Jumaat, 10 Mei 2013

Agenda 'T"

AGENDA 'T' MENSIA-SIAKAN PELUANG

Antara segmen menarik dalam Pilihan Raya Umum (PRU13) tempoh hari ialah agenda "T", satu perang saraf Barisan Nasional menerusi UMNO (Baru), untuk merampas Kelantan. Sungguhpun UMNO/BN berjaya menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri, secara perbandingan statistiknya tidak menggambarkan satu hasil yang mengkagumkan.

BN yang membarisi 43 calon UMNO (Baru), 1 MCA dan 1 PPP memperolehi sebanyak 343,416 undi iaitu peningkatan 82,915 undi atau 31.89 peratus. Sementara gabungan pakatan pembangkang dengan 40 calon Pas dan 5 PKR, membolot 425,289 undi, meningkat sebanyak 88,669 undi atau peningkatan 26.41 peratus berbanding PRU12. Dari segi penguasaan undi, BN memperolehi 44.62 peratus dari jumlah undi sah, dan Pas/PKR perolehi 55.26 peratus undi keseluruhan. BN menang 12 kerusi dan Pas/PKR 33 kerusi DUN.

Undi semua calon sama ada dari BN atau Pas/PKR, meningkat berbanding PRU12, kecuali di Kota Lama, undi calon BN kekurangan 10 undi. Paparan di sini, menegaskan bahawa BN menerusi gerak gempur saraf sekian lama, "T" untuk merampas Kelantan, gagal menggunakan peluang yang sedia terhidang.

Ada 4 faktor terhidang yang dipersiakan oleh UMNO/BN untuk melonjakkan undi mengatasi Pas/PKR:

1. PRU13 adalah giliran merit kepada BN, berasaskan kepada giliran kitaran setiap kali PRU. Kecenderungan PRU di Malaysia adalah menepati giliran bersilih ganti antara BN dengan pembangkang. Trend pencapaian antara parti pemerintah dengan parti pembangkang, lebih ketara dengan pengalaman Kelantan. Ini dapat dikesan bermula PRU7 (PRU 1986), yang diadakan sebaik wartanya persempadanan (delineation) kawasan pilihan raya, memberikan kemenangan cemerlang BN dan pengalaman amat pahit buat Pas. Buat pertama kalinya selepas Merdeka, Pas cuma menang satu kerusi Parlimen sahaja (Pengkalan Chepa). Keadaan ini, sebaliknya dalam PRU8 (1990), di mana Pas bersama Angkatan Perpaduan Ummah, memenangi semua kerusi DUN dan Parlimen di Kelantan.

Dalam PRU9 (1995), prestasi Pas bersama APU merosot, memberikan BN menang 2 kerusi Parlimen dan 7 kerusi negeri di Kelantan, beriringan dengan persempadanan kawasan pilihan raya. PRU10 (1999) mengulang semula, nasib BN, di mana BN cuma menang 2 kerusi negeri dan 1 Parlimen di Kelantan serta kejatuhan kerajaan BN Terengganu kepada Pas. Undi BN bagi 43 kerusi DUN Kelantan telah berkurang dari 191,694 atau 43.13% (PRU9) kepada 183,863 undi atau 38.31% dari keseluruhan undi dalam PRU10. Sebaliknya undi Pas bersama sekutunya meningkat dari 252,715 undi atau 56.88% kepada 295,984 undi atau 61.68% keseluruhan undi PRU10.

Dalam PRU11 (2004), BN hampir menguasai negeri Kelantan setelah memenangi 21 kerusi DUN berbanding 24 kerusi milik Pas. Undi BN adalah 254,240 atau 49.82% keseluruhan undi, berbanding 255,558 undi atau 50.12%, diperolehi oleh Pas. PRU11, melibatkan persempadanan kawasan pilihan raya, di mana DUN Kelantan mendapat tambahan 2 kerusi, menjumlahkan 45 kerusi.

Seperti biasa, PRU12 (2008), giliran putaran yang memihak kepada parti pembangkang. Hasilnya BN kehilangan 16 kerusi DUN. Jumlah undi keseluruhan diperolehi BN ialah 260,501 atau 43.62%, iaitu pertambahan cuma 6,261 undi, berbanding tambahan 81,062 undi, oleh calon-calon Pas/PKR, berbanding PRU11. Jumlah undi Pas/PKR ialah 336,620 undi atau 56.36%, dalam PRU12. Ini membolehkan Pas membentuk kerajaan dengan suara lebih dua pertiga majoriti.

PRU13 yang baru selesai adalah giliran ayungan kepada BN. Sunguhpun BN berjaya menambahkan kerusi DUN dari 6 ke 12, ayungan ini tidaklah kuat berbanding dengan PRU11. Tambahan pula, walaupun berjaya menambahkan undi yang besar, 82,915 undi, satu peningkatan yang tinggi, tetapi pihak lawan, Pas/PKR, yang sudah selesa di depan, berjaya membuat lonjakan yang lebih anjal, 88,669 undi.

2. Melihat kepada sambutan masyarakat majlis ceramah BN peringkat peti undi dan lokaliti, BN ke hadapan berbanding Pas/PKR. Majlis seumpama ini lebih fokus dan menepati sasaran pengundi tempatan. Majlis ceramah Pas peringkat peti undi amat lesu dan kekurangan pendengar, seolah-olah ceramah Pas di sebelah pantai barat, dalam tahun 1970an.

3. Gerak kerja pendaftaran pemilih baru, dengan tumpuan kepada 17 DUN sasaran, diekori dan disusuli gerak gempur pendaftaran pemilih Pas, yang bergerak lebih awal, sejak 2009. Gerakan pendaftaran pemilih baru oleh UMNO/BN, bermusim. Justeru itu, peningkatan pengundi yang ketara adalah di kerusi sasaran; Wakaf Baru (6,241 pengundi atau peningkatan 32.32 peratus dari pemilih dalam PRU12), Bukit Panau (7,011 atau 34.30%), Perupok (5,952 atau 28.32%), Jelawat (5,498 atau 25.43%), Kemahang (3,490 atau 31.87%), Kemuning (4,172 atau 22.85%), Pulai Chondong (3,487 atau 22.61%).

4. Agenda "T", lebih dipopularkan menerusi sticker tanpa program khusus sebagaimana "R" yang lebih dahulu dan terkedepan, meletakkan agenda "T" sebagai barang tiruan. Tambahan pula "T" sebagai satu perkara wajib, sticker mesti dilekatkan di kenderaan atas asas ugutan dan paksaan, bukan atas kerelaan pemasangan "R".

Peluang yang disediakan menerusi kitaran kecenderungan di mana PRU13 yang lalu giliran memihak kepada BN, nampaknya tidak dimanfaatkan secara berkesan oleh UMNO/BN. "Ini kalilah" sebenarnya dalam konteks Kelantan adalah peluang untuk UMNO/BN bukan pakatan pembangkang. Pencapaian UMNO/BN di Kelantan, yang menunjukkan sedikit perubahan, bukanlah kelemahan Pas/PKR secara total, tetapi giliran kitaran pengaruh dan kecenderungan.

Walaupun, UMNO/BN  berjaya memenangi 6 kerusi DUN tambahan: Semerak, Selising, Gual Ipoh, Dabong, Ayer Lanas dan Galas serta 3 kerusi Parlimen: Ketereh, Machang dan Tanah Merah, tidaklah boleh berbangga sangat, sebab memang BN deserved to it and happened to be on him. Sepatutnya di bawah kepimpinan Dato' Mustapha Mohamad, kalau tak boleh ambil alih kerajaan negeri pun, dapat mengulangi pencapaian sebagaimana PRU11, sebagaimana digempurkan.




 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan