucapkan selamat menyambut perayaan Hari Pekerja, 1 Mei, hari ini, kepada semua sektor yang terlibat dengan industri pengeluaran dan perkhidmatan. Waima dalam apa juga bidang penawaran, sektor awam, sektor swasta dan persendirian, di samping menjalankan tugas hakiki memenuhi tuntutan Ilahi; rezeki wajib dicari bukan mengharapkan ihsan insan lain. Hari ini adalah pentas menghargai san meraikan sumbangan semua aktor pengeluaran memenuhi keperluan ummah  demi mematuhi tanggungjawab insan.

Sempena sambutan 1 Mei tahun ini, gabungan partai politik pembangkang dan NGO, menyambutkan dengan himpunan bantah GST (goods and service tax). Setahun dari tarikh 1 Mei hari ini: 1 Mei 2015, kerajaan minoriti 47 peratus yang menguasai Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan cukai berkenaan. Asas bantahan adalah cukai ini akan menjadikan setiap rakyat yang membeli barangan atau perkhidmatan adalah secara langsung penyumbangan cukai. Dengan lain perkataan, cukai setiap orang, di setiap sektor: pengeluaran, pemborongan, peruncitan dan isi rumah sebagai pengguna.

Kenaikan harga barangan yang tidak selari dengan kadar cukai sebagaimana kelaziman yang ditanggung oleh pengguna, memungkinan kos kehidupan akan meningkat. Peningkatan kos sara hidup yang lebih tinggi nisbahnya berbanding cukai, antara lingkaran yang akan menambat masyarakat kepada tekanan perbelanjaan yang menjurus kepada ketidakseimbangan pengurusan diri, rumah tangga dan keluarga.

Kejatuhan harga getah amat dirasai, bukan kepada anggota masyarakat yang terlibat dengan industri berkenaan, tapi juga memberi kesan kitaran kepada sektor lain. Pada harga getah beku, RM2.45 sekilo kelmarin, sungguhpun ada sedikit kenaikan berbanding sebulan lalu, RM2.10 sekilo, pusat pembelian getah di kampung lengang, kunjungan ke pasar harian juga lengang. Tiga tahun lepas, di musim yang sama, harganya cukup tinggi, mencecah RM7.00 sekilo.  Menteri kata pada masa itu, harga getah beku akan menjulang RM10.00 sekilo. Bila masanya. Apakah selepas GST dilaksanakan?

Bagi mereka yang membantah GST dan berhimpum dalam Himpunan 1 Mei di Dataran Merdeka, ada baiknya, kerana amat bimbang kesan kenaikan harga lantaran elemen pencukaian kepada kesahteraan hidup. 

Sebaliknya, bagi mereka yang pesimis dengan himpunan hari ini, ada baik dan logiknya. Kenaikan kos kehidupan lantaran unsur-unsur percukaian adalah elemen yang pasti berlaku dalam kita menuju negara maju. Secara langsung ianya mendedahkan kepada cabaran dan semangat kerja  yang tinggi demi memaksimakan pendapatan untuk memaksimakan kepuasan dalam budaya penggunaan atau konsumerisme. GST akan menghambat kita ke budaya persaingan dari segi: pendidikan, kerjaya, sikap dan persepsi hidup. GST juga akan membantu penyokong dan pejuangan hak kesamarataan menerusi 1Malaysia sama-sama menyumbang dan menjadi pembayar cukai yang aktif untuk kemajuan negara. Tak kira taraf kehidupan, miskin atau kaya, korporat atau marhaen, desa atau kota, sama-sama berkorban dan beri sumbangan untuk negara.

Selamat menyambut 1 Mei, Hari Pekerja 2014. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan