Jumaat, 4 Oktober 2019

PRK Tanjung Piai 2

TEMPOH YANG LAMA UNTUK ISI KEKOSONGAN KERUSI

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memutuskan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P165 Tanjung Piai pada Sabtu, 16/11/2019. Sementara hari penamaan calon ialah pada 02/11/2019, iaitu tempoh 14 hari masa berkempen. 

Dalam zaman pemerintahan Barisan Nasional/Perikatan (1959-2008) dan kini, pemerinatahan Pakatan Harapan, tugasan SRP mengurus pilihan raya menjurus kepada kepentingan parti pemerintah. Parti-parti pembangkang ada kalanya membangkitkan tidak puas hati khususnya perletakan tarikh mengundi dan tempoh masa berkempen. 

Keputusan SPR memutuskan hari penamaan calon dan hari mengundi bagi PRK P165 Tanjung Piau mendapat kritikan dari dua parti pembangkang; UMNO dan MCA. UMNO dan MCA dijadualkan akan mengadakan mesyuarat agung pusat parti masing pada tarikh-tarikh utama PRK Tanjung Piau, dalam suasana tarikh-tarikh tertentu  melibatkan hari-hari peristiwa khusus keagamaan. Kekangan tempoh 60 hari, PRK perlu diadakan, meletakkan tarikh diputuskan SPR  bertembung dengan agenda parti UMNO dan MCA. 

Memanglah sepintas lalu dengan mengambil beberapa contoh PRK masa lalu dan terkini, peraturan tempoh 60 hari membuka SPR melaksanakan PRK dan PRU tidak seragam menetapkan tarikh-tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Ada kerusi yang dipenuhi dalam tempoh 30 hari selepas kekosongan, ada hampir tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan. Kadang-kadang jelas menunjukkan beragenda membantu parti pemerintah, ada kalanya untuk mendera dan menyusahkan parti pembangkang. Kebetulan BN pernah jadi kerajaan dan kini pembangkang, PH dulunya pembangkang dan kini memerintah. 

PRK Kuala Besut, mengambil masa tak sampai 30 hari untuk isi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu. Kerusi kosong pada 26/06/2013 kerana kematian ADUN penyandang dan PRK diadakan pada 24/07/2013. Hari penamaan calon diadakan 12/07/2013, hari keempat umat Islam pengundi majoriti Kuala Besut menunaikan ibadat puasa, sementara pengundiaan pada 16 Ramadhan. PRK boleh diadakan selepas bulan Ramadhan kerana ada masa 17 hari selepas umat Islam berhariraya, sebelum habis tempoh peruntukan 60 hari. 

Lantaran kedudukan kerusi kerajaan dan pembangkang di DUN Terengganu setelah kekekosongan kerusi Kuala Besut: 16:15, mendedahkan berbagai risiko kepada BN yang menguasai kerajaan. Faktor ini menjadi alasan PRK diadakan dalam tempoh yang pendek, walaupun mengganggu umat Islam sedang menunaikan salah satu rukun agama. Tempoh ini menjejaskan persiapan parti pembangkang. 

PRK Parlimen Kuala Terengganu, mengambil masa 50 hari untuk mengisi kekosongan. Kerusi kosong kerana kematian Ahli Parlimen penyadang pada 28/11/2008. Kerusi ini menjadi tarikan kerana kemenangan BN dalam PRU12 dengan majoriti kecil, 600 undi. Tempoh yang lama untuk SPR mengumumkan hari penamaan calon dan hari mengundi, dibaca oleh orang ramai sebagai masalah berdepan BN mempertahankan kerusi. PRK pada 17/01/2009 membuktikan masalah BN, BN hilang kerusi dengan majoriti yang lebih besar. 

PRK Parlimen Bukit Gantang dalam suasana politik tidak stabil di Perak, selepas penggulingan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Pas. Tambahan pula, buat pertama kali BN hilang kerusi Bukit Gantang dalam PRU12. Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia pada 09/02/2009 dan PRK diadakan pada 07/04/2009, hampir genap tempoh 60 hari. Namun begitu, BN masih gagal merampas kerusi yang terlepas kepada calon Pas. 

PRK Manek Urai pada 14/07/2009 adalah hampir menjangkau tempoh 60 hari, setelah kekosongan berlaku pada 22/05/2009. Berdasarkan kepada rekod beberapa PRU, kemenangan Pas banyak bergantung kepada faktor kekuatan peribadi calon Pas, Ismail Yaakob, wakil rakyat 4 penggal. Kekalahan Pas dalam PRU11 (PRU 2004), apabila Ismail Yaakob tidak dicalonkan. Bila Ismail dicalonkan semula dalam PRU12, Pas berjaya merampas semula kerusi Manek Urai. Kematian Ismail pada 22/05/2009, membuka peluang kepada UMNO/BN merampas balik. Tempoh yang panjang antara kekosongan kerusi dengan hari mengundi, ditafsirkan setengah pihak untuk memberi ruang masa yang lebih kepada BN melakukan kerja persiapan pilihan raya. Usaha BN menampakkan hasil walaupun tewas, apabila hanya dijarakkan oleh 65 undi sahaja dengan calon Pas yang memenangi PRK berkenaan.

PRK Parlimen Hulu Selangor pada 25/04/2010, hanya berselang 30 hari sahaja selepas kekosongan kerusi pada 25/03/2010. Kerusi Hulu Selangor, tradisinya sejak merdeka, adalah kubu Perikatan/BN. Cuma dalam PRU12, buat pertama kali dikuasai oleh pembangkang menerusi PKR. Kemenangan tipis, dengan majoriti 198 undi, menggambarkan BN mempunyai peluang untuk mengubah keputusan, dalam keadaan persiapan PKR dan Pakatan Harapan yang terdesak. PRK ini memberikan kemenangan kepada calon BN dengan majoriti yang lebih besar.

Selepas PRU14, pelaksanaan PRK Parlimen Port Dickson dalam tempoh 30 hari selepas kekosongan kerusi. Kerusi Port Dickson kosong pada 12/09/2018 dan PRK diadakan pada 13/10/2018. Pakatan Harapan yang tiada masalah untuk pertahan kerusi yang disandang, disokong dengan faktor hendak memasukkan DS Anwar Ibrahim ke Parlimen dengan kadar yang cepat serta lemah semangat UMNO yang memulaukan PRK, membantu PRK Port Dickson dipercepatkan. 

Mengambil kira antara alasan SPR tidak memilih tarikh tertentu yang lebih awal untuk PRK P195 Tanjung Piau, ialah mengelak ganggu majlis sambutan Deepavali pada 27/10/2019. Tarikh Sabtu, 26/10/2019 tidak dipilih sebagai menghormati persiapan penganut Hindu menyambut hari kebesaran mereka. Perlu diingatkan sebagai perbandingan, PRU ke 2 (PRU 1964) diadakan pada 25/04/1964, iaitu 2 hari selepas Hari Raya Qurban. PRU2 berlangsung dalam suasana masyarakat Islam masih berhariraya dan masih melakukan ibadat qurban dalam tempoh hari-hari tasyrik. 

Berbekalkan beberapa PRK sebagai perbandingan pelaksanaan amalan demokrasi berpalimen berasaskan kepada perwakilan berkawasan (constituency representatives) first past the post, tidak dapat dinafikan beberapa keputusan SPR dalam menjalankan tugasannya, ada kecenderungan berpihak kepada parti yang memerintah, government of the day. Tempoh yang agak panjang walaupun tidak melanggar peraturan 60 hari, setelah kekosongan kerusi P165 pada 21/09/2019. Tempoh 55 hari, yang memaksa UMNO dan rakannya MCA yang mendokong BN, yang sekian lama menguasai politik Tanjung Piai, terpaksa menangguhkan mesyuarat agung pusat parti masing-masing.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan