Isnin, 14 Oktober 2019

Tambah Baik Pilihanraya 2

 sambungan

SYOR ERC MENAMBAHBAIK PERJALANAN PILIHANRAYA

Syor Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihanraya (ERC) mengalih tanggungjawab pendaftaran parti-parti politik dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih menepati amalan di kebanyakan demokrasi hari ini. Kebanyakkan negara maju, khususnya negara-negara Commonwealth meletakkan urusan pendaftaran parti politik di bawah tanggungjawab pihak berkuasa pengurusan pilihan raya. 

Britain negara tertua mengamalkan sistem pilihan raya perwakilan berkawasan (constituency representatives) menerusi mekanisme perundangan dua dewan legislatif, menjadi ikutan amalan demokrasi kepilihanrayaan. Sistem amalan Britain terdiri dari dua dewan perundangan: House of Commons dan House of Lords. Satu dewan dianggotai oleh wakil rakyat dipilih menerusi pilihan raya, sementara dewan kedua dianggotai ahli dilantik. Sebuah badan; Election Commission ditugaskan mengurus perjalanan pilihan raya untuk menganggotai dewan perwakilan; House of Commons. Di Britain, partai-partai politik tertakluk kepada Registration of Political Parties Act. Akta ini mensyaratkan semua parti politik didaftarkan kepada Election Commission. 

Australia dan Canada, yang mempraktikkan sistem demokrasi Britain atau Westminster Abbey, mengwujudkan dua dewan perundangan. Australia menggunakan satu badan perwakilan (House of Representatives) dan satu badan legislatif dilantik; Senat. Canada menggunakan mekanisme perundangan sama; dewan perwakilan (House of Commons) dan dewan Senate.  Sebagaimana di Great Britain, parti-parti politik hendaklah mendaftar diri dengan pihak berkuasa pengurusan pilihan raya; Australian Election Commission di Australia dan Election Canada di negara Canada. 

Di Australia, sesebuah parti politik akan dibatalkan pendaftaran sekiranya senarai keahlian parti kurang dari 500 orang dan tidak mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli Parlimen. Di Canada, suruhanjaya pilihanraya berkuasa membatalkan sesebuah parti sekiranya tidak aktif dalam tiga kali pilihanraya umum berturut-turut. Suruhanjaya pilihanraya yang mesyaratkan parti-parti politik berdaftar dengannya memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana parti yang gagal tugasan routine seperti laporan tahunan, penyata parti dan sebagainya. 

Sebagai badan bebas yang menjalankan tugasan melaksanakan pilihanraya dan kerja-kerja berkaitan, memang sewajarnya berkuasa penuh ke atas parti-parti politik selaku pelanggan utama suruhanjaya berkenaan. Tanggungjawab sepenuhnya parti politik adalah kepada suruhanjaya pilihanraya untuk memberikan keadilan kepada parti. Pengalaman lampau dalam konteks politik Malaysia, bagaimana layanan yang tidak adil ke atas parti tertentu oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan. Usaha menubuh parti politik diberikan layanan berbeza, khususnya sama ada memberi political mileage atau sebaliknya kepada parti pemerintah oleh ROS sebagai agensi birokrasi. 

Parti-parti serpihan hasil krisis politik parti-parti yang bermasalah dengan kerajaan Persekutuan diberi layanan istimewa, apabila proses pendaftaran dipermudahkan. Penubuhan Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (Berjasa) di kala krisis Kelantan 1978, sebuah parti serpihan Pas. Krisis ini lebih menggambarkan usaha UMNO yang menguasai kerajaan untuk melemahkan musuh utamanya, Pas. 

Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) serpihan SNAP begitu cepat diluluskan pendaftaran, di kala krisis kepimpinan SNAP 1983, yang secara tak langsung satu konspirasi kepimpinan Kuala Lumpur. Begitulah beberapa parti serpihan saperti Parti Rakyat Sarawak (PRS) serpihan PBDS, Sarawak Progressive Democratic Party (SPDP) serpihan SNAP, Barisan Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) serpihan USNO,  sekadar segelintir contoh pendaftaran parti politik diluluskan dalam tempoh amat pendek. 

Parti-parti baru yang ditubuhkan pembangkang mengambil masa yang lama untuk diluluskan. Parti Keadilan Nasional yang lahir dalam zaman Reformasi 1998, terpaksa menggunakan sebuah parti yang tidak aktif, Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan), kaedah yang sama diambil oleh Parti Amanah Negara (Amanah) menyelinap ke dalam Parti Pekerja Malaysia (PPM). Parti Sosialis Malaysia (PSM) adalah antara parti yang terpaksa menunggu belasan tahun untuk didaftar oleh ROS. Parti Peribumi Bersatu Malaysia, serpihan UMNO, alami masalah pendaftaran menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Selepas PRU14, dalam sekelip mata, PPBM didaftarkan, setelah menjadi sebahagian parti yang menguasai kerajaan Persekutuan.

Justeru objektif utama kebanyakan parti politik adalah menyertai pilihanraya, syor ERC untuk meletakkan parti politik sepenuhnya di bawah SPR lebih munasabah. Dalam sejarah Malaysia, sukarnya parti pembangkang melaksanakan pendaftaran dan senangnya pendaftaran parti pro government of the day di bawah ROS, perlunya reformasi penambahbaikan urus tadbir dan ketelusan mencari intergriti, syor atau cadangan penambahbaikan SPR adalah sesuatu yang praktikal dan rasional.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan