Jumaat, 9 Disember 2011

MENGIMBAU MIMPI NGERI BN DALAM PRU12
Pilihanraya Umum (PRU) ke 12 tahun 2008 mencipta keistimewaan tersendiri. Berbeza dengan beberapa siri PRU yang menghasilkan kejutan, hasil dari beberapa gelombang semasa seperti PRU 1969, 1974, 1990, dan 1999, sama ada menyebelahi pihak kerajaan yang bertahan atau pembangkang. Menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen, yang belum pernah berlaku. Di samping kegagalan BN menguasai 5 buah Dewan Undangan Negeri. Sebelum ini, paling banyak pembangkang boleh menguasai 2 DUN sahaja: Kelantan dan Terengganu (1959 dan 1999) dan Kelantan dan Pulau Pinang (1969).

Prestasi yang berbeza halanya antara BN dengan parti-parti utama di pihak pembangkang, mempamirkan bermulanya episod mendebarkan dan luar jangkaan keputusan PRU. Istilah zon selesa dan fixed deposit parti pemerintahm BN semakin terhakis dan mengecut.

Menerusi ruangan ini, saya perturunkan faktor-faktor yang menyumbang kepada kemerosotan undi BN dalam PRU12. Faktor-faktor ini adalah pengumpulan dan catatan peribadi hasil dari pemerhatian dan komentar berbagai golongan: orang awam, orang politik dan orang akademik. Saya dapat menyumpulkan 15 faktor utama yang membawa kepada kemerosotan undi BN.

1. Faktor personal Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri yang mengetuai jentera pilihanraya BN, disasarkan sebagai seorang pemimpin yang lemah dalam menangani berbagai isu semasa.

2. Peranan Khairy Jamaluddin, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, juga menentu Perdana Menteri, menguasai penentuan membuat keputusan parti dan kerajaan. Ini telah memperteguhkan pengaruh rangkaian kroni Perdana Menteri.

3. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad main peranan membuat teguran kritis dan terbuka ke atas pentadbiran Tun Abdullah. Lemparan kritikan banyak mendedahkan kepincangan dalam membuat keputusan dan urustadbir kerajaan. Pandangan Tun Dr Mahathir bukan sahaja mempengaruhi golongan tidak berkepentingan, tetapi juga sedikit sebanyak penyokong tegar BN, yang dapat menghidu kelemahan Tun Abdullah serta cengkaman kronisme. Imej "Mr. Clean" yang dijenamakan kepada Tun Abdullah, tercalar.

4. Aura Dato'Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai bakal Perdana Menteri, walaupun terhalang menyertai pilihanraya kerana sekatan perundangan, menjadi antara faktor penolak pengundi mendekali BN. Kelincahan beliau berada di gelanggang di seluruh negara, memberi keyakinan kepada pengundi menjauhi BN. Harapan rakyat begitu tinggi, kerana ada bayangan alternatif pemimpin masa depan, andainya kekosongan ditinggalkan BN.

5. Peristiwa Dato' Seri Hishamuddin Hussien, menghunus keris, semasa Perhimpunan Agung Tahunan UMNO, semasa memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, menghiris perasaan orang bukan Melayu. Penyebarluasan gambar peristiwa tersebut, banyak membantu menghambat orang bukan Melayu keluar dari kepompong BN.

6. Sebaran gambar Dato' Seri Abdul Hadi Awang berpelukan dengan Lim Kit Siang oleh pihak BN untuk mempengaruhi orang Melayu kerjasama Pas-DAP, memberi kesan yang sebaliknya. Orang bukan Melayu menganggap ia satu penghinaan kepada mereka, khususnya orang Cina.

7. Gerakan sebuah "pressure group" yang menuntut hak dan kebajikan masyarakat India, Hindraf, cukup berkesan memberi tekanan kepada BN. Secara terbuka pertubuhan ini mengajak pengundi India menolak BN. Mereka telah memberi sokongan padu kepada BN, dalam siri-siri pilihanraya lepas. Pencerobohan FRU ke atas kuil Hindu di Batu Cave, menyemarakkan kemarahan mereka kepada parti yang mereka sokongi selama ini.

8. Peranan sebaran am yang dimainkan oleh media massa mainstream: TV1, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian, memanipulasikan maklumat untuk memperkukuhkan kedudukan BN serta mensabotaj pihak lawan, menjadi bahan over kills atau senjata makan tuan. Tindakan melampau ini mencemuhkan dan memualkan pengundi. Orangramai mencari sumber maklumat alternatif yang dibekalkan oleh media baru. Portal, blog, vcd, dan sebagainya menjadi media utama. Generasi pasca-Merdeka sukar menerima maklumat yang tepat berpandukan sumber yang sahih. Pengundi peka ilmu dan celik teknologi maklumat sukar dimanipulasikan.

9. Video Lingam memaparkan ketidaktelusan dan penyalahgunaan kuasa. Kebolehpercayaan orangramai terhadap institusi kehakiman, pentadbiran dan pembuat keputusan awam terhakis. Video ini sedikit sebanyak telah melonggarkan ikatan sokongan kepada BN. Pendekatan pentadbiran Tun Abdullah untuk mengurangkan rasuah, sebagai antara sasaran utama pentabiran beliau, dipandang sepi dan banyak menimbulkan persoalan, walaupun video tersebut merakamkan kes sebelum beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

10. Pendekatan Tun Abdullah menerusi konsep Islam Hadhari, lebih banyak penerimaan negatif dari masyarakat Islam khususnya. Jentera pentadbiran kerajaan gagal menjelaskan dan menginterpretasi konsep tersebut untuk menyakinkan rakyat, sebagai satu teras pembaharuan pentadbiran dan tatacara kehidupan rakyat. Pengundi di kawasan desa tidak faham dan keliru, menganggap sebagai satu ajaran baru. Lebih banyak membuka peluang untuk dimanipulasikan oleh pihak pembangkang di kalangan masyarakat Islam.

11.  Tugasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menimbulkan kontraversi ialah: Borang 15 A dan dakwat kekal. Calon-calon yang bertanding diwajibkan menyempurnakan Borang 15 A dengan mematikan setem. Calon-calon pembangkang tidak diberitahu pengecualian mematikan setem pada hari penamaan calon. SPR dituduh sengaja mencari jalan menyusahkan calon pembangkang.  Pelaksaan celupan dakwat kekal ditarik balik di saat akhir sebelum hari pengundian. Semua ini memberi reputasi yang tidak baik kepada SPR. Isu ini juga adalah saham untuk menjarakkan pengundi dengan BN. Sebagai agensi bebas, SPR dianggap agensi kerajaan untuk mencari jalan supaya BN kekal berkuasa.

12.  Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan di zaman Tun Dr Mahathir, bermula 2003, dianggap sebagai menjatuhkan martabat Bahasa Melayu. Cetusan penentangan berbagai golongan, bukan sahaja pejuang bahasa dan mereka yang ada kaitan dengan bidang pendidikan, menjadi salah satu faktor meruntuhkan sokongan kepada BN. Undi protes lebih menonjol di kalangan pengundi Melayu luar bandar di Semenanjung.

13.  Pemimpin BN khususnya UMNO ada sifat arrogance. Perwatakan sombong, berlagak dan takbur ini disuarakan oleh penyokong-penyokong BN dari MCA dan Gerakan. Di kalangan anggota komponen menyalahkan rakan sekutu. Undi BN di kawasan campuran dan majoriti bukan Melayu, merosot dengan peratus yang tinggi. Ini berlaku di seluruh negara, khususnya di Semenanjung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan