Khamis, 24 Oktober 2019

PRK Tanjung Piai 3

TINDAKAN BERANI PARTI GERAKAN

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) awal-awal lagi mengumumkan akan menyertai PRK P165 Tanjung Piai, agak mengejutkan. Gerakan yang semakin merudum prestasi dan keberadaan dalam politik Malaysia dengan keputusan positif kepada PRK ini, lebih banyak membawa persoalan kepada pemerhati politik dan khalayak awam. Parti Gerakan yang ditubuhkan dalam tahun 1968 hasil penyatuan tenaga berbagai latar belakang; Prof Syed Hussin Al Atas dan Prof Wang Gungwu (tokoh akademik), Dr Lim Chong Eu (bekas pemimpin MCA, kemudiannya mengasas parti, UDP), Dr Tan Chee Khoon dan V.Veerapan (bekas pemimpin Partai Buruh Malaya) dan Dr J.B.A. Peter  (Presiden Majlis Perubatan Malaysia). Gabungan tenaga pengasas yang mewakili keperluan sebuah wadah politik berbagai kaum, hadir tepat pada masa dan tuntutan politik. 

Pengharaman Partai Buruh Malaya dalam tahun 1967 dan prestasi United Democratic Party (UDP) yang dipelopori bekas ahli MCA, menyediakan satu ruang kekosongan wadah politik. Kekosongan ini diisi oleh satu pendekatan baru sebuah entiti mewakili masyarakat berbilang kaum. Golongan ini tidak tertarik dengan dengan Democratic Action Party (DAP) yang ditubuhkan menggantikan People's Action Party (PAP) selepas pemisahan Singapura, 1965. Golongan ini mengisi ruang menerusi pendekatan baru, parti berbilang kaum, Gerakan.

Percubaan awal menerusi dua PRK di Selangor sebelum PRU3 (PRU 1969) tidak memberikan hasil yang memberangsankan. Bertanding atas logo sendiri, atas persefahaman pilihan raya dengan DAP dan PPP, memberikan hasil yang melunakkan sebagai sebuah parti baru. Dalam PRU tersebut, Gerakan berjaya menguasai 8 kerusi Palimen dan sebuah kerajaan negeri di Pulau Pinang. 

Impaks PRU3, yang menyaksikan kegagalan MCA menguasai pengundi Cina, memaksa MCA menarik diri dari kabinet Persekutuan. Berikutnya kesan dari cabaran apa yang disebut sebagai "young turks" dalam MCA, tokoh-tokoh muda dipecat dari parti, antaranya Dr Lim Keng Yaik, Paul Leong Khee Seong, Alex Lee, Dr Tan Tiong Hon, menyertai Gerakan. 

Penubuhan Barisan Nasional oleh 14 buah parti politik utama termasuk Gerakan dalam tahun 1974, memberikan kesan besar kepadanya. Gerakan berubah wajah dari sebuah parti berbilang kaum kepada parti Cina. Tokoh-tokoh utama; Syed Hussien Al Atas, Tan Chee Khoon, V. Veerapan, V. David telah menubuhkan Parti Keadilan Masyarakat (PEKEMAS), sementara  Mustapha Hussien turut membantu menubuhkan Kesatuan Insaf Tanah Air (KITA). Bahagian besar ahli bukan Cina telah meninggalkan parti. PEKEMAS dan KITA tidak bertahan lama, hanya mampu menyaingi BN dalam PRU4 sahaja.  walaupun

Dalam tahun 1981, Michael Chen, bekas Timbalan Presiden MCA menyertai Gerakan bersama 120,000 bekas anggota MCA. Michael Chen tewas kepada Lee San Choon dalam perebutan jawatan Presiden MCA, dalam tahun 1979. 

Pencapaian Gerakan sebagai parti pelbagai kaum dalam PRU3 gagal dipertahankan setelah menyertai BN dan perubahan wajah parti. Gerakan dilihat sebagai parti mewakili masyarakat Cina bersaing dengan MCA dalam BN dan bersaing dengan DAP di luar BN. Pencapaian menurun walaupun terus mengetuai kerajaan BN di negeri Pulau Pinang. Gerakan mengetuai kerajaan Pulau Pinang selama 9 penggal (1969-2008), walaupun beberapa penggal di penghujungnya kerusi UMNO lebih banyak berbanding kerusi Gerakan dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. 

Kejayaan paling cemerlang Gerakan ialah dalam PRU11 (PRU 2004) di mana BN mencapai pencapaian yang terbaik, apabila memenangi 10 kerusi Parlimen. Selepas itu, hanya perolehi 2 kerusi Parlimen dalam PRU12, 1 kerusi Parlimen (PRU13) dan gagal memenangi sebarang kerusi sama ada Parlimen atau DUN dalam PRU14. 

Gerakan yang bermula sebagai parti berbilang kaum, tetapi hari ini wajah keperlbagaian kaumnya bertukar menjadi parti yang didominasi oleh satu kaum. Dalam struktur kepimpinan utama peringkat nasional, dikuasai oleh kepimpinan Cina, kecuali dua orang dari kaum India, sebagai Naib Presiden. Daripada jumlah 24 orang anggota Jawatankuasa Pusat, 21 Cina, 2 India dan seorang Melayu. 

Gerakan, sama ada di bawah kepimpinan Lim Chong Eu, Lim Keng Yeak, Koh Tsu Khoon, Mah Siew Yong atau pimpinan terkini, Dominic Lau Hoe Chai, tidak dapat lari cerminan perubahan status asalnya berbilang kaum kepada sebuah parti Cina, walaupun secara undang-undangnya sebaliknya. Sama seperti DAP, secara umumnya Gerakan sebuah parti Cina. 

Sungguhpun Gerakan ada tapaknya di Johor, negeri paling kuat sokongan UMNO sebelum PRU14, dengan memiliki sebuah kerusi Parlimen dan kerusi DUN, tapi perlu diingat kemenangan calon Gerakan adalah atas logo dacing selepas PRU4. Kemenangan dengan logo BN lebih bergantung kepada persefahaman komponen BN. Kemenangan atas lambang BN tidak mencerminkan kekuatan parti berkenaan di kerusi berkenaan, kerana ianya lebih banyak bergantung kepada ihsan sokongan kepada komponen induk, bukan individu parti. 

MIC, parti mewakili masyarakat India, Perikatan, kemudiannya BN, menganugerahkan beberapa kerusi Parlimen dan DUN untuk ditandingi calon MIC. Di negara ini, tiada sebarang kawasan pilihan raya yang mempunyai majoriti pengundi India, malah hendak cari lebih 30 peratus pengundi India pun amat sukar dan mustahil. Mengambil kira kedudukan masyarakat India sebagai satu komponen penting, contohnya dari jumlah 12.5 juta pemilih di Semenanjung dalam PRU14, 1.05 juta adalah masyarakat India atau 8.43 peratus, MIC sebagai mewakili suara masyarakat India diperuntukkan 9 kerusi dari jumlah 165 kerusi Parlimen Semenanjung, iaitu 4.5 peratus. 

Semasa Gerakan bertanding bersendirian, berjaya memenangi kerusi-kerusi pilihan raya di Pulau Pinang, Perak, Selangor, serta kerusi DUN di Kedah dan Pahang, iaitu PRU3. Selepas menyertai BN serta perkembangan selepas PRU4, BN memperuntukan tambahan kerusi untuk ditandingi di negeri-negeri lain. Ukuran kekuatan Gerakan berasaskan kekuatan keahlian parti, membantu BN mengagihkan kerusi kepadanya. Ukuran sebenar kekuatan Gerakan menerusi pilihan rakyat tidak berlaku. Justeru itu, kekuatan dan pengaruh sebenar Gerakan hanya berasaskan perkiraan lateral sahaja bukan secara mutlak. 

Kegagalan memenangi sebarang kerusi dalam PRU14, setelah diperuntukan 11 kerusi Parlimen dan  31 kerusi DUN, membawa kepada Gerakan mengambil keputusan tanggungjawab keluar dari komponen BN. Keputusan Gerakan menyertai PRK Tanjung Piau, satu tindakan yang cukup berani bagi parti yang didominasi masyarakat Cina mencuba nasib di kawasan campuran, dengan 56 peratus pengundi Melayu. 

Sungguhpun tradisi BN memperuntukan kerusi Tanjung Piau kepada MCA dan gagal bertahan dalam PRU14, di kala 92% pengundi Cina menolak BN, apakah rasional Gerakan bertanding di PRK ini. Logiknya, dalam PRU14, undi calon MCA dari BN, bahagian besarnya adalah undi Melayu yang membentuk Johor sebagai kubu kuat UMNO dulu. Dalam PRU14, kerusi ini dimenangi calon Melayu dari PPBM mewakili pakatan pembangkang, yang sudah semestinya bahagian besar undi Cina. 

Selain mencuba meletakkan Gerakan sebagai sebuah parti yang masih relevan dalam politik Malaysia, kecenderungan besar matlamatnya ialah untuk memecahkan undi Cina yang padu menyokong Pakatan Harapan. Usaha menarik keluar undi Cina dari sokongan kepada PH, sebagai satu strategi membina pola politik Malaysia pasca PRU14. Andainya, penyertaan Gerakan dalam PRK ini memberikan impaks, bukan sahaja meletakkan kerelevanan keberadaannya dalam politik Malaysia, tetapi melangkapkan ayungan undi yang semakan menjauhkan PH slepas PRU14. 

Walaupun tidak logik sebuah parti berbilang kaum dominasi masyarakat Cina membuat kejutan dalam PRK ini, tetapi bagi sebuah parti yang pernah menerajui sebuah kerajaan, perlu melakukan sesuatu untuk jaminan survival politiknya. Di mana USNO dan Berjaya yang merupakan satu kuasa politik dulu berada sekarang. Tindakan berani Gerakan haruslah dihormati demi maruah dan kelansungan politik.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan