Khamis, 31 Mei 2018

Untung Tiga Penjuru

UNTUNGNYA ADA PERTANDINGAN TIGA PENJURU

Apabila Pas tidak bersama mengadakan persefakatan pilihan raya dengan parti-parti pembangkang utama dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), persepsi popular dilontarkan ialah Pas ada pakatan sulit untuk membantu Barisan Nasional mempertahankan kerajaan. Di kalangan pemerhati dan penganalisis politik pro BN, menyimpulkan peluang BN lebih cerah untuk pertahan Putrajaya dan merampas Kelantan. Logiknya memanglah, menerusi saingan tiga penjuru, undi pembangkang atau undi penentang BN akan berpecah, secara langsung memudahkan laluan BN dalam PRU14.

Tonjolan PRU14 dalam kes Kelantan, persaingan tiga penjuru lebih menguntungkan Pas untuk pertahan kemenangan, berbanding dengan persepsi pemerhati dan orang awam bahawa akan wujud Dewan Undangan Negeri yang tergantung. Ini ekoran, BN akan beri saingan sengit kepada Pas dengan peranan PKR memecahkan undi Pas dan BN. Jangkaannya, BN dan Pas tidak dapat membentuk kerajaan, kerana masing-masing gagal menguasai jumlah kerusi majoriti mudah. Dalam situasi demikian, Pakatan Harapan yang bertanding atas nama PKR, dengan bilangan beberapa kerusi, akan menjadi penentu kuasa. 

Tetapi, PRU14 memperlihatkan saingan sebenar adalah antara Pas dan BN, dengan Pakatan Harapan (PH) ketinggalan dengan 34 orang dari jumlah 43 calonnya atau  79.02% hilang wang pertaruhan. Lantaran itu, sumbangan penyertaan calon-calon PH lebih menyerlahkan membantu mengukuhkan kemenangan Pas. 

Dari 37 kerusi yang dimenangi Pas, 9 kerusi dimenangi dengan jumlah undinya di bawah 50%, yang menggambarkan kemenangan Pas di kawasan berkenaan tidak mendapat sokongan majoriti. Wakil rakyat yang dipilih bukan mewakili sokongan majoriti pemilih. 

Di kerusi Kota Lama, undi yang diperolehi oleh calon Pas yang memenangi kerusi adalah 8,410 undi atau 40.12% daripada jumlah undi sah, dalam persaingan lima penjuru. Baki hampir 60% undi diraihkan oleh calon-calon lain. Calon BN hanya perolehi 5,502 undi atau 26.25%, yang memberikan saingan sebenar antara Pas dengan PKR. Calon Bersatu mewakili PKR, bekas Pengerusi SPR memungut 6,965 undi atau 33.23% undi sah. Oleh kerana kerusi Kota Lama, antara beberapa kerusi yang menyaksikan cabaran sengit mampu diberikan PH, ianya tidak menggambarkan cabaran tiga penjuru dengan penyertaan PH tidak mengubah cabaran sebenar adalah antara Pas dengan BN di Kelantan.

Pas memenangi kerusi Melor dengan majoriti kecil, 647 undi, banyak dibantu oleh saingan tiga penjuru. Calon Pas perolehi 7,820 undi iaitu 45.69% undi sah. Saingan terdekat, calon BN perolehi 7,173 undi atau 41.91% undi. Oleh kerana calon PKR mendapat sokongan yang secukupnya untuk menentukan nasib Pas dan BN. Jumlah undi calon PKR, 2,122 undi atau 12.40%, walaupun hilang deposit, mampu mambantu calon Pas menang, walaupun tidak mendapat sokongan majoriti. 

Kerusi Wakaf Bharu, antara kerusi DUN yang diramalkan Pas berisiko untuk tewas, calon Pas berjaya menyelamatkan kerusi ini, walaupun dengan majoriti tipis. Calon Pas, perolehi 10,287 undi atau 46.37% mengatasi undi calon BN, 9,900 undi atau 44.62%. Zahirnya, bantuan undi calon Amanah yang bertanding atas nama PKR, 1,999 undi atau 9.01% undi sah, memberikan calon Pas menang atas perpecahan undi penentang Pas. 

Pas memenangi kerusi Kemuning di bawah paras 50%. Pas perolehi 9,969 undi atau 47.32%, BN 8,934 undi atau 42.41%, sementara PKR yang menurunkan calon Amanah, dapat 2,163 undi atau 10.27%. Perpecahan undi menentang Pas, memberikan Pas menang dengan 1,035 undi. 

Apam Putra (dulunya Bukit Tuku), sebagaimana Wakaf Bharu dan Melor, adalah bahagian pilihan negeri yang banyak terlibat dengan persempadanan yang tidak menguntungkan Pas. Kerusi-kerusi ini termasuk dalam kiraan awal dan perancangan strategik SPR untuk memudahkan laluan UMNO menguasai kerajaan negeri, masih memberikan kemenangan kepada Pas, walaupun dengan majoriti kecil. Di Apam Putra, calon Pas mengutip 7,134 undi atau 47.55% undi sah, berbanding perolehan undi calon UMNO, 6,786 undi atau 45.23%. Jumlah undi diperolehi PKR menerusi calon Amanah, 1,082 undi atau 7.21% mampu memecahkan undi pihak lawan untuk memberikan kemenangan buat calon Pas.

Di Tendong, walaupun Pas menang selesa dengan majoriti 2,251 undi tetapi undi yang dicapainya tidak mewakili majoriti pengundi. Calon Pas yang mempertahankan kerusi memperolehi 8,951 undi atau 48.41% undi sah. Calon BN, perolehi 6,700 undi atau 36.24%, sementara calon Bebas, 1,479 undi (8.0%) dan calon PKR, 1,360 undi (7.36%).

Di Semerak, calon Pas yang perolehi 8,278 undi atau 49.06% mampu merampas kerusi dari BN, dengan majoriti 632 undi, setelah BN perolehi 7,646 undi (45.31%). 950 undi atau 5.63% undi sah yang diperolehi calon Bersatu mewakili PKR, banyak membantu calon Pas. dalam saingan 3 penjuru.

Calon Pas berjaya memenangi kerusi Guchil dengan majoriti hampir sama dengan perolehan undi calon ketiga, calon PKR. Pas menang dengan majoriti 2,279 undi, setelah memungut  7,564 undi (49.33%),berbanding 2,362 undi (15.40%) calon PKR. Calon BN pungut 5,285 undi (34.47%). 

Pas juga berjaya merampas kerusi Pengkalan Kubor dengan  majoriti 1,579 undi, setelah calon PKR perolehi 1,583 undi. Calon Pas dapat 10,142 undi (49.99%), sementara calon BN yang pertahan kerusi, 8,563 undi (42.21%). 

Kecuali Kota Lama, lapan kerusi di atas telah ditentukan kemenangan Pas oleh calon ketiga. Dalam konteks Kelantan ialah calon PKR. Semakin besar undi diperolehi Pas, semakan lebar perbezaan undi antara Pas dengan BN. Tanpa penyertaan PKR sebagai pilihan ketiga, Pas tidak mungkin memperolehi kemenangan besar dengan menguasai suara majoriti dua pertiga. Tanpa penyertaan pihak ketiga, Pas hanya boleh menguasai kerajaan negeri dengan majoriti mudah. 

Telahan awal kerajaan Pas Kelantan akan tersungkur atau memberi laluan mudah kepada BN, apabila adanya saingan tiga penjuru. Bukan itu saja, ada pandangan, pencapaian Pas akan lebih teruk dan akan hilang kuasa, sekiranya Pas bersendirian dalam PRU14. PRU14 memperkukuhkan hujah bahawa gelombang yang berlaku di peringkat nasional atau di pantai barat tidak memberi kesan yang sama kepada realiti di pantai timur khususnya Kelantan dan Terengganu. Peratusan yang tinggi calon-calon PH hilang deposit di Kelantan dan Terengganu berbanding prestasi cemerlang PH di sebelah pantai barat.









 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan