Isnin, 18 Mac 2019

Rahmat Kekalahan PH

APAKAH CETUSAN DASAR EKONOMI MELAYU SEBAGAI RAHMAT DARI KEKALAHAN PAKATAN HARAPAN

Tiba-tiba muncul satu cetusan baru dari kerajaan Pakatan Harapan menerusi kenyataan Datuk Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, bahawa kerajaan akan menggubal satu dasar ekonomi Melayu baharu. Dasar ekonomi ini digubal berteraskan pertumbuhan, menjamin kesaksamaan dan pengkongsian kemakmuranbagi mendepani cabaran ekonomi semasa. 

Dasar ekonomi ini akan mencerakinkan semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan meyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia berkonsepkan "shared prosperity" (pengkongsian kemakmuran).  

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam membina sebuah ekonomi baru di bawah Malaysia Baru, kepentingan dan keutamakan nasib orang Melayu sebagai kaum majoriti menjadi agenda utama. Matlamat yang merupakan perlanjutan dari dasar amalan pemerintah terdahulu menjadi teras pembinaan bangsa menerusi kontrak sosial, dengan meletakkan tumpuan dan menjaga kepentingan orang Melayu. 

Penggubalan dasar ekonomi yang memberi tumpuan kepada agenda Melayu sekurang-kurangnya menepis persepsi pemerintahan Pakatan Harapan yang tidak meletakkan keutamaan kepada kepentingan orang Melayu dan kaum Bumiputera. 

Apakah secara kebetulan pengumuman cadangan penggubalan dasar ekonomi ini dilakukan selepas beberapa siri pilihanraya kecil (PRK). Kebetulan dua PRK terakhir tidak memihak kepada parti pemerintah. Walau bagaimanapun umumnya tafsiran awal melihat ianya sebagai impaks dari keputusan PRK. 

Keputusan dua PRK terakhir iaitu PRK Cameron Highlands dan PRK Semenyih, sungguhpun ianya secara khusus satu cetusan suara rakyat tempatan atau kawasan tertentu tetapi secara umum digambarkan satu keputusan mewakili skala yang lebih besar. Ianya diletakkan sebagai satu ujian sikap rakyat hasil kerja buat pemerintah baru yang memasuki tahun kedua. Kedua-dua PRK tersebut merumuskan penolakan pengundi Melayu kepada parti yang mewakili pemerintah, secara langsung satu alamat jelas pandangan rakyat ke atas prestasi pemerintahan Malaysia Baru.

Kemenangan calon pembangkang, Barisan Nasional (BN) yang lebih besar berbanding PRU14 serta kejayaan BN merampas kerusi Semenyih, hasil daripada penyatuan undi Melayu. Dalam PRU14, di kedua-dua kerusi berkenaan, undi Melayu berpecah kepada sokongan kepada calon BN dan Pas,sedangkan dalam kedua-dua PRK berkenaan, Pas tidak meletakkan calon untuk membolehkan penyokongdan pengundinya menyokong calon tunggal pembangkang. 

Apa yang hendak disoalkan ialah apakah rancangan menggubal satu dasar ekonomi Melayu sebagai satu penyelesaian kepada persepsi pengundi Melayu tentang ancaman dasar dan pemerintahan baru terhadap masa depan orang Melayu. Hasil PRK tersebut merumuskan kebimbangan tentang ancaman kepada orang Melayu oleh dasar dan pembawaan pentadbiran PH. Kiranya hakikinya atau apa yang tersirat penggubalan dasar ekonomi ini sebagai hikmah dan rahmat kekalahan calon-calon PH dalam PRK berkenaan.

Bacaan awal pasca PRK Cameron Highlands dan Semenyih meletakkan rasa tak puas hati hasil dasar pemerintahan semasa yang boleh mengancam kedudukan, kebajikan dan kepentingan orang Melayu dan Islam di masa hadapan, sebagai antara faktor kemerosotan undi PH. Di samping itu, pendekatan pemerintahan baru yang menimbulkan rasa curiga kepada orang Melayu dan Islam, dalam kerangka rahmatul alamin melayani kemajmukan masyarakat Malaysia.
.

 

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan