Sabtu, 2 Mac 2019

PRK Semenyih 3

KEPUTUSAN PRK SEMENYIH ADALAH SEBUAH CETUSAN SUARA REFERENDUM RAKYAT

Hari ini, 02/03/2019, pengundi kawasan pilihan raya negeri Semenyih telah membuat keputusan mengubah pilihan mereka lakukan sembilan bulan lalu. Dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) mereka telah memberikan kemenangan besar kepada Pakatan Harapan, setinggi 8,964 undi. 

Kekalahan atau kegagalan calon PH mempertahankan undi sebanyak 23,428 undi dalam PRU14, dengan jelas memperlihatkan satu manifestasi penolakan rakyat terhadap sebuah kerajaan yang baru dibina. Memperolehi undi sebanyak hanya 17,866 undi dalam PRK hari ini iaitu kemerosotan sebanyak 5,526 undi atau 23.7%, sesuatu yang mencerminkan populariti yang terjejas. Kemerosotan 23.7% undi yang lebih besar berbanding pengurangan peratusan keluar mengundi menyumbangkan kemerosotan prestasi PH. 

Dalam PRU14, seramai 88% pengundi telah keluar membuang undi, sementara dalam PRK hanya 73.3% keluar mengundi iaitu pengurangan 14.7%. Jika mengambil alasan kemerosotan undi lantaran peratusan keluar mengundi yang berkurangan, meletakkan dengan lebih jelas penurunan sokongan kepada PH. Lebih tepat disimpulkan, dengan jelas PH kehilangan penyokong dalam tempoh sembilan bulan. Kegagalan PH menunaikan janji pilihanraya yang lunak dan menawan berkecenderungan berlakunya kekecewaan mereka yang mengundi PH dalam PRU14. Di samping itu, isu-isu nasional yang berfokus kepada ancaman kepada masa depan orang Melayu dan agama Islam di bawah pentadbiran PH memberikan saham kemerosotan sokongan yang diraih PH. 

Peratusan keluar mengundi 73.3% yang dicatat  dalam PRK N24, adalah paling tinggi berbanding lima PRK selepas PRU14. Berpandukan peratusan keluar mengundi tersebut mempertontonkan kecaknaan dan kesungguhan pengundi dalam satu PRK untuk menyuarakan harapan dan bantahan. Di samping itu, lazimnya dalam mana-mana PRK, peratusan keluar mengundi memberikan advantage atau kelebihan kepada parti pemerintah. Kekalahan sebuah parti mewakili kerajaan bermodalkan majoriti besar yang sepatutnya jika tidak mampu pertahan kerusi boleh menang dengan majoriti yang merosot.  Faktor yang menolak dapatan, kajian dan analisis beberapa pihak, bahawa faktor PH berada di bangku kerajaan mampu PH mempertahankan kemenangan. 

Peranan Pas yang memperolehi 15.09% dalam PRU14 dan tidak sertai PRK N24, adalah salah satu faktor utama membantu Barisan Nasional menumbangkan PH yang awalnyadisifatkan dalam situasi selesa. Kerjasama Pas dengan BN menjadikan faktor utama mengubah keputusan PRK ini. BN berjaya meningkatkan undinya dari 14,464 undi dalam PRU14 kepada 19,780 undi iaitu pertambahan 5,316 undi atau 36.75%. 

Dianggarkan undi Pas yang sebanyak 6,966 undi dalam PRU14 telah menyumbangkan sekitar 5,000 undi kepada BN iaitu 73% dari undi Pas diambil kira 73% angka keluar mengundi hari ini. Ini bermakna di sekitar 300 hingga 500  undi sahaja, pengundi PH yang melakukan ayungan kepada BN, jika dia dikira semua pemilih yang memberi undi kepada BN dalam PRU14 keluar membuang undi dan mengekalkan sokongan dalam PRK hari ini. Jika 73% angka keluar mengundi dijadikan asas perkiraan dengan 73% pengundi BN dalam PRU14 keluar mengundi hari ini,  angka penyokong PH yang lari adalah di sekitar  4,000 pemilih. Pokoknya ialah angka pengundi yang meninggalkan PH juga banyak membantu memenangkan BN. 

Kerjasama Pas dengan BN, khususnya UMNO yang menampakkan kesan dalam PRK Cameron Highlands, mengukuhkan lagi hasil kerjasama tersebut dalam PRK N24. Jika faktor ini berkelanjutan, kuasa pembangkang akan lebih berkesan dan satu kuasa baru yang mengancam kerajaan sedia ada. 

Faktor 'malu apa, bosku' dengan penampilan DS Mohd Najib, mantan PM adalah satu lagi faktor yang mendominasi PRK N24. Tidak ada pihak yang mempopularkan faktor ini sebagai faktor yang boleh menggugat jentera dan sokongan PH, untuk membantu serangan isu-isu nasional yang menghimpit keselesaan kerajaan PH. 

Apapun kekalahan calon PH dalam PRK N24 bolehkan difokuskan kepada dua faktor utama. Pertama, sebagai satu pungutan suara walaupun di satu daerah tetapi secara tidak langsung menyuarakan bantahan rakyat keseluruhannya terhadap isu pentadbiran kerajaan PH di peringkat nasional khususnya. Kedua, PRK ini mempamirkan kekuatan suara sebahagian rakyat yang menyokong kerjasama dan perpaduan antara dua parti Melayu terbesar; UMNO dan Pas.




 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan