Khamis, 10 Mei 2018

Petugas SPR carcamurba 1

PETUGAS PILIHAN RAYA MENCACATKAN KEWIBAWAAN SPR 

  BAHAGIAN 1

Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) telah berjalan tanpa sebarang gangguan yang serius kelmarin. Walau bagaimanapun, hari pengundian kelmarin dicemari kewibawaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lantaran kegagalan petugas memahami dan menghayati aspirasi SPR sebagai badan bebas dan berintergriti.

Ketua Tempat Mengundi (KTM) atau polling officer (PO) menghalang ejen tempat mengundi sebagai petugas mewakili calon dalam bilik membuang undi menjalankan tugas. KTM tidak menyediakan tempat duduk (meja dan kerusi) yang secukupnya untuk ejen pengundian (polling agent). Pada taksiran KTM, ejen pengundian mewakili parti yang bertanding. Jika dua parti bertanding, disediakan dua tempat duduk sahaja. Perkara ini berlaku di beberapa pusat pengundian, sebagai bermulanya episod kecelaruan sebelum bermulanya pembuangan undi. 

Setengah parti, menyediakan petugas parti yang dibekalkan dengan maklumat dan pengalaman secukupnya sebagai petugas jentera parti. Parti menyediakan latihan, taklimat dan simulasi kepilihanrayaan.  

SPR menjadikan premis awam khususnya bilik darjah atau sekolah sebagai pusat mengundi. Oleh itu, kebanyakkan KTM dilantik di kalangan guru, khususnya guru yang bertugas di sekolah berkenaan yang dijadikan pusat pembuangan undi. 

Berlaku pertengkaran antara ejen pengundian dengan KTM, dari sudut status dan tugasan petugas mewakili seseorang calon yang bertanding. Perkara ini menggambarkan petugas parti yang terlatih, bermaklumat dan bersedia, berbanding petugas SPR yang kurang maklumat dan tiada latihan yang secukupnya. 

Petugas parti lebih faham peruntukan, peraturan dan kesalahan pilihan raya. Seksyen 14 (1) (a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, dengan bahasa yang mudah menjelaskan seseorang calon  boleh melantik atau mewakilkan seorang ejen pengundian untuk menjalankan tugasan di bilik pengundian mewakili dirinya, memerhati perjalanan pembuangan undi berjalan mengikut peraturan pilihanraya.  Bermaksud jika dua parti bertanding di kedua-dua bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri, sepatutnya empat tempat duduk disediakan. Ejen pengundian mewakili calon yang bertanding bukan mewakili parti.

Amat malang jika KTM yang diberi kepercayaan untuk menjalankan tugasan bagi pihak SPR, gagal melaksanakan tugasan dengan penuh komitmen yang tinggi dan bertanggungjawab.  Sepatutnya SPR mempastikan petugas khususnya KTM terdiri dari mereka yang tidak memihak kepada mana-mana parti, agar tidak berlaku sabotaj dan tidak serius dalam menjalankan tugas. Layanan berbeza kepada petugas dari parti atau calon yang berbeza. Perayu undi dari parti yang sealiran dengan KTM berkeliaran dengan bebas dalam kawasan larangan, tanpa apa-apa tindakan. KTM gagal memisahkan antara kerajaan yang memerintah dengan kerajaan sementara. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan