Rabu, 12 Jun 2013

UMNO tak kuat

KEMENANGAN UMNO BUKAN ATAS KEKUATAN SENDIRI

Antara intipati syarahan mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, " Keamanan Global dan Penyelesaian Konflik", sempenan perasmian Mahathir Global Peace School di Universiti Mohammadiyyah Yogyakarta (UMY) 2 Jun lepas, kemenangan BN yang banyak dikuasai kemenangan menerusi calon-calon UMNO, bukan kerana kekuatan UMNO. Bukan kerana perpaduan dalam UMNO. Kemenangan UMNO kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutama kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim bersama DAP mendirikan kerajaan di Malaysia.

Beliau menambah; kalau mereka (Pakatan Rakyat) mendirikan kerajaan di Malaysia, sudah tentu nasib orang Melayu akan menjadi lebih buruk. Sebab itu mereka memberi sokongan kepada UMNO (memetik laporan Bernama).

Dalam tulisannya dalam blognya, www,chedet.cc.; " orang Melayu meluat dengan UMNO dan parti itu kini dianggap tidak lagi relevan dan perlu ditolak, kerana UMNO tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air". Beliau menambah, berbeza dengan tahun 1960an, UMNO disanjung dan dijunjungi oleh orang Melayu.

Dalam blognya, Dr Mahathir membuat jangkaan dalam PRU14 kelak, jika keadaan sokongan kepada UMNO atas kelemahan lawan, UMNO tidak boleh mengharap keadaan ini berterusan, orang Melayu mungkin akan cari jagoh lain.

Dalam sejarah, UMNO dengan keegoaannya, bila kedudukannya kuat, sangguh menendang keluar rakan yang pernah membantu mereka. Kedudukan BN yang dikepalai UMNO lebih terjamin dan lebih kuat, selepas pembentukan BN menghasilkan pencapaian cemerlang BN dalam PRU 1974. Usaha berjalan untuk menyingkirkan Pas, kerana kedudukan Pas semakin kuat dan mula bertapak di negeri-negeri pantai barat dan bahagian selatan Semenanjung. Dalam PRU 1974, Pas mendapat 14 kerusi Parlimen, belum pernah dicapai Pas sebelum itu dan sudah ada wakil dalam semua Dewan Undangan Negeri, kecuali Johor. Buat kali pertama dan terakhir, Pas bertanding bukan guna lambang sendiri; guna lambang BN. 

Kesempatan berada dalam kerajaan menerusi penglibatan penajaan BN, membolehkan Pas meluaskan pengaruh. Tambahan pula, portfolio Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas, yang merangkumi bidang pengurusan rancangan tanah Felda dan Felcra serta Urusan Haji, dipegang oleh wakil Pas, memberikan beberapa kesan yang memihak kepada Pas. Pengaruh Pas bergerak dalam penempatan Felda. Peluang yang digunakan oleh Pas mencurigakan dan jadi satu ancaman kepada UMNO. Orang Melayu mempunyai alternatif,  kepada UMNO. Justeru itu, sebelum keadaan menjadi lebih serius, UMNO menggunakan kesempatan krisis perlantikan Menteri Besar Kelantan, untuk menyingkirkan Pas dari BN.

Penyingkirannya memberi impaks besar kepada Pas. Hasilnya pilihan raya negeri Kelantan, 1978 dan PRU 1978, 1982 dan 1986, menyaksikan pengukuhan kedudukan UMNO yang mengetuai BN. Hasil pengorbanan Pas bersama Gerakan dan PPP membolehkan terbentuknya BN 1974, lebih memperkukuhkan kedudukan UMNO dan MCA serta MIC bersama parti-parti komponen dari Sabah dan Sarawak. Kedudukan dan pengaruh Pas dan PPP semakin berkurang dan pudar dalam beberapa PRU selepas PRU 1974. Jasa Pas ditenggelamkan selepas UMNO dapat nikmat, budi dan khidmat Pas sekadar satu kenangan.

Dalam PRU3 (PRU 1969), Perikatan yang didokongi UMNO-MCA-MIC, gagal perolehi suara majoriti dua pertiga di Parlimen. Kerajaan negeri Kelantan di bawah penguasaan Pas, gagal ditewaskan. Kerajaan Perikatan Pulau Pinang yang diketuai MCA dibawah kepimpinan TS Wong Pau Nee, hilang kuasa kepada parti baru, Gerakan.

Perikatan terbantut membentuk kerajaan negeri di Perak dan Selangor, apabila Perikatan cuma dapat 19 kerusi dari jumlah 40 kerusi di Perak, dan 14 kerusi dari jumlah 28 kerusi di Selangor.

Di Perak, Perikatan perolehi 19 kerusi: 18 UMNO, 1 MCA, berbanding dengan kerusi milik parti pembangkang; PPP 12, DAP 6, Gerakan 2 dan Pas 1. Dari jumlah 19 dimenangi Perikatan, 2 kerusi dimenangi dengan majoriti kecil: di kerusi Tapah, calon Perikatan menang 19 undi mengatasi calon DAP dan di Kuala Kurau, majoriti 68 undi mengalahkan calon Pas. Pendekata, Perikatan memang tenat di Perak. Nasib memihak Perikatan, bila calon PPP Melayu tunggal yang menang, Shamsuddin Harun (ADUN Sungai Raya), enggan dilantik Menteri Besar dan kemudiannya sertai UMNO, sementara seorang lagi ADUN pembangkang Melayu, Mahmud Zainal Abidin (Pas-Kampong Gajah) menyokong Dato' Ahmad Said membentuk kerajaan negeri Perak. 

Dalam PRU12 dan PRU13, pencapaian MCA sama dengan PRU 1969. Satu kerusi sahaja. PRU 1969, menang di kerusi Tapah, dan PRU 2008 & 2013, di Chenderiang, kawasan campuran peratusan pengundi seimbang, Melayu, Cina dan Orang Asli. Kawasan pilihan raya Tapah (1969) adalah sebahagian kawasan Chenderiang hari ini.

Sementara di Selangor, kedudukan kerusi DUN Selangor: Perikatan 14, DAP 9, Gerakan 4 dan calon Bebas 1 (bekas MCA). Calon Bebas menyebelahi Perikatan, membolehkan Dato' Harun Idris mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar.

Di Terengganu, kerajaan Perikatan hampir gagal mengekalkan kuasa, bila cuma dapat 13 kerusi DUN berbanding 11 dimiliki Pas. Kedua-kedua parti meletakkan calon di semua 24 kawasan pilihan raya yang menyaksikan Perikatan ketinggalan dari segi undi popular. Perikatan dapat 61,496 undi atau 49.26 peratus dari jumlah undi sah, berbanding 61,719 undi atau 49.43 peratus undi dikutip oleh Pas.

Di Kedah, rekod kemenangan cemerlang Perikatan dalam dua PRU awal, dengan kemenangan seratus peratus kerusi, menyaksikan satu kejutan. Bukan setakat gagal menghalang parti pembangkang hantar wakil ke DUN, tetapi gagal perolehi majoriti dua pertiga. Dari jumlah 24 kerusi DUN: Perikatan 14, Pas 8 dan Gerakan 2. 

Senario pasca PRU 1969, menghambat UMNO mencari tapak untuk perkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kuasa pemerintahan, melalui usaha pelobi untuk menarik beberapa parti dominan bersamanya dalam bentuk kerajaan campuran bermula 1972 dan berakhir penubuhan BN. 

Zaman terkepit ini berulang dalam PRU12, mengulangi panorama hampir 40 tahun lalu. Lepas pilihan raya, timbul cadangan gagasan unity government atau kerajaan perpaduan, untuk menggabungkan anggota Parlimen dari parti berlainan bekerjasama membentuk kerajaan. Paling jelas: UMNO mengajak Pas sertai kerajaan perpaduan atas nama perpaduan Melayu. Pelobi main peranan untuk mempertemukan kepimpinan parti terlibat, ke arah merealisasikan gagasan berkenaan. Usaha ini gagal, selepas selesai pilihan raya kecil Manik Urai, 2010, lenyap dalam bicara politik tanah air.

Kerajaan perpaduan terbentuk selepas selesai pilihan raya negeri Sarawak, 1970 yang menggabungkan ahli-ahli Council Negeri (DUN): 11 dari Parti Bumiputera, 4 Sarawak Chinese Association (SCA), 8 Parti Pesaka, 12 SUPP, 1 calon Bebas, sementara SNAP diwakili 12 ADUN bertindak sebagai pembangkang. Dalam pilihan raya, parti-parti berkenaan bertanding di atas lambang masing dan bertanding antara satu sama lain. Sebahagian besar persaingan di 48 kawasan pilihan raya berkenaan, empat hingga lima perjuru. Setengah kawasan ada hingga ke lapan penjuru. Calon-calon yang menang, yang bertanding antara satu sama lain, membentuk kerajaan "unity govenment", kecuali SNAP. 

Hasil dari unity government di Sarawak, kerajaan campuran di Kelantan, Kedah dan Terengganu, menuju ke arah pembentukan sebuah gagasan BN. Semua parti yang memenangi kerusi dalam PRU 1969 (Sabah dan Sarawak, ditangguhkan hingga ke 1970, kerana pergantungan demokrasi, Undang-undang Darurat 1969), menyertai BN demi perpaduan nasional, kecuali DAP, SNAP dan Partai Rakyat Malaya. 

Tambahan pula, konsep unity government lebih munasabah dan sesuai dalam sistem demokrasi perwakilan proportional atau berasaskan undi popular sebagaimana diamalkan di Indonesia, Jerman Barat, dan Mesir, sebagai contoh. Dalam sistem demokrasi perwakilan berkawasan (constituency representations), yang lebih ke arah sistem dua parti, menjadi tidak adil, parti yang ditolak pengundi menjadi pemerintah bersama, kerana membentuk kerajaan bersama dengan parti yang gagal memiliki majoriti mutlak (majoriti dua pertiga).

BN menerusi UMNO masih boleh bertahan di kawasan luar bandar dan kawasan Felda, hasil PRU13. Isu kalimah Allah serta perlaksanaan hukum hudud, berjaya mensensasikan pengundi Melayu dalam kelompok tersebut, menolak calon pakatan pembangkang, Pas khususnya. Isu digunakan untuk mempertakutkan pengundi sektor desa dan Felda kepada cetusan kontroversi kalimah Allah dan hudud oleh DAP. Pengekalan undi tradisi UMNO/BN di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang, banyak dibantu oleh kelonggaran ikatan dalam pakatan pembangkang serta kegagalan pihak pakatan pembangkang Pas dan DAP melerai dan merungkaikan kontorversi kalimah Allah dan pelaksaan hukum hudud.

Pakatan pembangkang yang bertanding atas kerjasama pilihan raya, untuk mengelakkan pertembungan lebih dua perjuru, atas kapasiti parti masing-masing, masih meletakkan seolah-olah berbagai parti, walaupun hakikinya, satu lawan satu dengan BN. Wajah ini, tidak menampakkan sebuah organ besar untuk bersaing dengan BN, yang bertanding atas satu lambang, di desa atau di bandar, di Felda atau di pinggir kota, di Semenanjung atau di Sabah. Faktor ini lebih memihak kepada BN. 

Di atas kelemahan pihak lawan mengikut analisis Dr Mahathir, memberikan peluang BN merebut sokongan orang Melayu yang merupakan suara majoriti di sektor desa dan penempatan Felda. Kemenangan BN lebih didominasi oleh faktor yang berjaya dimanipulasi dan direka cipta demi menanamkan rasa curiga, cemas dan takut kepada penghuni sektor berkenaan yang terbatas dan daif maklumat. 

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan