Rabu, 15 Mei 2013

Tsunami Cina

TSUNAMI CINA HANYA SEKADAR ANDAIAN

Kemerosotan undi dan pencapaian Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) tempoh hari, memberikan reaksi awalnya: pengundi Cina tertipu, orang Cina tidak berterima kasih, kaum Cina tidak menghargai hubungan baik yang dihulurkan oleh orang Melayu. Umumnya memaparkan ledakan tsunami masyarakat Cina, pengundi Cina menolak BN, pemilih Cina mengundi "asal bukan BN". 

Di kerusi Parlimen P48 Bukit Bendera, calon DAP, Zairil Khir Johari memanginya setelah memperolehi 45,591 undi, menewaskan calon Gerakan/BN, Teh Leong Meng yang dapat 12,813 undi. Pengundi Melayu  cuma 13.99 peratus, berbanding Cina 73.74 peratus. Calon Melayu DAP memunggut 78.0 peratus  dari jumlah undi sah di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu. Malah beliau memangi kerusi tesebut dengan majoriti 32,728 undi berbanding dengan calon DAP berbangsa Cina yang menang dalam PRU12, 16,122 undi.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, N36 Pulau Jerejak, calon Melayu mewakili PKR, Mohd Rashid Hasnan memenangi kerusi berkenaan setelah memperolehi 11,805 undi untuk mengatasi Wong Mun Hoe (BN) yang dapat 6,451 undi. Pengundi Cina adalah 48.45 peratus, sementara pengundi Melayu 39.41 peratus. Mohd Rashid menang dengan majoriti 5,354 undi berbanding majoriti 1,258 undi yang dimenangi calon PKR berbangsa Cina dalam PRU12. 

Di kerusi negeri, N30 Mentakab, kawasan 50.94 peratus pengundi adalah Melayu dan 40.95 peratus Cina, DAP yang dituduh parti rasis oleh propagandis UMNO dan media arus perdana, menang menerusi calon Melayu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji. Beliau menang setelah memungut 7,882 undi untuk mengalahkan calon MCA/BN, Datuk Chuah Boon Seong (6,328 undi) dengan majoriti 1,554 undi. Secara tidak langsung ada dua kemungkinan: orang Melayu mengundi DAP, orang Cina tidak menyokong calon Cina.

Keadaan yang sama dengan P80 Raub. Calon Melayu DAP menang di kawasan campuran. Kawasan Parlimen Raub yang dikomposisikan oleh 48.93 peratus Melayu, Cina 40.90 peratus memberikan 23,415 undi untuk Datuk Mohd Ariff Sabri dan 20,601 undi untuk calon MCA/BN, Moh Khai Mun, membolehkan calon DAP menang dengan 2,814 undi.

Di P100 Pandan, kawasan campuran yang mengandungi 48.14 peratus pengundi Cina, sementara pengundi Melayu 46.36 peratus, calon Melayu, Mohd Rafizi Ramli (PKR) menang besar, majoriti 26,729 mengatasi calon MCA/BN, Garry Lim Chin Vee. Calon PKR dapat 48,183 undi atau 69 peratus, sementara BN 21,454 undi. Atas pengundian rasis, calon PKR tidak akan menang sebesar itu tanpa perolehi paling kurang separuh pengundi Cina, dengan andaian rasis undi BN hanya diperolehi seratus peratus dari pengundi Cina.

Calon Pas, Dr Siti Mariah Mahmood berjaya pertahankan kerusi P111 Kota Raja, meraih 58.25 peratus undi di kawasan yang mempunyai hanya 44.60 peratus pengundi Melayu. Beliau perolehi 59,106 undi untuk mengatasi  undi calon MIC/N\BN, S.Murugesan (39,711 undi) dan dua calon Bebas. Beliau menang dengan majoriti 29,345 undi berbanding majoriti 20,751 dalam PRU12. 

Di kawasan Parlimen P116 Wangsa Maju, kawasan yang memiliki 53.50 peratus Melayu, 36.0 peratus Cina, Dr Tan Kee Kwong, calon PKR, berjaya meraih 31,641 undi atau 54.77 peratus dari jumlah undi sah, untuk mengalahkan calon UMNO/BN, Dato' Mohd Shafie Abdullah, dengan majoriti 5,511 undi. Calon BN dapat 26,130 undi. 

Bagi kerusi negeri di Johor, N41 Puteri Wangsa, calon Pas, Abdullah Hussien berjaya memperolehi 54.57 peratus undi, di kawasan campuran, di mana pengundi Cina adalah pengundi teramai, 47.22 peratus, sementara pengundi Melayu 40.20 peratus sahaja, India 11.78 peratus. Calon Pas membolot 20,357 undi, sementara calon MIC/BN, M. Soorianarayanan dapat 16,888 undi, membolehkan beliau menang dengan 3,469  undi. Dalam PRU12, kerusi ini dimenangi oleh calon UMNO/BN dengan majoriti 5,791 undi.

Dari paparan 8 sample di atas, memperlihatkan hujah tabiat pengundian PRU13 cenderung kepada sentimen perkauman.   Yang jelas ialah pengundian merentasi garisan perkauman, sungguhpun diwarwarkan DAP, parti rasis, parti kaum Cina, sementara Pas dilabelkan sebagai extreme Islam, parti umat Islam, tetapi pengundi meminggirkan batasan kaum dan fahaman agama, dengan matlamat sama iaitu menolak calon-calon BN, demi perubahan.

 Di N03 Pemanis, kerusi DUN Johor, calon MCA/BN, Law Chin Hoon berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan memungut 54.86 peratus undi, di kawasan yang mengandungi 56.54 peratus pengundi Melayu, untuk mengalahkan calon Melayu dari Pas, Normala Sudirman dengan majoriti 1,329 undi. Calon BN dapat 10,305 undi, manakala calon Pas, 8,976 undi.

Di kerusi negeri, N54 Pulau Sebatang, calon MCA/BN, Datuk Tee Siew Kiong menangi kerusi berkenaan setelah perolehi 57.20 peratus undi atau 13,554 undi di kawasan yang mempunyai 63.77 peratus pengundi adalah Melayu. Beliau menang majoriti 3,412 undi mengatasi Ungku Mohd Noor Mahmood dari Pas, yang perolehi 10,142 undi.

Bagi kerusi Parlimen, P151 Simpang Renggam yang terdiri dari 56.79 peratus pengundinya Melayu, dan 33.12 peratus Cina, calon Gerakan/BN, Liong Teck Ming, menang setelah perolehi 19,754 undi atau 58.44 peratus, berbanding undi calon Pas, Suhaizan Kayat yang dapat 14,048 undi.

Sementara di P165 Tanjong Piau, kawasan 52.11 peratus pengundi Melayu dan Cina 46.50 peratus, DAP yang meletakkan calon Melayu, Mahdzir Ibrahim, gagal memenangi kerusi ini setelah ditewaskan oleh calon MCA/BN, Wee Jeck Seng dengan majoriti 5,457 undi. Calon DAP dapat 19,581 undi (43.88 peratus) sementara BN, 25,038 undi (56.12 peratus).

Bagi kes Pemanis, Pulau Sebatang, Simpang Renggam dan Tanjong Piau menafikan hujah berlakunya kebangkitan pengundi Cina menentang parti pemerintahan secara besar-besaran. Jika asas pengundian cenderung kepada kaum, calon-calon Pas dan DAP sepatutnya menang di kerusi=kerusi berkenaan. Apa yang berlaku, pengundian berasaskan parti masih menguasai bentuk, gelagat dan kecenderungan mengundi. 

 Keseluruhannya, kemerosotan sokongan kepada BN dalam PRU13 lebih menggambarkan realiti politik baru yang mewarnai ragam pemikiran pengundi. Kenyataannya, pola yang melingkari anti-astablishment bukan terbatas kepada pengundi Cina tetapi impian semua kaum impikan realiti politik sejagat berasaskan nilai-nilai moral dan intergriti. 

12 kes di atas dikutip dari 8 kawasan bandar dan 4 kawasan luar bandar dan pinggiran bandar, menampakkan 2 perbezaan asas corak pengundian. Kesemuanya menafikan dan tidak mewakili suara rasis dan perkauman sempit, tetapi lebih kepada undi kepada parti yang merentasi kaum, pengundi tidak memilih kaum tetapi memilih parti.

Kesimpulannya, pengundi berbagai kaum, baik di sektor kota  mahu pun sektor desa, mengakui sistem demokrasi menerusi sistem pilihan raya perwakilan berasaskan kawasan sedang menuju ke sistem dua parti. Menerusi aliran dan trend ini, sedikit demi sedikit, pilihan pengundi berasaskan kaum semakin terhakis. Atas faktor ini, politik baru yang mensasarkan kepada perjuangan ke arah kemurniaan kehidupan sosial yang adil, bebas dan telus, akan menjadi harapan setiap orang.

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan