Khamis, 23 Mei 2013

UMNO Paling Popular

UMNO PALING POPULAR:

SATU PERSOALAN

Tajuk muka depan akhbar Sinar Harian edisi Kelantan, Selasa 21/05/13: "UMNO Paling Popular, dominan di 10 negeri termasuk Kelantan", amat menarik untuk perbincangan. 

Mengheret untuk perbincangan ialah petikan dari catatan berita berkenaan, "di Kelantan, UMNO mendominasi peratusan undi 49.8 peratus berdasarkan jumlah undian sebanyak 402,503 undi untuk kerusi Parlimen".

Kekeliruan pertama: jumlah undi yang dikumpulkan oleh 13 orang calon Parlimen BN di Kelantan ialah 330,343 undi atau 42.95 peratus dari jumlah undi sah seluruh negeri Kelantan bagi kerusi Parlimen: 769,037 undi (iaitu undi yang dipungut oleh semua 30 calon termasuk 3 orang calon Bebas). Sementara Pas yang meletakkan 11 orang calon mengumpul 339,878 undi atau 44.19 peratus undi sah, PKR yang mempertaruhkan 3 orang calon dapat 73,071 undi atau 9.50 peratus, calon Bebas di P22 Pasir Mas, (yang dianggap calon Bebas mesra UMNO) dapat 25,384 undi atau 3.30 peratus dari jumlah undi sah, sementara baki 0.05 peratus adalah 361 undi yang dikumpul oleh 2 orang calon Bebas di P21 dan P27. 

Secara purata setiap calon Parlimen BN di Kelantan dapat 25,411 undi, calon Pas dapat 30,898 undi, calon PKR 24,357 undi. 

Di lihat dari segi: i. jumlah undi terkumpul setiap parti, ii. peratusan undi dari jumlah undi sah terkumpul negeri, iii. purata undi dipungut setiap calon, ketiga-tiga faktor ini memperlihatkan Pas mengatasi UMNO (andainya semua undi BN adalah undi dari UMNO mengikut analisis Sinar Harian, tanpa mengambil kira undi MCA, MIC, Gerakan dan PPP, sedangkan MCA dan PPP mewakili BN di kerusi negeri N09 Kota Lama dan N40 Guchil).

Tambahan pula, di mana letaknya rasionaliti, UMNO lebih popular dan lebih dominan dari segi prestasi perebutan kerusi Parlimen di Kelantan. Dari jumlah 14 kerusi Parlimen, cuma 13 orang calon UMNO sahaja bertanding dan menang 5 kerusi, sementara calonnya di P22, menarik diri. Pas bertanding di 11 kerusi dan menang 9 kerusi. Calon-calon Pas kuasai kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pemilih yang besar: Tumpat (98,832 pemilih), Bachok (81,733), Kota Bharu (81,415), Pasir Puteh (76,417), Pasir Mas (72,122). 5 kerusi yang dimenangi BN adalah kerusi yang mengandungi bilangan pengundi yang lebih rendah: Gua Musang (40,271 pemilih), Jeli (43,340), Tanah Merah (58,356), Machang (59,344) dan Ketereh (62,341). 

4 orang calon Pas menang dengan majoriti melebihi 10,000 undi iaitu Ahmad Baihaqi Atiqullah (Kubang Kerian/16,741), Dato' Takiyuddin Hassan (Kota Bharu/15,970), Dr Izani Hussin (Pengkalan Chepa/15,120), Dato' Kamaruddin Jaafar (Tumpat/10,624 undi),  sementara majoriti paling besar di kalangan calon UMNO yang menang; Tengku Razaleigh Hamzah di Gua Musang, 8,413 undi. Secara lateralnya, tiada asas untuk menyimpulkan UMNO mendominasi undi Parlimen di Kelantan, sebagaimana dakwaan rumusan Sinar Harian.

Apakah mekanisme pengiraan yang digunapakai oleh Sinar Harian mencatatkan undi UMNO adalah 402,503 untuk memberikan 49.8 peratus, untuk memperkukuhkan dakwaan bahawa undi UMNO lebih popular berbanding Pas dan PKR, dengan harapan menjadikan UMNO mendominasi undi popular, mengubati derita kemerosotan kerusi milik BN di Parlimen dan beberapa dewan legislatif negeri.

Berdasarkan pengiraan secara manual, keputusan PRU13 yang dipetikan dari sisipan akhbar Sinar Harian, Harian Metro, Berita Harian, New Straits Times dan The Star edisi Selasa 07/05/13, menjumlahkan undi Pas serta undi Pas campur undi PKR, mengatasi undi BN. Justeru itu, rumusan undi UMNO paling popular, bolehlah disifatkan sebagai satu andaian amat nakal dan ditolak mentah-mentah secara ilmiahnya.

Kekeliruan kedua ialah UMNO mendominasi undi popular di 10 negeri termasuk Kelantan. Sedangkan UMNO tidak bertanding dalam sebarang pilihan raya sebagaimana Pas dan PKR.  Di beberapa kawasan operasi pihak berkuasa tempatan, bendera parti atau bahan kempen parti yang bertanding di kawasan berkenaan sahaja dibenarkan. Oleh itu, hasil persetujuan bersama pihak pengurusan SPR, pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak keselamatan, dengan persetujuan wakil parti yang bertanding, menerima pakai larangan ini yang ditafsirkan dari Akta Pilihan Raya. Lantaran itu di setengah kawasan operasi PBT, bendera UMNO, MCA dan parti-parti yang tidak bertanding, tidak kelihatan.

Jika disemak catatan dalam sisipan keputusan PRU13 dikeluarkan Sinar Harian, tercatat beberapa kesilapan catatan undi, berbanding dengan sisipan keputusan PRU13 keluaran akhbar harian lain dan disemak dengan keputusan rasmi dalam laman web SPR. Catatan undi bagi calon-calon yang bertanding di P25 Bachok dan P28 Pasir Puteh, serta undi calon BN P29 Machang, adalah berbeza dengan catatan keputusan PRU13 yang dikeluarkan oleh harian lain, serta catatan laman web SPR.

Jumlah 402,503 undi diperolehi oleh calon-calon Parlimen BN di Kelantan dalam analisis Sinar Harian adalah amat jauh perbezaan dengan jumlah sebenar 330,343 undi sahaja yang dijumlahkan dari catatan keputusan harian lain dan yang dikeluarkan oleh SPR menerusi laman webnya. Bagaimana pun, angka yang diwartakan oleh SPR semalam (Rabu 22/05/13) akan menjadi sumber rujukan rasmi.  



 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan