Rabu, 9 Oktober 2019

Tambah Baik Pilihanraya 1

SYOR TAMBAH BAIK PILIHAN RAYA  DI MALAYSIA

Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihanraya (ERC) telah mengesyorkan tiga cadangan dalam usaha menambahbaik sistem undang-undang pilihan raya di Malaysia. Syor berkenaan adalah:
i. mengubah sistem perwakilan berdasarkan kepada peratusan undi yang dimenangi oleh parti politik;
ii.  pendaftaran parti politik diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bukan lagi di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS);
iii.  penubuhan  Suruhanjaya Persempadanan Kawasan Pilihan Raya. 

Syor pertama adalah mewujudkan dua sistem pilihan raya, masing-masing bagi peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Sistem pilihanraya sedia ada dikekalkan untuk Dewan Undangan Negeri. Disyorkan pilihan raya peringkat Parlimen menggunakan kaedah perwakilan berkadar (proportional representation) iaitu perwakilan dipilih berasaskan peratusan undi popular setiap parti keseluruhan. Pengundi memilih parti bukan calon sebagai anggota Parlimen, di mana parti yang berjaya menguasai peratusan undi diberikan peratusan kerusi perwakilan. Jika parti A memperolehi 10 peratus undi popular seluruh negara, parti A diberi peruntukan 10 peratus kerusi di Parlimen. Dari jumlah 222 kerusi Parlimen semasa, parti A akan mendapat 22 kerusi. Parti A akan menentukan perwakilannya di Parlimen untuk menduduki 22 kerusi berkenaan. Parti kemukakan senarai calon ikut turutan keutamaan kepada pengurusan pilihanraya yang terhad dipilih. 

Kaedah pemilihan anggota badan legislatif ini lebih popular hari ini dan banyak digunakan dalam amalan pilihanraya. Contoh popular sistem ini ialah pemilihan ke Bundestag, dewan perwakilan Jerman. Selain Jerman, sistem ini diamalkan di kebanyakan negara Eropah; Belgium, Denmark, Finland, Greece, Hungary, Italy, Luxemboug, Norway, Russia, Sepanyol, Sweeden, Switzerland. Thailand dan Indonesia adalah contoh terdekat perwakilan berkadar atau proportional representation.

New Zealand mengamalkan kedua-dua sistem FPTP dan proportional representatives dalam membentuk Parlimennya. Parlimen New Zealand mempunyai 120 ahli dengan 71 dipilih menerusi perwakilan berkawasan sementara 49 kerusi diperuntukan untuk mewakili parti, perwakilan berkadar berasaskan peratusan undi popular dicapai setiap parti. Dalam proses pengundian, seseorang pemilih diberi dua kertas undi; satu untuk memilih wakil kawasan dan satu untuk memilih parti. 

Pendekatan pemilihan anggota badan perundangan kaedah proportional representatives (PR) dikatakan lebih demokratik. Antaranya, semua pandangan dan suara dalam sesebuah demokrasi berpeluang diwakili di badan perundangan. Di dalam sistem demokrasi berbilang parti, semua parti bersaing antara satu sama lain dan berpeluang dipilih menganggotai dewan legislatif. Ruang terbuka dan berpeluang kepada parti-parti kecil menghantar perwakilan ke dewan perundangan. Dalam amalan First Past The Post (FPTP), wujudnya ketidakseimbangan perwakilan dan saiz pengundi oleh kerana ketidakseimbangan atau kesetaraan pemilih antara kawasan pilihan raya. Ada wakil rakyat mewakili satu kawasan yang mempunyai lebih 100,000 pengundi, ada pula wakil rakyat mewakili kawasan pengundi kurang 50,000 pengundi.

Dalam kes Malaysia, mengambil contoh dari Pilihan Raya Umum ke 14, saingan utama tiga penjuru antara Pakatan Harapan (DAP, PKR, Bersatu, Amanah) bersama Parti Warisan Sabah, Barisan Nasional (UMNO dan 13 parti lain), Gagasan Sejahtera (Pas bersama 3 parti kecil), di samping Perikatan Sabah Bersatu (dikepalai Parti Solidariti Tanahairku) dan parti-parti kecil yang lain, memberikan ruang kepada banyak parti menganggotai dewan perundangan Persekutuan, Parlimen. 

Dalam PRU14, Pakatan Harapan memperolehi 5,518,638 undi daripada jumlah 12,082,431 undi sah keseluruhan 222 kerusi Parlimen, iaitu 45.68% undi popular. PH memperolehi 113 kerusi atau 50.90% kerusi Parlimen. Kalau ikut proportional representation, PH hanya perolehi 101 kerusi. Parti Warisan Sabah 280,520 undi atau 2.32% dan memangi 8 kerusi iaitu 3.61% kerusi Parlimen. Di samping itu, 3 orang calon bebas menyertai PH dan Parti Warisan membentuk kerajaan dengan 113+8+3 menjumlahkan 124 kerusi atau 55.85% untuk menguasai suara majoriti mudah di Parlimen. Kalau ikut sistem PR dengan jumlah undi oleh 124 calon tersebut adalah 5,853,222 adalah 48.44% undi popular. Pakatan PH-Warisan-Bebas hanya terhak perolehi hanya 107 kerusi sahaja di Parlimen. Kejayaan PH membentuk kerajaan selepas PRU14 semata-mata lantaran saingan 3 penjuru menerusi FPTP di kebanyakan kawasan terutama di Semenanjung. 

BN memperolehi 4,080,797 undi atau 33.77% undi, memperolehi 79 kerusi. Jika mengambil kaedah PR, jumlah peratusan tersebut sepatutnya 75 kerusi Parlimen. Pas memungut 2,041,186 undi atau 16.90% memperolehi 18 kerusi Parlimen. Kalau ikut sistem pilihan raya menggunakan mekanisme PR, Pas sepatutnya perolehi 37 kerusi Parlimen bersepadanan dengan pencapaian undi 16.90%. Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sabah memperolehi satu kerusi Parlimen dalam PRU14. Perikatan Sabah Bersatu sepatutnya layak diperuntukkan 2 kerusi Parlimen menerusi perwakilan berkadar, dengan masing-masing satu kerusi untuk STAR dan Parti Harapan Rakyat Sabah, yang memperolehi 67,158 undi atau 0.56% undi.  

Berdasarkan pencapaian undi setiap parti dalam PRU14 peringkat Parlimen,  jika agihan kerusi mengikut proportional representatives (PR), PH hanya layak mendapat 45.68% atau 107 kerusi Parlimen berbanding kerusi pembangkang sebanyak 115 kerusi Parlimen berdasarkan dapatan 54.32% undi. 

Dengan amalan demokrasi kepilihanrayaan mekanisme FPTP amalan perwakilan berkawasan (constituency representatives), jelas dapat dilihat kepada PRU14, kesan besar pengabaian prinsip demokrasi dialami oleh Pas. Pas yang mencapai 16.90% undi tetapi tidak menduduki 16.90% kerusi Parlimen. Undian yang diberikan oleh pengundi tidak diterjemahkan dalam memenuhi tuntutan demokrasi rakyat memilih kerajaan. Rakyat mengharapkan Pas dapat memain peranan yang lebih mencabar dan berpengaruh di Parlimen, tetapi kaedah FPTP hanya mampu memberikan 18 kerusi kepada Pas iaitu hanya 8.11% kerusi Parlimen. Sementara bagi PH dan BN, perbezaan antara mekanisme FPTP dengan proportional representatives, adalah kecil berbanding perbezaan yang berkesan dan besar kepada Pas. 

Rasionale cadangan ERC, kaedah proportional representatives untuk peringkat Parlimen dan mengekalkan kaedah FPTP untuk peringkat Dewan Undangan Negeri ada kewajarannya. Ini bermakna Ahli Parlimen mewakili parti manakala ADUN mewakili satu kawasan pilihan raya. Ruang lingkup berbeza antara seorang Ahli Parlimen dengan seorang ADUN berfokus kepada keterlibatan kemasyarakatan. Pergerakan dan kehidupan harian seseorang warganegara memerlukan perkhidmatan ADUN untuk rujukan, kecaknaan, bantuan dan sumbangan, berbanding seorang Ahli Parlimen mewakili parti dalam menentukan arah tuju dan merangka dasar dan perundangan negara untuk kemajuan rakyat dan negara.  Oleh kerana, perkhidmatan ADUN langsung dengan rakyat, ADUN memerlukan kawasan, walaupun bilangan pengundi serta saiz kawasan yang tidak seimbang yang dibatasi faktor geografi dan kemudahan sosial. 

bersambung












Tiada ulasan:

Catat Ulasan