Sabtu, 18 Mei 2013

Bukan Gelombang Orang Kota

PRU13 BUKAN MANIFESTASI GELOMBANG MASYARAKAT KOTA

Alasan popular hasil PRU13 ialah gelombang besar  perubahan sokongan pengundi Cina besar-besaran dari BN ke parti-parti pakatan pembangkang. Satu tanggapan berbentuk melarikan isu sebenar untuk menyalahkan orang lain tanpa muhasabah diri dan isu dalaman parti. Orang Cina dipersalahkan di atas kemerosotan undi dan pungutan kerusi BN. "Apa Cina mahu", tajuk akhbar pro-UMNO, sehari selesai PRU12. "Pengundi Cina tertipu", keluhan seorang pemimpin UMNO. "Boleh keluar Malaysia" - tegas seorang lagi pemimpin kanan UMNO.

Ulasan yang memberikan 3 faktor dominan yang memain peranan utama mencorakkan merudumnya prestasi BN: i. sikap pengundi Cina, ii. gelagat pengundian kelas menengah Melayu, iii. sikap pengundi muda, first time voters utamanya, dari berbagai suku kaum, satu pandangan tidak memihak yang munasabah. Secara kebetulan, ketiga-tiga kelompok pemilih ini mendiami sektor kota, yang lebih terbuka dan mudah mengekses maklumat.

Namun demikian, jika mengambil prestasi atau hasil PRU13 dari negeri Terengganu, andaian dan alasan yang menyalahkan kelompok tertentu, yang menjejaskan pencapaian BN, boleh dipersoalkan. 

Hasil PRU12 (2008) yang tidak bersama kecenderungan arah pengundian nasional ialah Terengganu. Di semua negeri di Semenanjung, pencapaian undi dan kerusi BN merosot. Terengganu masih kekal sebagaimana PRU11 (2004) yang menterjemahkan cemerlang, terbilang dan gemilang buat BN.  Kelantan dan Perlis mencatat undi BN di tahap bertahan, undi BN di Kelantan naik 6,261 undi atau 2.46 peratus dan di Perlis, bertambah cuma 1,218 undi atau 2.13 peratus, berbanding undi BN dalam PRU11. Undi BN di Terengganu, naik sebanyak 18,064 undi atau 8.13 peratus, semasa undi BN merosot dengan banyak di negeri-negeri lain. Tsunami 2008 tidak mempunyai pengaruh besar di Terengganu.  

Dalam PRU13, seolah-olah tsunami politik yang melanda mengurangkan kuasa BN 5 tahun lalu, baru sampai di Terengganu. PRU13 adalah giliran gelombang dan kebangkitan kepada pihak BN. Tapi di kala kebangkitan semula BN setelah terencat dalam PRU12, kerajaan negeri Terengganu hampir tesungkur, setelah keputusan kerusi DUN: BN 17, Pas/PKR 15

Keputusan PRU13 hampir menyamai keputusan PRU3 (PRU 1969). PRU3 memberikan keputusan: Perikatan (UMNO/MCA) 13 kerusi, Pas 11 kerusi. Sungguhpun Pas cuma menang 11 kerusi, jumlah undi Pas ialah 61,719 undi atau 49.43 peratus dari jumlah undi sah seluruh negeri. Perikatan dengan 13 kerusi, memungut 61,496 undi atau 49.26 peratus sahaja. Baki 1.31 peratus undi sah adalah milikan Partai Rakyat dan calon bebas. 

Dalam PRU13, BN yang bertanding di semua 32 kerusi dan menang 17 kerusi, memungut 282,887 undi atau 51.36 peratus dari jumlah undi sah seluruh negeri. Sementara Pas/PKR dari 32 calon rasminya, dengan 15 kerusi dimenangi (14 Pas, 1 PKR) perolehi 264,290 undi atau 47.99 peratus. 3,577 undi atau 0.65 peratus dipungut oleh lain-lain calon.

Berbanding dengan PRU12, undi BN masih meningkat, iaitu peningkatan 42,722 undi atau 17.79 peratus, sementara gabungan Pas/PKR meningkatkan undinya sebanyak 67,991 undi atau 34.64 peratus.  

Bagi kerusi Parlimen, BN dan Pas, masing-masing menang 4 kerusi. Jumlah undi BN ialah 284,455 undi atau 51.52 peratus dan Pas/PKR 267,112 undi atau 48.38 peratus.
 
Kawasan-kawasan yang dimenangi oleh Pas, dalam PRU3 dengan PRU13, hampir sama. Pas menang 11 kerusi dalam PRU3: Ladang, Batu Burok, Bukit Besar, Jeram, Kuala Besut, Marang, Sura, Ulu Dungun, Kemaman Selatan, Binjai dan Kuala Terengganu Tengah. 

44 tahun kemudian, suasana sama berulang kembali. Kerusi-kerusi dimenangi Pas: Wakaf Mempelam (dulu Bukit Besar), Telok Pasu dan Tepuh(Jeram), Rhu Rendang dan Rantau Abang (Marang), Manir dan Alor Limbat (Kuala Trengganu Tengah), Bukit Payong (Binjai), Ladang, Batu Burok dan Sura.   

Kerusi-kerusi berkenaan adalah kawasan bandar dan hiliran; kawasan pusat ilmu, kemudahan akses maklumat, sumber maklumat yang seimbang dari parti pemerintah dan pakatan pembangkang serta badan-badan lain. 

Terengganu juga mempunyai satu lagi keistimewaannya untuk dijadikan tarikan kes rujukan. Terengganu memiliki peratus pengundi Melayu paling tinggi di Malaysia.  Peratusan pengundi Melayu tertinggi: Terengganu (95.5%), Kelantan (94.0%), Perlis (84.4%), Kedah (77.0%) dan Pahang (70.0%). 

Dari jumlah 32 kerusi DUN di Terengganu, 28 kerusi mengandungi pengundi Melayu melebihi 95 peratus. Di kerusi Bandar, dari 20,390 pengundi, 7,600 pengundi atau 36.21 peratus Cina, pengundi Melayu 62.44 peratus. Kerusi ini dimenangi calon PKR, Azan Ismail, mengalahkan calon MCA/BN. Sebelum PRU13, kerusi ini pernah dimenangi calon Pas dalam PRU 1990 dan PRU 1999.

Di Ladang, pengundi Melayu 90.85 peratus, dengan 1,524 pemilih Cina. Kerusi Sura mengandungi 90.25 peratus Melayu dan seramai 1,520 pengundi Cina.  Sementara kerusi Chukai mengandungi 84.63 peratus Melayu dengan 2,693 pemilih Cina dari jumlah 19,269 pemilih. Ketiga-tiga keusi ini dimenangi Pas.

Selain kerusi pusat bandar raya yang dimenangi calon PKR, kerusi-kerusi lain bahagian besarnya separa kota dan pinggiran bandar, di samping penempatan tradisional Melayu yang menyaksikan bukan gelombang kebangkitan pengundi Cina yang membantukan memenangkan Pas. 10 kerusi dimenangi Pas, mengandungi pengundi Melayu melebihi 95 peratus. Kemenangan Pas tidak terbatas dalam lingkungan kota yang boleh dikaitkan dengan pemilih Cina, tetapi disebarluaskan ke kawasan penempatan Melayu tradisional: pinggiran pantai dan penghuni sektor tani. Kerusi Rantau Abang, Tepuh, Manir, Bukit Payung, Paka, Alor Limbat terangkum dalam kelompok ini.  

Faktor yang ketara berasaskan kes Terengganu ini adalah inspirasi pengundi menghayati keperluan demokrasi. Ruang mencapai tahap  realiti politik baru bermatlamatkan ketelusan, anti-rasuah, tingkat moral dan keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa, yang hendak diterjemahkan menerusi peti undi. Politik berasaskan kebendaan: penyediaan infraskruktur, kemudahan awam dan keperluan asas kehidupan, semakin dipinggirkan. Faktor ini sudah relevan dalam PRU13 bagi kes Terengganu, yang agak terlewat 5 tahun berbanding negeri lain. Gelombang yang menyerang Terengganu kali ini, menyeluruh yang melambangkan kebangkitan massa tanpa batasan ras dan geografis. Walaupun masih ada batasan yang dikaitkan dengan penempatan penerokaan Felda, yang masih memberikan kemenangan besar buat BN. Termasuk dalam kategori ini: kerusi Air Puteh, Kijal, Hulu Besut, Langkap, Bukit Besi dan Ajil.

Dua tahun selepas PRU3, dalam 1971, dua orang ADUN Pas, Wan Muhamad Wan Muda (Ladang) dan Haji Mohd Taib Ismail (Binjai) keluar parti, kemudian masuk UMNO. Harapnya, selepas ini tidak ada peristiwa seumpama ini, demi menghormati mandat rakyat yang impikan realiti politik baru menerusi demokrasi kepilihanrayaan.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan