Jumaat, 2 Disember 2011

SELAMAT DATANG PARTI KITA

 Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) mendahului parti-parti lain mengumumkan calon untuk PRU13. Dr Zaid Yusoff sebagai calon untuk Parlimen Batu Pahat. Minggu berikutnya, Zamil Ibrahim, Pengerusi KITA Negeri Kedah, umumkan akan bertanding di 6 kerusi Parlimen dan 12 Dun di negeri itu. Minggu lepas, Presidennya, Dato' Zaid Ibrahim, nyatakan beliau akan bertanding di Petaling Jaya (sama ada PJU atau PJS). 

Tahniah. Kemunculan KITA akan merancakkan dan memeriahkan suasana PRU13. Diharap bertambah subur demokrasi berparlimen ala Westminster Abbey. Tambahan pula PRU13 "luar biasa" kata PM. Apa maksud, harapnya semua positif. 
Perkara 20 Peristiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (Universal Declaration of Human Rights 1948) yang menjamin kebebasan berhimpoun secara aman dan menubuhkan persatuan, diharap tidak diganggu dan dicabul.

Sebagai parti baru, wajarlah diketengahkan lebih awal bakal-bakal calon. Tonjolkan diri, mendekali sosial geografi serta demografi penempatan, mengenalpasti strategik sasaran, dan mengumpul maklumat sasaran. Parti baru perlu dipromosikan dengan kepelbagaian media dan mekanisme.

Parti KITA cuma baru dari segi nama dalam senarai badan siasah, tetapi ianya jelmaan baru dari Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM). Kelahirannya dari roh AKIM, yang telah diubahsuai approach baru yang menuntut citarasa  dan iklim politik semasa. 

AKIM diasaskan oleh bekas ahli Pas selepas PRU 1990 yang menyaksikan Angkatan Perpaduan Ummah yang dianggota oleh Pas, Semangat 46, Hamim dan Berjasa menewaskan Barisan Nasional, dengan mentapu bersih semua kerusi Dun dan Parlimen. Ahli-ahli Pas yang tidak puas hati dengan kerajaan baru Kelantan, menubuhkan AKIM, pada tahun 1994, yang diketuai oleh Cikgu Musa Salleh, bekas Ketua Pas Kawasan Pasir Puteh.
 
AKIM menyertai PRU 1995, sebagai permulaan penyertaan aktif dalam politik tanah air. Bertanding di 2 kawasan Parlimen dan 15 Dun. Semuanya di Kelantan. Pencapaian calon-calonnya amat mengecewakan. Semua hilang wang pertaruhan, dalam persaingan 3 penjuru bersama Pas-Semangat 46 dan BN, kecuali calonnya di Parlimen Gua Musang. 

Di Gua Musang, calonnya diselamatkan depositnya oleh kegagalan BN bertanding kerana calon BN, Tan Sri Hussien Ahmad ditolak kertas pencalonan. Nik Ismail Wan Idris perolehi 4736 undi sementara calon Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah dapat 13 716 undi. Seorang lagi calon Parlimennya cuma dapat 221 undi di Pengkalan Chepa, berbanding undi Pas  25 410 dan BN 9316. 

Di peringkat Dun, hanya Nik Ismail Wan Idris dapat undi lebih 200 di Galas. 14 calon lain antara 50 undi hingga 110 undi. Presidennya cuma dapat 86 undi sahaja di Semerak.

Walaupun prestasi mengecewakan tahun 1995, dalam PRU 1999 mencuba lagi. AKIM tidak tinggal pengkalan. 2 calon bertanding di Pasir Puteh: Parlimen Pasir Puteh dan Dun Gaal. Pungutan undi dicapai tak berubah. Di Parlimen Pasir Puteh, calonnya Hashim Othman cuma dapat 274 undi, berbanding Ustaz Alwi Jusoh (Pas) 25 373 dan Kamarudin Md Nor (BN) 16 962 undi. 

Di Dun Gaal, Dr Asri Mejah dapat 72 undi sahaja berbanding Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Pas) 5720 undi dan Abd Rahman Yaacob (BN) 3645 undi.

Selepas PRU 1999, nama AKIM agak tenggelam dalam arena politik kepartian tanah air kesan dua keperitan tersebut. Tiba-tiba calon AKIM muncul dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Cubaan pertama AKIM di luar Kelantan, serta terakhir sebelum bertukar nama kepada KITA. AKIM meletakkan Presidennya, Hanafi Mamat, yang hanya pungut 92 undi, berbanding Dato' Seri Anwar Ibrahim (PKR) 31 195 undi, manakala Ariff Shah Omar Shah (BN) 15 524 undi.

Dalam ketiga-tiga siri pilihanraya di atas yang disertai oleh AKIM, semuanya menyaksikan calon BN kalah. 

Apakah dengan pengalaman dan pencapaian Zaid Ibrahim, seorang peguam dan korporat terkemuka, akan dapat melenyapkan segala mimpi menggerunkan AKIM masa lampau, akan dilenyapkan dengan wajah baru KITA. Zaid Ibrahim peribadinya punyai kehebatan tersendiri dalam sejarahnya. 

Namanya mula terangkat setelah mengambil alih jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Menang PRU 2004 di Parlimen Kota Bharu dengan bergaya, walaupun calon-calon BN kalah besar di tangan calon Pas di kerusi Dun. Kemenangan dengan majoriti 1723 cukup hebat, mengalahkan calon PKR Nik Mahmood Nik Hassan. Di Dun Tanjong Mas, calon BN kalah 2789 undi, Dun Bunut Payong, BN kalah 1931, dan kalah tipis 34 undi di Kota Lama. 

Kerja buat Zaid Ibrahim gigih. Turun padang temui pengundi seramai mungkin. Buat muka tebal, jumpa siapa saja. Disokong dengan jentera pembantu yang padu dan rajin. Tambahan pula, tiada kerja terbengkalai kerana duit tak turun, menepati sasaran. 

Kejayaan Zaid sebelum ini kerana kegigihan dan idea-idea baru yang sengaja dilontarkan ke dalam masyarakat massa untuk renungan dan tindakan. Zaid bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, gagal buat kejutan di Hulu Selangor, kawasan campuran.

Perubahan secara drastik, mungkin agaknya, daripada AKIM yang berpengkalankan masyarakat desa kepada KITA yang lebih luas dengan keterbukaan dan kepelbagaian keahlian dan tumpuan. Pengerusi KITA Kedah umumkan antara bakal calonnya pemimpin komponen BN yang terpingir dan tersingkir. Merperlihatkan penyerbarluasan kawasan tumpuan KITA yang berwajah baru.

Harapnya KITA (versi Zaid Ibrahim) tidak senasib dengan KITA, yang aktif dalam tahun 1970an. Parti Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA) diasaskan Ahli-ahli Parlimen yang meningalkan parti lama masing-masing, bila parti mereka menyertai Perikatan menubuhkan Barisan Nasional dalam tahun 1974. 3 tokoh penting terlibat: Hashim Gera (Pas-Parit), Mustapha Hussien (Gerakan-Seberang Prai Tengah) dan Ng Hoe Hum (Gerakan-Larut Selatan).

Mereka giant killers, Hashim Gera menewaskan bekas Setiausaha Agung UMNO, Dato' Hussien Mohd Nordin, Mustapha Hussien menewaskan Setiasaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Ibrahim Abdul Rahman dan Ng Hoe Hum menewaskan Tan Sri Dr Lim Swee Aun, Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Dalam PRU 1974, Parti KITA bertanding di Pulau Pinang, Perak dan Kedah, bahagian besarnya hilang pertaruhan dalam saingan lebih dari tiga penjuru. Calon yang dapat pertahan deposit, bila berlaku saingan 2 penjuru sahaja, saperti di Parlimen Sungai Petani, KITA dapat 4016, sementara BN 22 268 dan di Dun Batu Kurau, Perak, KITA dapat 1383 undi dan BN 6735 undi. Di Dun Kuala Ketil, KITA 1236 undi, BN 5831 undi dan PSRM 774 undi. Calon-calon KITA yang lain duduk di tempat tercorot dan hilang deposit.

Mustapha Hussien cuma dapat 1235 undi di Parlimen Bukit Mertajam dalam saingan 5 penjuru, bersama BN yang dapat 14 235 undi dan DAP 5098. Ng Hoe Hum dapat 479 undi di Taiping dalam pertandingan 4 penjuru, jauh ditinggalkan BN yang dapat 14 253, DAP 11 066 undi.

Dalam PRU 1978, KITA cuma bertanding di dua kawasan sahaja yang ditandingi oleh Presidennya, Mustapha Hussien. Di Parlimen Bukit Mertajam, KITA dapat 350 undi dalam saingan 5 penjuru, yang dimenangi calon DAP, Seow Hun Khim yang perolehi 13 051 undi. Di Dun Tasik Gelugor, beliau pungut 417 undi, yang dimenangi calon BN melalui 2811 undi dalam saingan 4 penjuru yang turut disertai Pas dan DAP. 

Mustapha Hussien ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, selepas PRU 1969, sebelum Gerakan menyertai BN.

Kali terakhir KITA sertai pilihanraya umum ialah dalam PRU 1982. Calonnya V. Aparoo cuma dapat 93 undi dalam pertandingan 6 penjuru di Dun Bagan Ajam, yang dimenangi calon BN. Sebelum itu, KITA pernah letak calonnya, Asri Yusoff dalam pilihanraya kecil Alor Pongsu, Perak, dalam tahun 1976 dan hilang deposit.

Pencapaian KITA (versi Hashim Gera-Mustapha Hussien) dan AKIM nampaknya hampir sama. Bezanya tokoh-tokoh peneraju KITA lebih hebat berbanding AKIM. KITA (versi Zaid), selain Zaid, tak lah sehebat tokoh 1970an dulu, setakat yang didedahkan hingga kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan