Ahad, 27 Oktober 2019

PRK Tanjung Piai 4

TANGGUNGJAWAB PEMBANGKANG MERAMPAS BALIK KERUSI P165


Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang mengambil masa pengisian dalam tempoh yang panjang telah mendedahkan banyak persepsi dan telahan khususnya kepada kumpulan yang berkepentingan. Bukan setakat itu sahaja, malah khalayak umum yang lebih berminat memerhati politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), ikut sama menjadikan isu PRK Tanjung Piai lebih menonjol mewarnai ehwal semasa. 

Pihak pemerintah dan pembangkang, masing-masing memerlukan natijah dan signifikan dari PRK ini dapat membantu gerakerja organisasi masing-masing. Tempoh masa yang panjang dari tarikh kekosongan dengan hari mengundi menyediakan ruang secukupnya kepada semua pihak yang berkepentingan untuk mengisi kerja-kerja persiapan dan pengaturan strategi. Sungguhpun, apa-apa hasil dari keputusan PRK ini tidak menjejaskan kerajaan yang sedia ada, tetapi ianya pasti memberi dapatan yang boleh membantu kumpulan masing-masing. 

Pembangkang utama, Barisan Nasional (BN) sebagai pemegang tradisi kerusi P165 sebelum PRU14, mempunyai tanggungjawab besar menyakin pengundi Tanjung Piai, menawarkan diri kepada pengundi. Sebagai parti yang menguasai setiap kali pilihan raya sejak 60 tahun lalu, dari Parlimen Pontian Selatan, ke Parlimen Pontian, dan berakhir ke Parlimen Tanjung Piai bertenggungjawab membetulkan sebarang kekeliruan di bawah pemerintahan baharu atas semangat demokrasi. 

Kerusi Parlimen Pontian, kerusi tradisinya dikuasai UMNO selama 6 penggal semenjak PRU pertama (1959) berakhir dalam PRU7 (PRU 1986), apabila BN menganugerahkan kerusi ini kepada MCA. Kerusi Parlimen diberikan kepada MCA, sementara UMNO diperuntukan kedua-dua kerusi DUN. Selepas persempadanan kawasan pilihan raya 2003, kerusi Parlimen Pontian dipecahkan kepada Pontian dan Tanjung Piau. Kerusi Pontian diberikan kepada UMNO dan Tanjung Piau kepada MCA. Menerusi persempadanan 2003, kerusi Parlimen baru, Tanjung Piai membentuk satu bahagian pilihan raya negeri majoriti pengundi Melayu, Kukup dan satu kawasan majoriti Cina, Pekan Nenas.

Data terakhir menunjukkan Parlimen Tanjung Piai mempunyai 56 peratus pengundi Melayu. Penantian sekarang ialah apakah BN akan mengekalkan wakil MCA sebagai calon BN dalam PRK P165. Dalam PRU14, MCA hanya mampu mempertahankan satu kerusi Parlimen iaitu Ayer Hitam, Johor, kawasan pilihan raya mempunyai 57 peratus pengundi Melayu. 

Kemungkinan MCA  tidak dperturunkan berdasarkan kepada prestasi MCA dalam PRU lepas. Dalam PRU12 (2008), MCA meletakkan 40 orang calon dan menang 15 kerusi Parlimen, sementara di kerusi DUN, 90 calon MCA diturunkan dengan perolehi 31 kerusi DUN. Dalam PRU13, MCA menang 7 kerusi dari jumlah 37 calonnya, sementara di bahagian pilihan raya negeri, MCA menang 11 kerusi dari sejumlah 90 calon. Prestasi MCA paling tenat dalam sejarah, dilakukan dalam PRU14, apabila hanya menang 1 kerusi dari jumlah 39 calon Parlimen dan 2 kerusi DUN setelah mempertaruhkan 90 calon. Prestasi MCA yang semakin malap, tentu sekali tidak menyakin untuk mempertaruhkan MCA di kawasan campuran. 

Penolakan secara total pengundi Cina kepada MCA mewakili masyarakat, ada alasan jika BN terpaksa menukar calon. Percubaan BN tidak mempertahankan status quo di Cameron Highlands, BN menawarkan UMNO untuk bertanding di kawasan khas MIC. Tambahan pula, dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) pasca PRU14, sudah berlaku  alihan sokongan rakyat dari PH ke BN, dalam tempoh kurang satu tahun. 

Impaks jelas selepas PRU14 ialah keperluan kepada pengukuhan kuasa politik Melayu. PRU14 menyaksikan perpecahan undi Melayu menerusi saingan tiga penjuru mengubah kerajaan dominasi Melayu kepada pemerintahan didominasi kelompok Cina, yang menonjolkan DAP  lebih ketara menguasai kuasa membuat keputusan. Situasi ini mencetuskan idea Muafakat Nasional yang menonjolkan kerjasama UMNO dan Pas. Sejauhmana berkesannya rintisan Muafakat Nasional mampu menguasai arena politik pasca PRU14. Munasabah jika calon UMNO dikembalikan bertanding setelah 8 PRU diperuntukan kepada MCA. 

Kerusi Tanjung Piau yang dimenangi PH menerusi calon PPBM dalam PRU14 dengan majoriti kecil, membuka ruang menjadikan persaingan dalam PRK P165 dalam medan yang terbuka, sama rata dan bisa mencetuskan kejutan. Sama ada BN mengekalkan calon MCA atau mempraktikan strategi Cameron Highlands dengan mempertaruhkan calon UMNO kali ini. Prioriti utama seharusnya berpijak kepada keupayaan BN merampas balik kerusi Tanjung Piau, yang suatu masa dulu adalah antara kubu kuat UMNO, yang pernah menhantar tokoh-tokoh politik nasional seperti Ibu Zain, Datuk Ali Haji Ahmad, Ikhwan Nasir, ke Parlimen Malaysia. Parlimen ini beberapa kali memberikan kemenangan kepada pemimpin utama MCA, Ong Ka Ting. 

Penyertaan BN dalam PRK ini bukan sekadar usaha merampas balik kerusi tradisi tetapi mengisi ruang suara rakyat menilai prestasi kerajaan baru PH yang yang sedang diuji dengan karenah dan mehnah. Ketidaksefahaman dalaman dan antara parti dalam pakatan PH menampakkan kelemahan yang membantut perkembangan ekonomi dan hubungan sosial. Sejauhmanakah keupayaan BN berupaya mempertahankan undinya serta menarik undi Pas dalam PRU14 bersama berasaskan kecelaruan dan ketidaktentuan dalam PH serta urustadbir kerajaan Malaysia Baru.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan