Ahad, 10 Jun 2018

Impaks Bangkit Pertahan Kelantan

AGENDA BANGKIT PERTAHAN KELANTAN TENGGELAMKAN UBAH PUTRAJAYA

Sebahagian pemilih telah mengambil keputusan meletakkan agihan undi antara calon dan parti. Mereka memilih parti berlainan di peringkat Persekutuan dan negeri. Pilihan bukanlah  berasaskan kepada peribadi calon tanpa mengenepikan faktor parti. 

Amalan tersebut dapat diperhatikan kepada sikap pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) di Kelantan sebagai contoh. Gelombang nasional untuk "Ubah Putrajaya" dengan meruntuhkan monopoli 60 tahun parti keramat UMNO, tidak merebak ke Kelantan. Gelombang "Bangkit Pertahan Kelantan" mengatasi hasrat menukar kerajaan Persekutuan yang menguasai pantai Barat Persekutuan Tanah Melayu, yang turut merebak ke Sabah dan Sarawak.

Gelombang pemilih muda khususnya memberi kemenangan besar kepada Pas dalam saingan tiga penjuru di peringkat bahagian pilihan raya negeri, demi "Bangkit Pertahan Kelantan", sebagaimana dipertontonkan kepada trend pengundian di saluran-saluran pengundi bawah umur 40 tahun, di seluruh negeri. Berbeza pulak di peringkat bahagian pilihan raya Persekutuan, pemilih lebih memilih calon UMNO/BN, bukan kepada calon-calon Pakatan Harapan yang bertanding atas nama PKR. Secara langsung gelombang "Ubah Putrajaya" tidak dominan di negeri pantai timur, khususnya Kelantan dan Terengganu.

Kawasan yang paling panas mengikut laporan media perdana dan pandangan awam ialah Parlimen Pasir Puteh. BN meletakkan Asraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri JPM, ditentang oleh dua kepimpinan nasional Pas dan PPBM. Pas diwakili Nik Zawawi Salleh, Setiausaha Majlis Syura Pas Pusat, sementara Pakatan Harapan  meletakkan Ketua Penerangan PPBM Pusat. Asraf telah berkampung di Pasir Puteh sejak dua tahun lalu, serta berusaha memindahkan sejumlah pengundi dari kampungnya di Tumpat ke Pasir Puteh.

Asraf memperolehi 30,947 undi berbanding jumlah undi BN campuran 4 kerusi DUN dalam Parlimen Pasir Puteh; Selising, Limbongan, Semerak, Gaal; 27,547 undi. Jumlah undi perolehan Nik Zawawi ialah 32,307 undi, sementara jumlah Pas di bahagian pilihan raya negeri ialah 35,914 undi. Perbandingan perolehan undi bagi kedua-dua parti memperlihatkan seramai 3,500 pemilih mengundi BN bagi kerusi Parlimen dan mengundi Pas untuk kerusi negeri, membolehkan calon Pas menang dengan majoriti kecil, 1,360 undi, untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi dengan majoriti 1,888 undi dalam PRU13. Sepatutnya jika pengundi mengundi berasaskan parti sama ada Parlimen atau DUN, calon Pas sepatutnya menang lebih 8,000 undi. 

Di kerusi Parlimen Ketereh,  calon BN perolehi 25,467 undi berbanding jumlah undi BN dari bahagian pilihan raya negeri Melor, Kadok dan Kok Lanas adalah 23,255 undi. Jumlah undi Pas peringkat DUN; 24,644 undi mengatasi undi di peringkat Parlimen; 20,841 undi. Perbezaan undi antara DUN dengan Parlimen, menyebabkan Pas tewas lebih 4,000 undi bagi kerusi Parlimen, walaupun memenangi 2 dari 3 kerusi negeri. Kekalahan Pas di kerusi Parlimen Ketereh, kerana ada sekitar 2,000 pemilih mengundi BN untuk Parlimen dan mengundi Pas untuk kerusi negeri. 

Di bahagian pilihan raya Parlimen Tanah Merah, sama seperti di Ketereh di mana Pas menang 2 dari 3 kerusi negeri dengan jumlah undi yang dipungut oleh Pas lebih rendah berbanding undi di peringkat Parlimen. Pas memungut sejumlah 28,821 undi di peringkat kerusi negeri: Bukit Panau, Kemahang dan Gual Ipoh, tetapi cuma 25,223 undi bagi calon Parlimen. Sebaliknya calon Parlimen BN perolehi 28,152 undi mengatasi jumlah undi yang dikumpul peringkat kerusi negeri iaitu 25,062 undi. Taburan pungutan undi oleh calon-calon Pas dan BN ini memperlihatkan sekitar 3,000 pemilih memilih calon BN Parlimen dan mengundi calon Pas bagi kerusi DUN. 

Lebih menarik lagi ialah di bahagian pilihan raya Parlimen Machang, di mana BN tewas semua kerusi negeri tetapi memenangi kerusi Parlimen. Calon Parlimen BN memperolehi 26,076 undi, sementara jumlah undi calon-calon BN di kerusi negeri; Pulai Chondong, Kemuning dan Temangan ialah 22,769 undi. Sementara Pas yang memenangi ketiga-tiga kerusi negeri menjumlahkan undi 27,820, tetapi hanya memungut 23,252 undi oleh calon Parlimen. Perolehan undi semua calon di Machang, mempamirkan sekitar 3,500 pemilih membahagikan undi; undi BN bagi kerusi Parlimen dan undi Pas untuk kerusi negeri. 

Sepatutnya calon Pas boleh menang dengan perbezaan undi 5,000 undi, di kerusi Parlimen Machang sekiranya pengundi tidak memecahkan undi; satu untuk BN, satu untuk Pas. Di kerusi Parlimen Tumpat, pengundi Pas tidak memecahkan undi, yang memberikan beza undi 15,247 antara jumlah undi Pas kerusi negeri dengan BN.  Calon Pas menang dengan majoriti 17,500 di kerusi Parlimen. Majoriti yang lebih besar diperolehi oleh calon Pas ini disebabkan sebanyak  2,300 undi yang diberikan kepada BN di kerusi negeri beralih ke calon PKR.


Dengan mengambil 4 sampel di atas dapatlah disimpulkan bahawa gelombang "Bangkit Pertahan Kelantan" lebih mendominasi suasana serta gelombang sokongan rakyat di Kelantan yang berbeza dengan arus kebangkitan yang berlaku di peringkat nasional. Dari sudut bacaan politik terhadap sikap pengundi ianya lebih kepada sokongan kepada peribadi calon mengatasi sokongan kepada parti. Ianya dapat menyumbangkan sebahagian kajian post-mortem untuk mencari faktor-faktor tarikan dan tolakan dalam sesuatu kawasan pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan