Khamis, 9 Mei 2013

Faktor undi Cina

FAKTOR UNDI CINA  PATUT KENA SALAHKAN PENGUNDI MELAYU

Faktor kekalahan besar calon-calon Barisan Nasional yang ditandingi oleh calon-calon Cina dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), menjadikan reaksi utama tokoh-tokoh utama negara. Antaranya respon PM DS Mohd Najib Tun Razak: Pengundi Cina Kena Tipu (berita utama Berita Harian, Rabu 8/5/13). Beliau memperli masyarakat Cina, sebagai diperdaya pembangkang kononnya undi mereka boleh tumbangkan kerajaan.

Dari 37 calon MCA bagi kerusi Parlimen, cuma 7 sahaja yang menang. Timbalan Presiden MCA, DS Liow Tiang Lai, cuma menang dengan majoriti 379 undi di Bentong, berbanding majoriti 12,590 undi dalam PRU12. Naib Presiden, DS Chor Chee Heung, kalah 1,873 undi di Alor Star. Setiausaha Agung, DS Kong Cho Ha, kalah dengan 8,168 undi kepada calon PKR di Parlimen Lumut. DS Dr Ng Yen Yen, seorang lagi Naib Presiden, tidak pertahankan kerusi Parlimen Raub, seolah-olah sejak awal menghidu kekalahan BN di Raub. Dalam PRU13, kerusi Raub dirampas DAP dengan majoriti 2,814 undi. Keempat mereka adalah wakil MCA dalam kabinet Pusat dalam sesi lepas.

Calon Parlimen MCA cuma menang di 6 kerusi Parlimen yang lain: Tanjong Malim (majoriti 4,328 undi), Alor Gajah (majoriti 11,597 undi), Labis (majoriti 353 undi) Ayer Hitam (majoriti 7,310 undi), Tebrau (majoriti 1,767 undi) dan Tanjong Piau (majoriti 5,457 undi).  

Selain Labis dan Bentong, empat kerusi yang dimenangi MCA adalah kawasan majoriti pengundi Melayu: Tanjong Malim (53.52% Melayu), Alor Gajah (58.49% Melayu), Ayer Hitam (57.91% Melayu), dan Tanjong Piau (52.11% Melayu). 

Sementara Tebrau adalah kawasan campuran dengan 47.4% pemilih adalah Melayu.  Di Bentong, 43.14% pemilih terdiri pengundi Melayu. Di Labis, 64.0% pemilih bukan Melayu.

Parti Gerakan, parti berbilang kaum yang didominasi oleh orang Cina diperuntukan 9 kerusi Parlimen dan cuma menang satu sahaja, Simpang Rengam, sebuah kawasan majoriti Melayu; 56.79% pemilih Melayu. 8 kerusi lain yang ditandingi di kawasan bukan Melayu.

MIC yang bertanding di 11 kawasan campuran, mengalami prestasi serupa MCA dan Gerakan. Menang 4 kerusi sahaja: Hulu Selangor, Cameron Highlands, Tapah dan Segamat. Keputusan terbaik adalah di Hulu Selangor dan Tapah. Di Hulu Selangor, menang dengan majoriti 3,414 undi, di kawasan majoriti Melayu; 56.76% pengundi Melayu. Di kerusi Parlimen Tapah, majoriti 7,927 undi, di kawasan campuran; Melayu 46.52%, Orang Asli12.11%

Semakin kecil bilangan pengundi Melayu, semakin kecil undi majoriti. Di kerusi Parlimen Segamat, calon BN dari MIC, DS Dr S.Subramanian (Timbalan Presiden MIC) perolehi 1,217 undi majoriti, di kawasan 44.38% pengundi Melayu. Sementara di Cameron Highlands, calon MIC, G.Palaniveil (Presiden MIC) cuma menang dengan 462  undi, di kawasan 33.70% pemilihnya orang Melayu. Calon-calon lain bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu.

Kegagalan calon-calon BN mewakili bukan Melayu di Semenanjung menyaksikan satu pasukan parti pemerintah yang gagal mewakili realiti kepelbagaian kaum. Gambaran ini secara langsung memperlihatkan kelompok yang berbeza menduduki kerusi pemerintah dan pembangkang. Perbezaan yang dibentuk oleh kelompok kaum, di mana suara bukan Melayu seolah terpinggir dalam pasukan pembuat kuasa. Dengan kata lain, kerajaan yang dibentuk selepas PRU13, tidak mewakili realiti berbilang kaum. Orang bukan Melayu tidak terlibat dan bertanggungjawab dalam pemerintahan negara.

Mempersoalkan hak orang Cina membuat keputusan di peti undi seolah menafikan asas-asas demokrasi yang diamalkan menerusi sistem perwakilan dalam pilihan raya. Justeru itu, apabila kerajaan yang dibentuk dikuasai oleh orang Melayu menerusi pencapaian UMNO/BN dalam PRU13 lepas, sementara orang Cina khususnya, diwakili oleh DAP menguasai kelompok pembangkang, ianya sepatutnya diterima demi memenuhi keperluan prinsip-prinsip demokrasi, yang dituntut oleh kehendak asas kemanusiaan.

Berdasarkan senario, sama ada di Semenanjung ataupun di Sabah dan Sarawak, hasil dari pola pengundian dalam 16 siri pilihan raya kecil selepas PRU12, Pilihan Raya Negeri Sarawak, sambutan majlis ceramah pakatan pembangkang dalam tempoh 3 tahun terakhir, hasil pencapaian dan trend sokongan pengundi, amat tidak wajar mempersoalkan sokongan pengundi dalam PRU13 lepas. Gambaran awal sebelum PRU13, sudah membayangkan orang bukan Melayu, khususnya Cina akan melakukan perubahan besar di peti undi. Gambaran ini dipinggirkan dan dialih pandangan oleh media arus perdana, khususnya harian Utusan Malaysia, Berita Harian dan saluran TV3.

Sepatutnya perlu dipersalahkan kepada kegagalan calon-calon pakatan pembangkang yang bertanding di kawasan majoriti orang Melayu dan luar bandar. Oleh kerana trend pengundi Cina tidak mengundi  BN yang sudah dibayangkan sejak awal lagi, pengundi Melayu, sepatutnya memberi kemenangan besar kepada calon-calon Pas dan PKR, yang bertanding di kawasan berkenaan. Ini untuk membolehkan, pembentukan sebuah kerajaan yang menggambarkan realiti kepelbagaian kaum. Dengan lain perkataan, kerajaan yang mewakili seluruh rakyat. Pengundi yang rasional perlu memikirkan bentuk kerajaan masa depan, kerajaan yang melambangkan perpaduan kaum, memenuhi realiti demografi serta mengurangkan polarisasi kaum.

Mengapa tidak menyalahkan orang Melayu, bila kerajaan yang dibentuk hasil PRU13 gagal menyerlahkan kerajaan yang mewakili seluruh rakyat, bila ura-ura MCA berhasrat tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan, mengambil tanggungjawab prestasi buruk; 05 Mei. Langkah dan tindakan MCA itu, andainya jadi kenyataan, melambangkan kejantanan political will, yang lebih mendorong kepada moral approach. Ini sebagaimana, tindakan MCA tidak menyertai kabinet Persekutuan, selesai PRU3 (PRU 1969) dulu.    



Tiada ulasan:

Catat Ulasan