Isnin, 26 Disember 2011

  • KESAN PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHANRAYA


Kawasan pilihanraya (constituency) dibina sebelum negara mencapai kemerdekaan dalam tahun 1954 untuk menghadapi pilihanraya umum yang julung kali diadakan iaitu pilihanraya bagi Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya Legislative Council) pada Julai 1955. Sebanyak 52 kawasan telah digariskan berasaskan perwakilan berkawasan sistem Dewan Orang Ramai (House of Commons) Great Britain. Seorang ahli majlis atau councillor mewakili satu kawasan pilihanraya. 52 orang councillor dipilih melalui pilihanraya di kawasan masing-masing.

Selepas merdeka, badan legislatif dibentuk sebagaimana model Westminster Abbey, di mana Parlimen terdiri dari dua dewan: dewan perwakilan disebut sebagai Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Jumlah keahlian Dewan Rakyat ialah seramai 104 orang mewakili 104 kawasan, setiap 52 kawasan pilihanraya dalam Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dipecah dua kawasan.

Di peringkat negeri, badan legislatif dikenali sebagai Dewan Undangan Negeri, dengan jumlah keanggotaan yang berlainan kadar antara satu negeri dengan negeri lain. Di Perlis, setiap kawasan pilihanraya Parlimen dipecahklan keada 6 kawasan pilihanraya negeri (DUN), Kedah: 1 kawasan Parlimen dipecah kepada 2 kawasan pilihanraya negeri, begitulah ketidak seragaman nisbah antara kawasan parlimen dengan negeri, Kelantan 1:3, Terengganu 1:4, Pulau Pinang 1:3, Perak 1:2, Pahang 1:4, Selangor 1:2, Negeri Sembilan 1:4, Melaka 1:5, Johor 1:2.

Jumlah kawasan pilihanraya ini digunakan bagi Pilihanraya Umum Pertama selepas merdeka iaitu tahun 1959, PRU2 (1964) dan PRU3 (1969). Peruntukan perundangan mengizinkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menyemak dan mempersempadankan semula kawasan pilihanraya, genap tempoh 8 tahun, selepas pengubahan sempadan sebelumnya. Asas semakan sempadan kawasan ialah perkembangan penduduk.

Persempadanan kawasan pilihanraya (delineation) yang pertama selepas merdeka dilakukan dalam tahun 1973. Turning point dalam proses pilihanraya di negara kita ialah PRU3, yang membawa kepada Parlimen digantung, selepas darurat diistiharkan ekoran huru-hara selepas pilihanraya. Dalam PRU3, kemerosotan undi Perikatan (UMNO-MCA-MIC) amat ketara. Dua buah negeri jatuh ke tangan pembangkang: Kelantan (Pas-buat kali ketiga) dan Pulau Pinang (Gerakan). Timbul masalah pembentukan kerajaan negeri di Selangor (Perikatan:14 kerusi, Gerakan-DAP-Bebas:14 kerusi) dan Perak (Perikatan: 19 kerusi, Gerakan-PPP-DAP-Pas: 21 kerusi).

Bila pergantungan perlembagaan ditarikbalik, demokrasi dipulihkan, Parlimen mula berfungsi menerusi pembentukan kerjaan campuran di beberapa negeri dan juga kerajaan Persekutuan, awal 1973. Parti Perikatan yang hanya dapat 67 kerusi Parlimen di Malaysia Barat (kemudiannya disebut Semenanjung) berbanding 89 kerusi dalam PRU2, bersama parti-parti utama dari Malaysia Timur, USNO, PBB, SCA bersama parti pembangkang: Pas, Gerakan, PPP, SUPP membentuk Barisan Nasional. DAP dan SNAP kekal sebagai pembangkang.

Berikutan penyertaan Gerakan ke dalam BN, kepimpinannya berpecah. Dr Tan Chee Khoon (Ahli Parlimen Batu) dan V.David (Ahli Parlimen Datuk Keramat) menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (Pekemas). Mustapha Hussin (Ahli Parlimen Seberang Tengah) dan Ng Hoe Hun (Ahli Parlimen Larut Selatan) bersama Ahli Parlimen Parit (Pas) Hashim Gera menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA). Anggota Pas yang menentang kemasukan Pas dalam BN menubuhkan Barisan Bebas Bersatu untuk hadapi PRU4, dikepalai oleh Ahmad Fakaruddin Abdullah (Ahli Parlimen Pasir Mas Hilir). Segelintir penyokong PPP menubuhkan Independent PPP (IPPP).

Persempadan kawasan pilihanraya 1973 melibatkan pertambahan 10 kerusi Parlimen: 9 kawasan majoriti Melayu dan 1 kawasan bandar majoriti bukan Melayu. 9 kawasan tersebut ialah Ulu Muda, Machang, Kuala Krai, Ulu Nerus, Permatang Pauh, Matang, Maran, Jerantut dan Tanjong Karang. Kawasan bandar tersebut ialah Petaling. Pembentukan kawasan pilihanraya baru ini adalah pecahan dari kawasan pilihanraya Parlimen sedia ada. Dalam PRU4, kerusi baru tersebut diagihkan oleh BN kepada UMNO 7, Pas 2 dan MCA 1. BN menang semua kerusi tersebut kecuali Petaling. Kesimpulannya, pertembahan kerusi baru sama ada Parlimen atau DUN, semata-mata untuk menambah kerusi milik parti Melayu serta memperkukuhkan kedudukan UMNO dan Pas.

Persempadanan kawasan pilihanraya 1973 juga mengambilkira perubahan kerusi DUN Selangor, setelah perpisahan kawasan tadbiran Kuala Lumpur, ibukota negara dengan negeri Selangor. 5 kawasan Parlimen terlibat dan 10 kerusi DUN Selangor dimansuhkan berikutan peristiharan Wilayan Persekutuan Kuala Lumpur.  Dengan baki 11 kawasan pilihanraya Parlimen membentuk 33 kawasan pilihanraya negeri, berasas kadar 1 Parlimen: 3 kerusi DUN.

Dalam PRU4 (1974)  BN menang besar. Menguasai Parlimen dan semua DUN. Di Parlimen, BN memenangi 135 kerusi (87.66%) dari jumlah 154 kerusi. Pembangkang cuma kuasa 19 kerusi sahaja: DAP  9, SNAP  9, dan Pekemas  1 kerusi. BN menyapu bersih semua kerusi DUN di Perlis, Kelantan dan Pahang.

Pertambhan 10 kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN di Semenajung itu, adalah salah faktor utama membawa kepada prestasi cemerlang BN. Di samping itu, tidak kurang pentingnya ialah faktor pembentukan BN yang menggabungkan hampir semua parti utama. Kekalahan calon UMNO kepada calon Gerakan di Seberang Tengah ditebusbalik dengan wujudnya Parlimen Permatang Pauh oleh calon UMNO, walapun Bukit Mertajam terlepas kepada DAP. Kekalahan calon UMNO di Penang Selatan kepada calon Gerakan, dapat balik ke UMNO dalam PRU4. Di samping itu UMNO dapat menambahkan kerusi menerusi pembentukan kawasan baru. Pas yang dapat 12 kerusi dalam PRU3, dapat menambahkan kerusinya kepada 14 menerusi BN iaitu di Kuala Krai dan Ulu Nerus.

3 faktor utama kejayaan cemerlang BN: kejayaan membentuk BN hasil gabungan parti-parti utama, mandat sebagai PM dan persempadanan kawasan pilihan. Ini telah memperkukuhkan serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara pasca 13 Mei 1969.

Kekosongan suara pembangkang selepas PRU4, telah diisi oleh DAP. Dalam PRU5 (1978), DAP berjaya menambahkan kerusi Parlimennya dari 9 ke 16,bermulanya tapak di Malaysia Timur setelah memenangi kerusi Parlimen Sandakan. Tahun 1978, penguasaan BN ke atas undi Melayu, agak merosot berikutan penyingkiran Pas dari BN. Pas hilang kuasa di Kelantan, setelah gagal mempertahankan DUN. Di Parlimen, cuma menang 5 kerusi sahaja. Mampu bertahan 3 daripada 14 kerusi yang dimenangi dalam tahun 1974: Pengkalan Chepa, Bachok dan Kota Star, dan berjaya merampas 2 kerusi UMNO: Baling dan Permatang Pauh.

Dalam PRU5, BN menguasai 57.2 undi popular bagi Parlimen tetapi kuasa 130 kerusi dari 154 kerusi atau 84.41%. Bagi kerusi DUN (negeri-negeri di Semenajung sahaja, kerana DUN Sabah dan DUN Sarawak mengadakan pilihanraya berasingan), undi polupar BN ialah 57.4%. Sementara dalam PRU6 (1982), undi popular BN bagi Parlimen ialah 60.54% dengan memenangi 132 kerusi atau 85.74% kerusi Parlimen, di pihak pembangkang: DAP 9 kerusi, Pas 5 kerusi, dan 8 kerusi milikan calon Bebas. Di DUN (kecuali Sabah dan Sarawak), undi BN adalah 62.83%, dengan memenangi 281 kerusi (90.06%) dari jumlah 312 kerusi, pihak pembangkang cuma memungut 18 kerusi melalui Pas, 12 DAP dan seorang calon Bebas.

Prestasi BN dalam PRU6 lebih baik dari PRU5, yang diadakan dalam tempoh tak sampai 4 tahun, walaupun tanpa disokong oleh proses persempadanan kawasan pilihanraya sebagaimana perbandingan PRU4 dengan PRU3 dan PRU5. Faktor yang dominant ialah mandat kepada Perdana Menteri baru, Dr Mahathir Mohamad, yang mengambil tugasan dalam tahun 1981.  Dr Mahathir memanggil pilihanraya umum dalam tempoh 3 tahun 8 bulan sahaja. Tempoh penggal Parlimen yang paling pendek. Faktor-faktor pembaharuan dasar negara serta keyakinan yang tinggi terhadap beliau banyak beri sumbangan kejayaan cemerlang BN.

Hasil dari semakan persempadanan kawasan pilihanraya 1983, telah menghasilkan pertambahan 23 kerusi Parlimen: 18 di Semenanjung, 4 di Sabah dan 1 kerusi Wilayah Persekutuan Labuan, serta 39 kerusi DUN di Semenanjung. Dari 18 kerusi Parlimen di Semenanjung, 8 kawasan majoriti Melayu: Sik, Kok Lanas, Marang, Tasek Gelugor, Mentakab, Rompin, Jempol dan Selandar, 5 kerusi campuran: Bayan Lepas, Gopeng, Kapar, Ampang Jaya dan Tebrau, dan 5 kerusi majoriti bukan Melayu: Kampar, Pucong, Batu, Seputeh dan Bakri.

Menampakan persempadanan 1983 ini adalah seimbang iaitu kawasan berasaskan kepentingan kaum, serta kawasan berasaskan bandar-desa,  berbanding persempadanan 1973, difokuskan kepada menambahkan kerusi Melayu, ditumpukan memecahkan kawasan pilihan luar bandar. Persempadanan 1973 juga bolehkan dianalisiskan sebagai lebih keutamaan  geografis bukan perkembangan penduduk.

PRU7 (1986) menjelaskan kesan persempadanan kawasan pilihanraya ke 2 kepada parti-parti yang bertanding. Hasilnya tidak jauh berbeza dengan kesan persempadanan pertama dulu kepada PRU4. Berlakunya peningkatan undi dan kerusi BN. BN berjaya mengaut 60.54% undi popular yang dibuang di kawasan Parlimen dan memenangi 148 kerusi dari jumlah 177 kerusi atau 83.61%. Sementara DAP menang 24 kerusi, Pas cuma satu kerusi dan 4 kerusi dimenangi oleh calon Bebas.

 Bagi kerusi DUN (kecuali DUN Sabah dan DUN Sarawak), BN memperolehi 62.82% undi popular, dengan memenangi 299 kerusi atau 85.18% dari jumlah 351 kerusi yang dipertandingkan. Sementara DAP dapat 37 dan Pas 15 kerusi sahaja.

PRU7 mengekalkan prestasi BN yang diperolehi dalam PRU6, empat tahun lalu. Bantuan dari delineation exercises telah memperlengkapkan kecemerlangan BN. Keistimewaan PRU7 ialah peningkatan sokongan pengundi bandar kepada pembangkang menerusi DAP dan kemerosotan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang Melayu, yang diterajui Pas.

DAP kuasai 19 kerusi Parlimen di Semenanjung, 4 di Sabah dan 1 di Sarawak. Di samping itu, disokong oleh Projek Tanjong di Pulau Pinang, DAP menang 10 dari 33 kerusi DUN. Pas pula dibebani pencapaian yang paling rendah dalam sejarah, cuma menang di Parlimen Pengkalan Chepa. Di kerusi DUN, lebih sedikit dari prestasi teruk 1978.

PRU8 (1990), adalah satu penilaian sejauh mana kesan perpecahan dalam UMNO 1987, diikuti tanpa persempadanan kawasan pilihanraya. Kesannya: undi BN jatuh dari 60.54% (PRU7) kepada 53.38% daripada 5,778,876 pengundi yang keluar mengundi bagi kerusi Parlimen. Seramai 2,985,382 mengundi BN, di kawasan yang dipertandingkan.

BN menang 127 kerusi dari jumlah 180 kerusi Parlimen atau 70.56%. 4 parti pembangkang utama yang bergabung dalam dua pakatan Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah mencapai pencapaian yang terbaik dalam era Dasar Ekonomi Baru. DAP menang 20 kerusi, Parti Bersatu Sabah (PBS) 14 kerusi, Parti Semangat 46 dapat 8 kerusi dan Pas 7 kerusi. Baki 4 kerusi dimenangi calon Bebas. Kerusi Parlimen bertambah ke 180, kerana tambahan 3 kerusi hasil persempadanan kawasan pilihanraya di Sarawak.

Krisis UMNO menyebabkan parti itu kehilangan 14 kerusi Parlimen serta DUN Kelantan. Kesan yang lebih ketara ialah di Kelantan, Terengganu dan beberapa negeri lain di selatan Semenanjung. Di utara, kesannya tak seberapa kepada UMNO. Semua calon UMNO kalah di Kelantan.

Menerusi Projek Tanjong 2, DAP berjaya menambahkan kerusi dalam DUN Pulau Pinang. DAP dapat 14 kerusi berbanding 19 kerusi BN. Keseluruhannya berlaku peningkatan undi dan kerusi pembangkan di peringkat DUN. DAP capai 45 kerusi, Pas 33 kerusi, Semangat 46 dapat 19 kerusi dan Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) 1 kerusi. Kerusi BN turun dari 299 (PRU8) kepada 253 atau 72.08%. BN alami kejatuhan peratusan undi popular bagi undi DUN, dari 62.82% (PRU7) kepada 56.70%.

Dalam tahun 1993/1994, semakan kali ketiga kawasan pilihanraya di seluruh negara diadakan, kecuali Sarawak. Hasilnya berlaku tambahan 12 kawasan Parlimen baru dan 43 kawasan pilihanaraya DUN. 12 kawasan Parlimen tersebut dapat dianalisiskan: kawasan majoriti Melayu  6, campuran  2 dan majoriti bukan Melayu  4. Majoriti Melayu luar bandar: Padang Besar, Langkawi, Jeli dan Tenggara. Majoriti Melayu bandar/pinggir bandar: Paya Besar dan Gombak. Kawasan campuran bandar: Wangsa Maju dan Bandar Tun Razak. Kawasan majoriti bukan Melayu: Petaling Jaya Selatan, Subang, Gelang Patah dan Segambut.

Dalam PRU9 (1995), kesan persempadanan kawasan pilihanraya dapat dilihat dengan jelas. Undi BN telah meningkat. Bagi kerusi Parlimen, dari 2,985,382 atau 53.38% dalam PRU8 kepada 3,894,677 atau 65.15% dari 6,198,305 undi yang dibuang. Sementara dari segi kerusi yang dimenangi, meningkat dari 127 kerusi dari jumlah 180 kerusi atau 70.56% kepada 162 dari jumlah 192 kerusi atau 84.37%. Semua 12 kerusi Parlimen baru disapu bersih oleh calon-calon BN. Kerusi majoriti Melayu dimenangi calon-calon UMNO yang mewakili BN. Sementara kerusi tambahan campuran dan bukan Melayu dimenangi oleh lain-lain komponen BN.  dapat

Bagi kerusi DUN, seperti kerusi Parlimen, berlaku peningkatan kepada BN. BN berjaya perolehi 3,206,610 dari jumlah 4,931,219 keluar mengundi kerusi DUN (kecuali Sabah dan Sarawak) atau 66.98%. Berikutan tambahan 43 kerusi DUN, dari jumlah 394 kerusi, BN menang 338 atau 85.79%. DAP 11 kerusi, Pas 33 kerusi dan Semangat 46 kerusi.

Faktor kegagalan Projek Tanjong 3 DAP di Pulau Pinang, serta pengurangan kerusi DAP di beberapa negeri, selain kesan pengubahan sempadan kawasan pilihanraya adalah perpindahan undi masyarakat bukan Melayu, orang Cina khasnya kepada BN. Kemerosotan undi serta kerusi UMNO, yang mengurangkan penguasaan Melayu dalam kerajaan bersama peningkatan undi bukan Melayu kepada DAP, memberi ruang pengundi Cina memperbaiki kedudukan parti pemerintah, BN. Pengundi bukan Melayu telah membaiki imej kerajaan dengan harapan terbinanya sebuah kerajaan yang kukuh.

Di kalangan pengundi Melayu, yang terguris dengan masalah dalaman UMNO, hingga menyebabkan pengharaman UMNO, secara beransur kembali menyokong BN. Faktor ini menyebabkan undi dan kerusi Parti Semangat 46 mengalami kemerosotan. Ini beri ruang BN menonjolkan prestasi baik.

PRU10 (1999) BN berdepan dengan senario yang hampir sama dengan PRU8. BN hadapi perpecahan dalam UMNO ekoran pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim, untuk memasuki pilihanraya umum tanpa pengubahan sempadan kawasan pilihanraya. Hasilnya pertusan undi popular serta peratusan kerusi yang dimenangi BN menyamai pencapaian dalam PRU8.

BN memungut 3,749,511 dari 6,880,947 pengundi yang keluar mengundi bagi kerusi Parlimen atau 56.53% berbanding 53.38% dalam PRU8. BN memenangi 148 kerusi Parlimen dari jumlah 193 kerusi atau 76.68%, dalam PRU8, BN dapat 72.08% kerusi Parlimen. Pas dapat 27 kerusi, DAP 5, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) 5 dan PBS menang di 3 kerusi.

Bagi kerusi DUN, BN pungut 2,947,329 undi dari jumlah keluar pengundi 5,422,744 atau 56.64%, dalam PRU8, BN dapat 56.70%. Jumlah kerusi DUN dimenangi BN ialah 281 dari jumlah 394 atau 71.32%, berbanding 72.08% dalam PRU8. Pas berjaya menangi 98 kerusi dan berjaya bentuk kerajaan di Kelantan dan Terengganu. DAP cuma menang 11 kerusi dan Keadilan 4 kerusi.

Kesimpulannya, BN hilang banyak kerusi luar bandar dan kerusi majoriti pengundi Melayu. Kesan gerakan Reformasi yang dipelupori oleh Parti Keadilan berjaya menghambat sebahagian pengundi Melayu yang menyokong BN dalam PRU9. Pengundi Melayu dan luar bandar yang kembali menyokong BN dalam tahun 1995, sekali lagi sebagaimana pengalaman 1990, bertindak memihak ke parti-parti pembangkang.

Sebaliknya pengundi bandar dan bukan Melayu, masih seperti PRU9, bersama BN. Barisan Alternatif yang menggabungkan tenaga pembangkang utama: Pas, DAP, Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), hanya mendominasi kawasan luar bandar dan pengundi-pengundi Melayu. Gelombang Reformasi yang dipelopori oleh Keadilan dan disokong parti-parti dalam Barisan Alternatif gagal menyekat kemaraan sokongan rakyat menolak konspirasi kepimpinan BN, UMNO khususnya.

Teras sokongan luar bandar kepada BN: pengundi Bumiputera Sabah dan Sarawak, serta kawasan penempatan Felda, terus menyokong BN. Pengundi sektor kota yang dikuasai pengundi bukan Melayu, terus memihak ke BN.

Pelaksanaan semakan dan persempadanan kawasan pilihanraya kali ke 4 telah diadakan dalam tahun 2003. Sebanyak 27 kawasan pilihanraya Parlimen dibentuk. Justeru kesan merosotnya sokongan orang Melayu di Semenanjung kepada BN, UMNO khususnya, sebagaimana yang dipamirkan hasil PRU8 dan PRU10, persempadanan ini diabaikan di negeri-negeri majoriti Melayu: Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Fokus tambahan kerusi Parlimen adalah ditumpukan ke negeri yang tidak terjejas dengan gelombang Reformasi 1998, seperti Johor dan Sabah. Lebih banyak diwujudkan kawasan campuran gabungan pengundi Melayu di penempatan Felda dengan pengundi bukan Melayu di sektor kota.

Dari 26 kerusi Parlimen tersebut taburannya ialah Perak 1, Pahang 3, Pulau Pinang 2, Selangor 5, Wilayah Persekutuan 2, Negeri Sembilan 1, Melaka 1, Johor 6 dan Sabah 5. Tiada semakan sempadan dijalankan di Sarawak kerana kurang tempoh 8 tahun.

Di Semenanjung, cuma 8 kawasan majoriti Melayu: Lenggong, Indera Mahkota, Bera, Sungai Besar, Putrajaya, Rembau, Masjid Tanah dan Pengerang. 3 kawasan majoriti bukan Melayu: Cameron Highlands, Batu Kawan dan Bukit Gelugor. Baki 10 adalah kawasan campuran: Pandan, Puchong, Kelana Jaya, Kota Raja, Setiawangsa, Sekijang, Ayer Hitam, Sembrong, Pasir Gudang dan Tanjong Piau.









Tiada ulasan:

Catat Ulasan