Rabu, 29 Mei 2013

Menjadikan BN parti tunggal

MENJADIKAN BARISAN NASIONAL  PARTI TUNGGAL

Hasil dua pilihan raya umum terakhir PRU12 (2008) dan PRU13 (2013) menampakkan betapa perlu satu iltizam politik ke arah meminggirkan politik berasaskan perkauman, demi pembinaan bangsa dan negara masa depan, ke arah penyatuan rakyat berbagai kaum dan fahaman. Corak pengundian bukan berasaskan kaum tetapi lebih kepada pemilihan parti, menjadikan beberapa parti yang berasaskan perkauman ditolak rakyat.

MCA yang diasaskan penubuhannya oleh masyarakat peniaga Cina, dalam tahun 1949, yang berorientasikan sebuah kelab atau dewan perniagaan. Mengambil langkah awal,  untuk menjaga kepentingan dan peranan masyarakat Cina dalam agenda membuat keputusan dasar awam negara, mencantumkan diri bersama UMNO dan MIC dalam gabungan Perikatan. Penglibatan MCA dalam pembuat dasar awam, memberikan sumbangan besar kepada masyarakat Cina iaitu membuka ruang penganugerahan warganegara. Justeru itu, menampakkan perlonjakkan angka keturunan Cina dalam daftar pemilih selepas hari kemerdekaan. Peranan yang sama dimainkan oleh MIC membantu masyarakat India mendapat taraf warganegara.

Kemerosotoan pencapaian parti-parti Barisan Nasional dalam PRU12, khususnya di Semenanjung, kesan dari ayungan undi yang tinggi di kalangan pengundi India, diikuti pengundi Cina dan Melayu, menghasilkan BN kehilangan suara majoriti di Parlimen serta kehilangan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak, serta gagal merampas Kelantan. PRU12 memberikan pencapaian terburuk bagi BN, selepas penubuhannya dalam tahun 1974.

PRU13 yang baru berkahir, yang sepatutnya, putaran roda berpihak kepada BN, tetapi peluang ini gagal dimanfaatkan. Sungguhpun berjaya mendapat mandat di Kedah dan Perak, masih gagal di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Walaupun masih menguasai kerajaan Persekutuan, sekali lagi BN gagal perolehi suara majoriti dua pertiga di Parlimen serta bilangan kerusi yang semakin merosot. Di samping itu, BN gagal dapat majoriti dua pertiga di DUN Terengganu, Negri Sembilan, Perak dan Kedah, serta gagal menafikan majoriti dua pertiga kerajaan pakatan pembangkang di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. 

MCA yang mewakili suara masyarakat Cina, cuma mampu pertahan 7 kerusi Parlimen dalam PRU13 berbanding 15 kerusi dalam PRU12 dari 40 kerusi yang ditandingi. Bagi kerusi negeri, MCA cuma dapat 11 kerusi dalam PRU13, berbanding 31 kerusi dalam PRU12 daripada 90 kerusi yang diperuntukkan oleh BN. Ada pengulas nakal istilahkan MCA "parti seven eleven".

Gerakan Rakyat Malaysia (Parti Gerakan),yang ditubuhkan dalam tahun 1968,  sebuah parti berbilang kaum tetapi lebih didominasi oleh masyarakat Cina, alami pencapaian yang lebih teruk berbanding MCA. Dalam PRU13, Gerakan cuma menang 1 kerusi dari 11 kerusi Parlimen, dalam PRU12, Gerakan menang 2 kerusi dari 12 kerusi yang ditandingi. bagi kerusi DUN, kerusi Gerakan berkurang dari 4 kerusi dalam PRU12 ke 3 kerusi dalam PRU13, daripada 31 kerusi yang sama ditandingi dalam kedua-dua PRU. Gerakan yang menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang semenjak 1969, bukan setakat hilang kuasa malah hilang semua kerusinya di Pulau Pinang. Kerusi Parlimen dimenangi Gerakan pun adalah kerusi majoriti pengundi Melayu dan kerusi luar bandar: Gerik (PRU12) dan Simpang Renggam (PRU12 dan PRU13).

PPP juga parti berbilang kaum yang diasaskan dalam tahun 1953, tidak memenangi sebarang kerusi dalam PRU12, dan dalam PRU13 diberi peruntukan tambahan kerusi yang ditandingi, juga gagal memenangi sebarang kerusi.

MIC yang ditubuhkan lebih awal berbanding MCA, masih gagal menyerlahkan organisasi yang mewakili masyarakat India dalam pembuat keputusan awam, memperlihatkan pencapaian yang paling rendah berbanding PRU sebelum 2008. Dalam PRU12, MIC cuma menang 3 kerusi Parlimen dan bertambah kepada 4 kerusi dalam PRU13, hasil dari 9 kerusi Parlimen yang ditandinginya. 7 kerusi negeri dalam PRU12 menurun ke 5 kerusi dari jumlah 18 kerusi yang ditandingi di seluruh negara.

SUPP yang ditubuhkan dalam tahun 1959, berpusat di bandar-bandar utama Sarawak, cuma menang 1 kerusi dari jumlah 7 kerusi Parlimen yang diperuntukan, berbanding 6 kerusi dalam PRU12. SUPP kalah semua kerusi bandar, dan kerusi tunggal yang dimenangi dalam PRU13 adalah kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam, yang berfokus kepada masyarakat Bidayuh: Serian.

Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berjaya menguasai kerajaan negeri dalam 4 pilihan raya negeri: 1985, 1986, 1990 dan 1994 (gagal bentuk kerajaan setelah beberapa calonnya yang menang melompat parti), dan pernah memenangi 14 kerusi Parlimen,  hari ini semakin mengecil. Ekoran krisis demi krisis yang menghasilkan parti-parti serpihan: UPKO(kepimpinan Bernard Dompok, dulunya Parti Demokratik Sabah/PDS), PBRS (Joseph Kurup), PRBS (Jeffrey Kitingan), SAPP (Yong Teck Lee), AKAR (Mark Koding), menjadikan PBS parti kecil mewakili kelompok kecil dan terhad. Kawasan majoriti Bumiputra bukan Islam di luar bandar dan kawasan bandar yang bermajoritikan pengundi Cina, diagihkan peruntukan kerusi yang ditandingi di kalangan anggota komponen BN: PBS, UPKO, LDP dan SAPP (dalam PRU13, bertanding sendirian). Sebelum PRU 1995, semua kerusi tersebut ditandingi calon PBS.

Dari jumlah 25 kerusi Parlimen di Sabah: 13 diperuntukkan untuk UMNO, sementara baki 12 diagihkan kepada PBS, UPKO, PBRS, LDP dan SAPP (dalam PRU13, SAPP bertanding bersendiri setelah keluar BN, selepas PRU12). Dalam PRU13, PBS dan LDP, masing-masing hilang  1 kerusi Parlimen di kawasan bandar, sementara UPKO tewas 1 kerusi Parlimen luar bandar. Parti-parti komponen BN terselamat 4 kerusi Parlimen di kawasan luar bandar bermajoriti masyarakat Bumiputera bukan Islam: Kota Marudu (PBS), Keningau (PBS), Ranau (UPKO),  Pensiangan (PBRS), kerana kegagalan pakatan pembangkang mewujudkan persefahaman pilihan raya untuk perlawanan dua penjuru. Undi PKR dicampur dengan undi calon pembangkang tempatan; STAR dan SAPP, mengatasi undi calon BN yang menang kerusi-kerusi berkenaan.

Di Sarawak, Parti Bumiputera Bersatu (PBB) yang asasnya gabungan Parti Bumiputera (mewakili Bumiputera Islam) kepimpinan Abdul Rahman Yaacob dan Parti Pesaka (mewakili Bumiputera bukan Islam) yang diasaskan oleh Temenggung Jugah, adalah parti tunggal komponen BN, tidak pernah hilang kerusi Parlimen sejak penubuhan BN, dalam PRU 1974. PBB sentiasa mencapai kemenangan 100 peratus dalam semua PRU. Dalam PRU13, PBB memperuntukan 10 calon Bumiputera Islam dan 4 calon Bumiputera bukan Islam, untuk mengekalkan 14 kerusi Parlimen dan menjadi parti kedua terbesar dalam BN.

SNAP (Sarawak National Party) yang ditubuhkan dalam tahun 1961, di bawah kepimpinan Stephent Kalong Ningkan, pernah menguasai kerajaan negeri Sarawak, sungguhpun masih wujud, tetapi dengan pengaruh yang semakin ke pinggiran. SNAP berfokus kepada kawasan majoriti Bumiputera bukan Islam dan kawasan campuran. Dulunya, SNAP adalah sebuah parti yang disegani dan miliki pengaruh yang melebar, serta melahirkan tokoh-tokoh dari masyarakat Dayak dalam politik nasional seperti Dustan Endawie, Edmund Langgu, Daniel Tajem, Leo Moggie. Perpecahan dalam parti yang menwujudkan parti-parti serpihan yang berleretan sejak 1983: PBDS, SPDP, PRS, dan paling baru, SWP. 

Dalam PRU13, kaum Bumiputera bukan Islam Sarawak diwakili oleh 15 ahli Parlimen: PBB 4, PRS 6, SPDP 4 dan SUPP 1. Data ini memperlihatkan semakin mengecilnya peranan perwakilan Bumiputera bukan Islam dilihat dari sudut masyarakat ini diwakili dalam kelompok kecil yang berbagai. 

Hasil dari PRU13 sebagai lanjutan dari PRU12, sungguhpun keanggotaan komponen BN terdiri dari berbagai parti yang mewakili berbagai kaum dan berbagai kepentingan dalam sebuah negara berbilang bangsa, lebih menampakkan kuasa semakin menebal pada satu puak atau kelompok. Penguasaan 133 kerusi Parlimen oleh BN untuk mempertahankan kuasa mencerminkan kuasa bertompok pada kelompok yang didominasi oleh Bumiputera Islam (termasuk Melayu). Selain UMNO yang kuasa 88 kerusi Parlimen, hanya PBB dengan 14 ahli Parlimen sahaja yang boleh disifatkan sebagai rakan kongsi yang dominan. 

MCA, sebelum PRU13, yang sentiasa menduduki tempat parti kedua terkuat dalam pembentukan kerajaan Persekutuan, kini setaraf dengan parti-parti lain, yang rata-ratanya memperolehi kerusi kurang dari 10. MCA yang mengalami prestasi sangat merosot dan terburuk dalam sejarah, tergelincir jauh dari peranan tempat kedua. Untuk cacatan, wakil MCA pernah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN, atas sifatnya anggota paling kanan, bila UMNO diharamkan dalam tahun 1988.

Amatlah wajar bagi MCA, dengan jumlah ahli Parlimen 7 orang dan 11 ADUN, mengundurkan diri dari sebarang perjawatan lantikan politik khususnya anggota kabinet Persekutuan atau exco negeri. Pencapaian  MCA yang mewakili masyarakat Cina meggambarkan penolakan besar-besaran kepada MCA mewakili mereka. Langkah yang sama dilakukan oleh MCA selepas selesai PRU 1969, yang menyaksikan penolakan masyarakat kota terhadap calon-calon Perikatan, yang diwakili MCA masa itu.

Dengan perwakilan yang kecil berdasarkan kerusi Parlimen hasil PRU13 di kalangan anggota komponen BN selain UMNO dan PBB: MCA (7), PRS (6), MIC (4), SPDP (4), PBS (4), UPKO (4), PBRS (1), Gerakan (1), SUPP (1), sementara LDP dan PPP gagal memenangi kerusi, memperlengkapkan saranan setengah pihak, supaya status BN dikaji dan disemak semula. Apakah masih perlu kumpulan masyarakat yang berbagai yang dipecah-pecahkan entiti untuk menyenangkan BN didominasi oleh satu parti induk dan dianggota belasan parti-parti kecil. Parti-parti besar saperti MCA, PBS, Gerakan, MIC, semakin mengecil peranan kerana semakin mengecil perwakilan masing-masing. UMNO sebagai pusat kuasa, dikelilingi parti-parti kecil di pinggiran, dalam hubungan metropolis-satelit.

Parti-parti dalam pakatan pembangkang jauh ke depan dalam menghantar perwakilan di badan legislatif kerajaan Persekutuan. DAP dengan 38 anggota Parlimen, PKR 30 dan Pas 21, lebih besar pengaruh berbanding parti-parti satelit dalam BN. Di peringkat kerusi negeri, DAP kuasa 95 kerusi, Pas memiliki 85 ADUN dan PKR 49 ADUN, jauh meninggalkan MCA (11 ADUN), MIC (5) dan Gerakan (3). Demi maruah dan political morality, sewajarnya parti-parti yang dulunya berpengaruh, lebih banyak menguasai kerusi Parlimen mengatasi DAP, PKR dan Pas dalam PRU sebelum 2008, sudah sampai masanya memuhasabah dan mengkaji semula kewajaran kelangsungan BN. 

PBB dengan 14 kerusi Parlimen diberikan peruntukan 5 orang menteri dalam kabinet Persekutuan, SUPP 1 kerusi Parlimen diberi 1 jawatan menteri, PBRS 1 kerusi Parlimen juga dapat 1 menteri, SPDP yang memiliki 4 kerusi parlimen tidak diberi jawatan menteri. PRS 6 kerusi Parlimen dapat 1 menteri. MCA dan Gerakan menolak perlantikan anggota kabinet. MIC yang menang 4 kerusi Parlimen, dilantik 2 menteri dan 2 timbalan menteri. 

Pas semasa dalam BN 1974-1978, memiliki 14 ahli Parlimen, diberi 2 jawatan menteri sahaja. Berbanding dengan agihan perjawatan menteri dalam BN sekarang lebih berbentuk atas kepentingan individu dan puak tertentu, bukan mewakili kekuatan parti serta sumbangan parti dalam PRU. 

Apakah konsep pengkongsian kuasa dalam bentuk satu parti induk ditumpangi parti-parti kecil yang diamalkan BN perlu diteruskan atau disemak semula demi memenuhi harapan realiti politik semasa. Semakin mengecil pengaruh sesebuah parti, semakin terancamnya kelompok yang diwakili atau yang ditunjangi.

Selepas PRU 1969 (PRU3), parti kedua terkuat, MCA tidak menyertai kerajaan, menolak semua jawatan menteri dan exco, merombak seluruh sistem. Perikatan dimansuhkan diganti dengan sebuah penggabungan entiti politik, BN, dalam tahun 1974. Apakah peristiwa atau pengalaman yang sama, setelah parti nombor 2 dalam BN, tolak perlantikan yang sama, menjadikan BN berubah, sama ada menjadi satu parti politik baru mewakili kepelbagaian masyarakat  atau UMNO sebagai parti induk mengubah dasar membuka keahlian kepada semua kaum, sebagaimana hasrat dan percubaan pengasas UMNO, Dato' Onn Jaafar, 60 tahun dulu, perubahan keahlian oleh UMNO (Baru) 25 tahun lalu, masih terbatas kepada kelompok tertentu. 

Parti-parti yang memiliki ahli Parlimen antara satu hingga tujuh orang, bolehlah dianggap parti kecil, amat wajar dibubarkan dan diserapkan dalam sebuah parti demi mencapai dan memenuhi inspirasi realiti politik baru yang lebih mendekati hati rakyat. Politik baru yang diimpikan oleh rakyat yang menumpukan kepada: rasuah, kerajaan baik (good governance), keselamatan, pendidikan, inflasi, kemiskinan kota dan graduan muda. Kealpaan kepada 7 isu inilah sebahagian digali mencari kelemahan dan kemerosotan BN dalam PRU13.

Apakah parti-parti kecil ini lebih selesa berada dalam konotasi "pecah dan perintah" yang diamalkan secara tak langsung sekarang ini, demi menjaga kerusi dan kedudukan individu yang memimpin parti-parti mereka, atau demi political survival sekadar mengisi peluang. Keputusan dan tindakan MCA dan Gerakan harus dipuji dalam meniti laluan realiti politik baru yang berasas moral dan maruah, selari dengan tuntutan sejagat yang semakin meminggirkan persoalan fizikal; pembangunan, kemudahan prasarana, bantuan wang ringgit.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan