Rabu, 27 Februari 2019

PRK Semenyih 2

TAK TERKEJUT CALON PAKATAN HARAPAN GAGAL PERTAHAN PRESTASI

Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Semenyih pada 02/03/2019 nanti yang membuka ruang agak luas berbagai pihak membuat ramalan berasaskan situasi semasa. Terjahan tafsiran jangkaan keputusan PRK N24 lebih bertumpu kepada iklim politik semasa mencakupi isu nasional dan  isu tempatan. 

Dalam mana-mana PRK di negara kita sebelum PRU14, isu-isu tempatan termasuk peribadi calon lebih mendominasi isu nasional. Kadang-kadang isu nasional tenggelam diatasi oleh isu tempatan yang dekat dengan pengundi setempat. Dari isu kebajikan rakyat membawa kepada kemudahan prasarana, yang menjadi agenda besar membolehkan parti yang memerintah sama ada pertahan kerusi atau pencabar mengatur berbagai program membolehkan kepimpinan kerajaan turun berkampung. Tetapi suasana PRK di bawah pemerintahan baru, sebaliknya apabila semua pihak akur dengan peraturan perjalanan pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sudah tidak nampak kenderaan rasmi jabatan atau agensi kerajaan berkeliaran di mana-mana PRK. 

Perubahan suasana PRK masakini membukakan serba kemungkinan jangkaan keputusan PRK. Jika dulu, kebarangkalian keputusan PRK luar jangka adalah kecil bilangan atau peratusannya. Penyertaan dalam PRK adalah untuk menyuburkan ruang demokrasi di samping mengembangkan pengaruh parti, dengan agenda merampas kerusi bukanlah matlamat utama. Matlamat berbeza bergantung kepada kekuatan pihak lawan yang sedia ada. 

Kejayaan calon Pakatan Harapan dari PPBM atau Bersatu dengan kemenangan majoriti besar di N24 dalam PRU14, majoriti 8,964 undi atau 19.42%, meletakkan PH dalam keadaan selesa. Kemenangan majoriti besar tersebut sepatutnya memberikan calon PH, Muhammad Aiman Zainali tidak bermasalah untuk memenangi kerusi N24. PRK ini sekadar satu pungutan suara rakyat Semenyih  menilai prestasi kerajaan PH yang menguasai negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan. Jika dalam PRU14, calon PH memungut 23,428 undi atau sokongan 50.76% pengundi Semenyih yang keluar membuang undi, sejauhmanakah keupayaan PH menerusi Muhammad Aiman mempertahankan sokongan. 

Apakah jaminan mewakili parti pemerintah memudahkan laluan mempengaruhi pengundi sebagaimana kemenangan besar calon-calon PH dalam PRU14, banyak membantu kemenangan calon-calon PH dalam PRK Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia. Berapakah saiz ruang PH akan mengulangi pencapaian dalam beberapa siri PRK di negeri Selangor tersebut. 

Dalam PRK Parlimen Teluk Intan pada 17/05/1997, calon parti pemerintah, BN gagal pertahan kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar, 13,968 undi dalam PRU 1995. Calon pembangkang dari DAP, M. Kula Segaran berjaya merampas kerusi ini dari BN dengan majoriti 2,916 undi. Di dalam PRK Parlimen Arau, pada 17/07/1998, kemenangan selesa BN dalam PRU 1995, iaitu 6,929 undi, gagal dipertahankan apabila calon BN terpaksa akur dengan kejayaan calon Pas, Hashim Jasin merampas kerusi BN, dengan majoriti 1,323 undi.  

Kemenangan besar BN bagi kerusi DUN Lunas dalam PRU 1999 dapat dinafikan apabila calonnya gagal pertahan prestasi dalam PRK Lunas yang diadakan dua bulan selepas PRU tersebut bila ADUNnya meninggal. Calon Parti Keadilan Nasional, Saifuddin Nasution Ismail berjaya mengalahkan calon BN dengan majoriti 530 undi, berbanding dengan kedudukan selesa BN setelah menang majoriti 4,700 undi dalam PRU 1999. 

Calon pembangkang dari Pas, Mohamad Abdul Wahid Endut berjaya merampas kerusi yang dipertahan UMNO dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 17/01/2009. Calon menang dengan majoriti 2,631 undi, lebih besar dari majoriti yang diperolehi calon BN bila memenangi kerusi itu dalam PRU 2008, iaitu 628 undi. Situasi yang sama berulang di Parlimen Sibu, bila calon pembangkang DAP, Wong Ho Leng merampas kerusi berkenaan dalam PRK Sibu pada 16/05/2010 dengan majoriti 398 undi, sebagai menebus kekalahannya sebanyak 3,235 undi dalam PRU 2008. 

PRK N24 Semenyih yang merupakan PRK kali ke enam selepas PRU14 yang memperlihatkan persaingan sengit antara dua calon; PH dan BN dalam persaingan empat penjuru. Sejauhmanakah kemampuan calon PH mempertahankan kerusi ini berbekalkan majoriti besar dalam PRU lepas, dan sebaliknya kekuatan calon dan jentera BN sebagai pembangkang merampas kerusi tersebut. Mungkinkah calon pembangkang mampu mengayungkan undi yang dimenangi dengan majoriti besar oleh parti pemerintah sebagaimana apa yang dicatatkan oleh pengundi Teluk Intan, Sibu, Arau,  dan Lunas dalam PRK. 

Kesengitan saingan di kawasan majoriti besar kemenangan PH ini dibantu oleh isu semasa yang menghantui PH. Isu terbaru; sijil atau ijazah yang dipersoalkan khalayak awam milikan beberapa kepimpinan PH menjurus kepada kewibawaan peribadi. Kewibawaan calon PH PRK N24 jejas dengan taraf akademik serta keupayaan calon menampilkan diri, melihat kepada lontaran idea kepada masyarakat awam dalam kempen pilihan raya yang sedang berjalan. Berbanding pembawaan dan gerakerja calon BN yang lebih ke hadapan. Isu semasa yang dihadapi pentadbiran PH lebih membebankan calon PH, walaupun jentera parti menurunkan ramai kepimpinan tertinggi. 

Tambahan pula kelebihan yang ada pada calon dari parti yang menguasai kerajaan dinafikan oleh beberapa akta kesalahan pilihan raya, berbeza suasana yang dimiliki BN semasa pemerintahannya dulu. Semua pihak, khususnya calon PH yang mendokongi kerajaan amat berhati-hati dengan sebarang amalan yang boleh ditafsirkan melanggar akta kesalahan pilihan raya. 

Sebelum PRU14, berbondong-bondong pekerja parti memunggah hamper untuk program ziarah dan jejak kasih dalam kempen rumah ke rumah. Dulu, suasana sepanjang tempoh berkempen, terlalu banyak program menhimpunan warga pemilih berbagai profesion untuk tadah telinga ucapan bapak menteri dan pulang membawa buah tangan. Perubahan suasana tersebut membuka ruang yang terbuka dan sama rata kepada semua calon atau parti, bukan lagi PRK sekadar mengabsahkan amalan demokrasi.

Calon PH sudah umum kepada pengundi; 2 haribulan istihar menang, 3 haribulan akan selesai semua masalah rakyat, walaupun 3 haribulan hari Ahad, cuti mingguan, semua pejabat tutup.  Perhatiannya ialah sejauhmana majoriti hampir undi sebanyak lebih 23,000 dan majoriti hampir 9,000 mampu dikekalkan. Apakah PH akan membuat alasan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah, menghalang prestasi PH.









 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan