Ahad, 29 September 2019

PRK Tanjung Piai 1

TANJUNG PIAI UJIAN SEIMBANG BAGI PH & BLOK PEMBANGKANG

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang bakal diadakan ekoran kematian penyandang kerusi P165, Dato' Md Farid Md Rafik tempoh hari, lebih menarik dibincangkan dari sudut impaks kepada kedua-dua pihak utama; Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan dan blok pembangkang khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN). 

Bahagian pilihan raya Persekutuan P165 Tanjung Piai dibentuk menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003. Sebelum persempadanan, kawasan ini adalah sebahagian dari bahagian pilihan raya Persekutuan Pontian, yang digunakan dalam dalam pilihan raya umum (PRU) bermula PRU4 (PRU 1974), hasil persempadanan semula 1973, sehingga PRU10 (PRU 1999). Bahagian pilihan raya Persekutuan P144 Pontian mengandungi dua bahagian pilihan raya Negeri: N39 Pulau Sebatang dan N40 Kukup dipecahkan kepada P164 Pontian dan P165 Tanjung Piau, dan masing-masing terkandung dua bahagian pilihan raya negeri. Kawasan baru P164 Pontian terkandung N53 Benut dan N54 Pulau Sebatang, sementara N55 Pekan Nenas dan N56 Kukup dalam P165 Tanjung Piau. 

Kawasan P165 Tanjung Piau adalah bahagian besar N40 Kukup sebelum persempadanan 2003.  Dalam PRU10, taburan pengundi di kawasan pilihan raya Kukup: Melayu 52.4%, Cina 46.7%, India 0.9%. Sungguhpun Kukup, satu kawasan campuran dan Kukup yang merupakan sebahagian kawasan Parlimen Pontian, sejak sekian lama adalah kubu kuat BN, tetapi BN sentiasa melatakkan calon UMNO untuk kerusi ini. 

Dalam PRU10, BN menerusi Jamilah Endan memenangi kerusi Kukup setelah menguasai 80.8% undi popular, untuk mengatasi undi calon Parti Keadilan. Sebelum itu, dalam PRU9, Ahmad Abdullah yang mewakili BN memungut 89.2% undi popular, di kala kedudukan BN cukup kuat, selepas merosot kesan perpecahan UMNO selepas pemilihan kepimpinan 1987, dalam PRU8. Kemerosotan peratusan undi BN dalam PRU10 (PRU 1999) adalah kesan Reformasi 1998 yng memberi sedikit kesan di negeri-negeri selatan Semenanjung. Gambaran kekuatan BN dan UMNO khususnya yang menghilangkan wang deposit calon lawan, menggambarkan latar belakang kawasan pilihan raya Kukup yang kemudiannya membentuk Parlimen Tanjung Piau. 

Dalam PRU11 (PRU 2004) yang menyaksikan kejayaan cemerlang BN, yang ada kaitan dengan persempadanan semula sebahagian kawasan pilihan raya di seluruh negara, kerusi baru P165 Tanjung Piau diperuntukan kepada calon MCA. Ong Ka Ting yang memenangi kerusi Parlimen Pontian dalam PRU10, diperturunkan mewakili BN. Beliau memenangi kerusi campuran ini dengan menguasai 86.4% undi popular, untuk mengatasi calon DAP, Tan Hung Meng. Ong memperolehi 28,046 undi, sementara Tan hanya dapat 4,431 undi. Undi Tan tidak jauh beza dengan undinya yang juga bertanding kerusi negeri Pekan Nenas, 4,233 undi. Pekan Nenas adalah kawasan majoriti pengundi Cina. 

Persaingan antara BN dengan parti pembangkang di daerah Pontian, walaupun tanpa pakatan pembangkang, adalah satu lawan satu. Ini dapat dikesan semenjak PRU4 (1974). Daerah Pontian adalah antara kawasan-kawasan kubu kuat Perikatan/BN, yang sukar disaingi pembangkang, malah dalam PRU6, BN menang tak bertanding di Parlimen Pontian.  

Kerjasama yang mantap parti-parti pembangkang menerusi Pakatan Rakyat telah mengubah pola pilihan dan prestasi BN. Bermula PRU12,  BN gagal mengekalkan pencapaian kuasai lebih 80% undi serta tradisi menghilangkan wang pertaruhan parti lawan. Bagi kerusi Parlimen Tanjung Piau, yang mempunyai 50.16% pengundi Melayu, 48.77% Cina dan 1.01% India, calon MCA mewakili BN, Wee Jeck Seng hanya memperolehi 68.1% undi sahaja. Undinya merosot ke 23,302 undi berbanding 28,046 undi dipungut BN dalam PRU11. Undi DAP telah meningkat dari 4,431 undi kepada 8,973 undi, menerusi calon Melayu, Ahmad Ton, bekas Pengerusi DAP Johor. 

Dalam PRU13, peratusan pengundi Melayu telah meningkat kepada 52.11% di Parlimen Tanjung Piai, dengan pengundi Cina merosot kepada 46.5%, tidak menjejaskan sokongan kepada pembangkang yang diwakili DAP menerusi calon Melayu, Mahzir Ibrahim. Calon DAP memungut 19,581 undi iaitu 43.8% berbanding 8,973 undi atau 31.9% dalam PRU12. 

Sebaliknya, walaupun berjaya meningkatkan undi kepada 25,038 undi, telah sebenarnya berlaku kemerosotan dibandingkan dengan jumlah pengundi Parlimen Tanjung Piau yang meningkat dalam PRU13. Undi BN hanya 56.2%, yang mengecilkan majoriti kemenangan dari 12,371 undi (PRU12) kepada 5,457 undi (PRU13). 

Dalam PRU13, bermulanya pertapakan DAP di daerah Pontian, apabila DAP berjaya menguasai kerusi negeri Pekan Nenas, salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Tanjung Piau. Calon DAP, Yeo Tung Seng memungut 15,434 atau 54.7% undi untuk mengatasi Wong You Fong calon BN, yang dapat 12,767 atau 45.3% undi, dengan majoriti 2,669 undi. Dalam PRU12, calon BN, Tang Nai Soon memperolehi 12,297 undi mengalahkan Ahmad Ton, dari DAP, dengan majoriti 3,324 undi. Calon DAP memperolehi 8,973 undi atau 42.2% undi popular. Dalam PRU12, peratusan pengundi di Pekan Nenas; Melayu 37.8%, Cina 61.0%, sementara dalam PRU13; Melayu 40.7%, Cina 57.8%. 

Dalam PRU14, berlaku pengurangan pengundi berdaftar bagi kerusi Pekan Nenas dari 32,486 orang (PRU13) kepada 26,608 orang, dengan komposisi; Melayu 53.4%, Cina 45.1%, India 1.0%, Lain-lain 0.5%. DAP masih mengekalkan kerusi Pekan Nenas dengan pengecilan saiz kemenangan. Yeo Tung Seng hanya perolehi 11,856 undi atau 52.9% berbanding 54.7% dalam PRU13. Calon BN, Tan Eng Meng, perolehi 10,548 undi atau 47.1% berbanding 45.3% dalam PRU13. 

Kerusi N56 Kukup adalah kawasan majoriti Melayu, dimenangi BN menerusi calon UMNO, Jamilah Endah dengan majoriti besar dalam PRU11, 9,941 undi. Beliau memungut 11,544 undi berbanding undi calon Pas, Ahmad Samsi Kemat, 1,605 undi atau 12.2% (gagal mempertahankan wang deposit). 

Dalam PRU12, calon Pas, Ahmad Samsi Kemas, walaupun kalah tetapi mampu mempertahankan wang deposit, apabila berjaya meningkatkan undinya kepada 17.2% undi popular, serta mengurangkan majoriti kemenangan calon BN, kepada 8,639 undi. Peratusan undi popular BN dalam PRU11 87.8% menurun kepada  82.8% dalam PRU12. Taburan pengundi DUN Kukup; Melayu 69.72%, Cina 29.39%, India 0.16% dari jumlah 17,687 pemilih.

Dalam PRU13, pengundi N56 Kukup ialah 19,389 orang, terdiri dari; Melayu 71.26%, Cina 27.56%, India 0.34%. BN yang mempertahankan kerusi ini menerusi Suhaimi Salleh meraih 11,682 undi atau 71.1%, kerana peningkatan undi diperolehi calon Pas, Haji Ghazali Ayub yang mendapat 4,736 undi atau 28.9% undi, telah menyempitkan perbezaan undi kepada 6,946 undi. 

Penurunan peratusan pengundi Melayu kepada 60.2% serta peningkatan pengundi Cina, 38.21%, dalam PRU14, membuka ruang yang lebih terbuka kepada BN dan pasukan pembangkang. Lantaran ketiadaan Pas dalam pakatan pembangkang menjadikan saingan di Kukup kepada 3 penjuru: BN, Pakatan Harapan dan Pas. BN masih kekalkan kerusi apabila calonnya, Datuk Othman Yusof berjaya memungut 11,173 undi atau 51.9% untuk menyingkirkan calon PH dari Amanah, Suhaizan Kayat yang perolehi 10,251 undi, dengan majoriti 862 undi. Calon Pas, Dr Karim Deraman hanya perolehi 1,040 undi atau 4.8% (hilang wang pertaruhan). Kerusi Kukup yang tradisinya diberikan kepada Pas untuk mencabar UMNO, dapat menyelamatkan BN lantaran perpecahan undi tradisi Pas. 

Dalam PRU14, kawasan Parlimen Tanjung Piai mempunyai 53,528 pemilih iaitu; 56.8% Melayu, 41.64% Cina dan baki 1.7% adalah pemilih India dan lain-lain kaum. Di kawasan campuran ini, BN mengekalkan wakil MCA, Wee Jeck Seng, sementara PH meletakkan calon Melayu dari Parti Bersatu, Dr Md Farid Md Rafik. Pas memberikan kerusi ini ditandingi oleh sekutunya, Parti Berjasa, Nordin Othman. 

BN hilang kerusi Parlimen buat pertama kali, di daerah Pontian, kubu kuat UMNO sejak merdeka, apabila calonnya hanya perolehi 20,731 undi atau 46.1% undi. Parti Bersatu, serpihan UMNO unggul dengan 21,255 undi atau 47.3% undi, untuk memenangi kerusi P165 dengan majoriti 524 undi. Calon Berjasa mewakili Pas hanya mampu dapat 2,962 undi atau 6.5% serta hilang wang pertaruhan. 

Daripada perkembangan dan kecenderungan pencapaian parti-parti dalam tempoh pembentukan kawasan pilihan raya P165, dua faktor menarik perhatian penganalisaan; perkembangan politik peringkat nasional dan perubahan taburan pengundi mengikut ras. Peningkatan dan kemerosotan sokongan kepada mana-mana blok sama ada kerajaan atau pembangkang sedikit sebanyak dipengaruhi sentimen perkauman. Undi DAP merosot bila pengundi Cina berkurangan, begitu juga undi UMNO semakin kecil bila peratusan pengundi Melayu menurun. 

Pengundi Melayu yang semakin meningkat di Parlimen Tanjung Piau; 50.2% (PRU12), 52.1% (PRU13), 56.8% (PRU14), membantu pakatan pembangkang menukar strategi memilih calon. Setelah kurang berkesan perletakan calon Melayu DAP, dilepaskan kepada calon Parti Bersatu, serpihan UMNO, di kubu UMNO/BN. Sebaliknya BN mengekalkan calon BN di kala bilangan dan peratusan pengundi Melayu yang semakin meningkat.

Sepatutnya BN boleh dengan senang mengekalkan kerusi P165 setelah berlaku saingan tiga penjuru kesan perpecahan pembangkang. Undi pembangkang berpecah, tetapi lantaran Pas sendiri diancam serpihannya, Amanah, bukanlah satu faktor penentu. 

Hasil PRU14 bagi Parlimen Tanjung Piai dan kedua-dua kerusi DUN, memberikan latar belakang menarik dan istimewa kepada politik masa depan. Dengan perkembangan semasa khusus penyatuan UMNO-Pas, undi sebanyak 2,900 yang diberikan Pas, boleh menjadi faktor penentu PRK P165 Tanjung Piau. Dijangkakan perkembangan pasca PRU14 bagi kedua-dua pasukan; kerajaan PH dan blok pembangkang, akan mendominasi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil P165 Tanjung Piai nanti.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan