Selasa, 5 November 2019

PRK Tanjung Piai 5

CABARAN SEBENAR PH LAWAN BN

Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai menyaksikan penampilan enam orang calon mewakili parti pemerintahan dan pembangkang dengan pelbagai latar belakang politik dan kehidupan. Parti pemerintah, meletakkan Karmaine bin Sardini, Ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai mewakili Pakatan Harapan (PH). Karmaine, bekas seorang arkitek bertanding mewakili PH dalam PRU14 di kerusi Parlimen P164 Pontian. 

Pembangkang utama, Barisan Nasional (BN) memberikan kerusi tradisi MCA ini kepada DS Dr Wee Jeck Seng, calonnya yang gagal mempertahankan kerusi P165 dalam PRU lepas. Wee adalah Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai. Beliau adalah Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal 2008 hingga 2018. Sebelum itu, Wee adalah ADUN Pekan Nenas (2004-2008). Wee pernah menjawat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, zaman kerajaan Abdullah Ahmad Badawi. 

Kedua-dua calon PH dan BN, nama yang tidak asing bagi masyarakat dan pengundi daerah Pontian dan kawasan Tanjung Piai, akan ditentang oleh empat lagi calon yang lebih merupakan muka baru, pertama kali sertai pilihanraya. Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang keluar dari komponen BN selepas PRU14, awal-awal lagi menawarkan diri untuk sertai PRK ini. Gerakan meletakkan Wendy d/o Subramanian, Penolong Setiausaha Agung Gerakan. Seorang peguam, calon paling muda, keturunan campuran Cina-India.

Barisan Jemaah Islamiah Se Malaysia (Berjasa) mempertaruhkan Presdiennya, Dato' Dr Badrulhisham bin Abdul Aziz, usahawan dan jurutera, dan bekas tenaga akademik di beberapa IPTA. Berjasa juga pernah menjadi komponen BN dan meninggalkan komponen tersebut, 30 tahun lalu. 

Ikut serta menawarkan diri bertanding dalam PRK P195 ialah dua orang calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani binti Ab. Ghaffar. 

Justeru tempoh masa yang panjang dari hari kerusi ini kosong hingga ke hari penamaan calon, memberikan ruang yang secukupkan pihak berkepentingan membuat persiapan dan percaturan. Sungguhpun persaingan PRK ini  disertai ramai calon dan dari kumpulan berbagai, berbeza dengan beberapa PRK pasca PRU14, yang ikut melibatkan ramai calon.

Berbeza dengan situasi mana-mana PRK yang diadakan dalam tempoh satu hingga tiga tahun selepas sesuatu PRU sebelum PRU14 dulu, berbanding dengan PRK selepas PRU14 kerana tumpuan utama ialah impaks dari pertukaran pemerintahan. PRK pasca PRU14 adalah medan ujian dan penilaian serta kerelevan sesuatu parti dalam politik tanah air di era Malaysia Baru. Sama ada di sebelah pihak pemerintah ialah parti-parti PH atau parti-parti pembangkang, prestasi dalam PRK adalah petunjuk atau indikator tentu arah masa depan dan semakan penambahbaikan. 

Buat julung kalinya, MCA memperkenalkan logonya dalam PRK Balakong (08/09/2018), bukan lagi logo BN secara tradisinya.  UMNO memberi laluan kepada Pas bertanding di PRK Seri Setia (08/09/2018), merintis bibit-bibit pakatan di kalangan parti pembangkang. Dalam PRK Port Dickson  (13/10/2018), BN memboikot, membuka laluan kepada Pas mencabar calon rasmi kerajaan. Laluan diberi kepada Pas di Seri Seria dan Port Dickson, menyaksikan peningkatan undi sokongan kepada Pas pasca PRU14. 

Di mana-mana PRK yang menyaksikan persaingan ramai calon, persaingan sebenar adalah dua calon utama. Sungguhpun saingan lebih dua penjuru, hakikinya ialah saingan dua penjuru. Dalam PRK Port Dickson, ditandingi oleh 7 orang calon; PH, Pas dan 5 orang calon bebas. Kesemua 5 orang calon bebas hilang wang pertaruhan, dengan saingan sebenar antara calon PH dan Pas. Calon bebas, TS Mohd Isa Abdul Samad, tokoh politik veteran tanah air, walaupun perolehi undi agak besar, yang banyak bergantung populariti peribadi, lebih 4,000 undi (9.73%) tetapi masih gagal menyelamatkan wang pertaruhannya. 4 calon bebas yang lain perolehi undi masing-masing tidak sampai 1 peratus.

Dalam PRK Cameron Highlands (26/01/2019), ditandingi oleh 4 orang calon. Pertandingan utama adalah calon PH dan BN berdasarkan beza undi antara kedua-dua parti yang kecil, 597 undi dalam PRU14.  Justeru kemenangan tipis BN menerusi calon MIC dalam PRU lalu, memberikan cabaran kuat dari PH yang meletakkan calon DAP, selaku mewakili parti yang memerintah, memberikan tumpuan kepada kedua-dua calon bebas jauh ketinggalan, menyebabkan mereka hilang wang pertaruhan, dengan perolehi undi masing-masing di bawah 2 peratus. 

Khalayak pengundi Cameron Highlands dan pemerhati tertumpu kepada sejauhmana dengan kekalahan majoriti kecil dalam PRU, memberi lebihan buat PH, disokong pula oleh faktor parti pemerintah. Tumpuan kedua ialah sejauhmana keberkesanan kerjasama UMNO-Pas, kemampuan  mengalih undi Pas lebih 3,500 undi dalam PRU memihak kepada calon UMNO yang mewakili BN. Di samping itu, kesan memindahkan kerusi tradisi MIC kepada UMNO. 

PRK Semenyih (02/03/2019) pula mempersembahkan satu petunjuk tersendiri dan kelainan berbanding PRK pasca PRU14, di mana saingan dalam PRK lebih dipengaruhi oleh hasil keputusan PRU14. Keputusan PRK Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson agak selari dengan keputusan PRU14, di mana parti yang mempertahankan kerusi menang dengan majoriti besar dalam PRU14. Cuma sekadar mengumpul kecenderungan pengundian dan sokongan kepada parti pemerintah dan parti pembangkang sahaja. 

PH menang dengan majoriti selesa, 8,964 undi dalam PRU14, sepatutnya tiada masalah mempertahankan kerusi Semenyih dalam PRK. Tambahan pula undi BN dicampur dengan undi Pas, masih gagal mengatasi undi PH. Di samping BN mencabar PH, ikut serta dua calon lain; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan seorang calon bebas, dalam saingan empat penjuru. Semenyih adalah antara kawasan pilihan raya tumpuan bagi PSM sejak beberapa PRU lepas, sementara calon bebas pula adalah seorang aktivis sosial yang popular di kalangan masyarakat marhein. Namun begitu, saingan tetap menjadi dua calon utama; PH dan BN. BN yang diwakili calon UMNO atasi calon PPBM mewakili PH dengan majoriti 1,914 undi. Calon PSM hanya perolehi 2.16% dan calon bebas 1.76% undi.

PRK Rantau (13/04/2019) menyaksikan BN berjaya mengatasi PH, dalam saingan empat penjuru. Calon BN perolehi 63.2% undi menang dengan majoriti besar, 4,510 undi dalam saingan empat penjuru. Dua orang calon bebas, masing-masing perolehi kurang satu peratus. 

Dalam PRK Sandakan (11/05/2019) yang ditandingi oleh calon PH, PBS dan 3 orang calon bebas. Calon PH menang besar dengan majoriti 11,521 undi mengatasi calon PBS. Calon-calon bebas jauh tertinggal. Dua orang calon bebas, dapat undi di bawah satu peratus. Calon bebas ketiga, Hamzah Abdullah, tokoh politik veteran Sabah hanya perolehi  3.65% undi.

Kesimpulannya daripada 8 PRK pasca PRU14, saingan hanya tertumpu kepada dua calon utama. Semua calon yang menduduki tangga ketiga dan sterusnya hilang wang pertaruhan, bukan sahaja gagal memberi saingan malah tidak berkesan langsung kecuali calon-calon tertentu yang ada sedikit populariti lantaran peranan dan keterlibatan dalam politik tanahair masa lampau. 

Berbalik kepada senario selepas hari penamaan calon di Tanjung Piai, dijangkakan tidak jauh berbeza dengan situasi yang menghasilkan keputusan 8 PRK lepas. PH menerusi calon PPBM menang PRU14 dengan majoriti 524 undi, mengatasi  calon BN yang meletakkan calon MCA. Apa yang jelas sebelum dan selepas penamaan calon, pastinya saingan tertumpu kepada PH dan BN. 

Cabaran utama kepada PH ialah pergolakan dalam PH sendiri yang disebut sebagai penyumbang kegagalan PH mempertahankan kerusi Semenyih. Di samping isu-isu semasa prestasi kerajaan PH khususnya janji-janji pilihan raya disusuli kelembaban ekonomi yang membantut peningkatan taraf hidup rakyat. BN berdepan cabaran hasil Muafakat Nasional yang dirintis oleh UMNO dan Pas, untuk menyaksikan sejauh mana penerimaan pengundi khususnya di kawasan campuran. Sungguhpun kerjasama UMNO-Pas menampakkan hasil di Cameron Highlands dan Semenyih, pencapaian di Tanjung Piai akan membantuk halatuju masa depan pemuafakatan pembangkang. Ke manakan sebanyak 2,900 undi yang diperolehi oleh calon Berjasa yang bertanding atas logo Pas dalam PRU14, siapakah sebenarnya mereka; penyokong Pas atau penyokong Berjasa. Undi ini akan menentukan keputusan dalam situasi seimbang PH lawan BN.

Gerakan yang belum bertanding di daerah Pontian yang mendakwa sebuah parti berbilang kaum menjadikan PRK Tanjung Piai sebagai ujian kerelevanannya dalam politik Malaysia selepas keluar dari BN. Berjasa yang memenangi beberapa kerusi dalam PRU 1978 dan 1982 di Kelantan sebelum keluar BN, cuba meletakkan keberadaannya dalam politik Malaysia di era Malaysia Baru. 

Kerusi Parlimen Tanjung Piai, sebuah kawasan campuran dengan taburan pengundi; 30,141 pengundi Melayu (56.88%), 22,000 pengundi Cina (41.52%), 532 pengundi India (1.0%) dan 47 orang Bumiputera Sabah (0.09%) akan menentukan bagaimana kawasan campuran mencorakkan politik Malaysia selepas kehilangan dominasi 60 tahun BN menguasai kerajaan. Sejauhmana kemampuan calon PPBM mempertahankan kerusi yang dimenangi dengan majoriti kecil yang mewakili sokongan sebenar masyarakat campuran kawasan luar bandar terhadap kerajaan yang berusia setahun lebih. Apakah kesempatan dari pergolakan dalam PH hari ini serta prestasi kurang merangsang beberapa PRK di Semenanjung memberi ruang kepada MCA menerusi Wee Jeck Seng untuk bernafas setelah tinggal seorang wakil sahaja di Parlimen. 

Pengalaman, pemerhatian dan rujukan kepada perkembangan politik menerusi PRK pasca PRU14, apakah parti-parti Gerakan dan Berjasa, malah calon-calon bebas berjaya mengalih tumpuan saingan seimbang 50-50 antara PH dan BN, mengajak pengundi Tanjung Piau membuat alternatif mencari jalan tengah. Sejauhmanakah mereka, khususnya calon-calon Gerakan dan Berjasa mampu mencipta kejutan dalam kesibukan pengundi bertumpu kepada saingan PH-BN, tambahan pula mereka adalah pendatang baru atau percubaan pertama dalam demokrasi kepilihanrayaan amalan Malaysia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan