Rabu, 23 Mei 2018

Lompat parti

LOMPAT PARTI LEPAS KALAH

Tindakan beberapa wakil rakyat yang diberikan mandat oleh pemilih meninggalkan parti yang ditandingi sebaik selesai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), memperlihatkan memperlekehkan pengorbanan pemilih. Pemilih banyak membuat pengorbanan untuk menpastikan tanggungjawab warganegara dipenuhi. Setengah pemilih terpaksa mengorbankan masa dan tenaga untuk membuang undi, contohnya pengundi yang berada di luar kawasan daerah pengundian. Apatah lagi, hari pembuangan undi berlangsung di pertengahan minggu, pemilih hanya mendapat cuti satu hari sahaja, pada hari mengundi. 

Bayangkan pengundi yang bekerja di Alor Star bergegas pulang kampung di Pengerang pada petang Selasa, dengan kenderaan sendiri dan terpaksa pulang sebaik selesai buang undi untuk mempastikan beliau berada di tempat kerja pada pagi Khamis. Pemilih mengorbankan tenaga, duit minyak dan persegaran untuk pulang mengundi tetapi dipersiakan oleh wakil rakyat yang dipilih, melompat ke parti lain yang tidak disokong oleh golongan pemilih yang merantau. Pemilih bersusah payah pulang mengundi demi mempastikan parti pilihannya atau calon yang bertanding dapat pertahan kerusi. 

Lantaran PRU14 yang memperlanjutkan penolakan rakyat  kepada Barisan Nasional (BN) sejak PRU12, dengan sedikit kelainan. PRU12 dan PRU13, memperlihatkan politik Malaysia ke arah penguasaan sistem dua parti, hasil persepakatan parti-parti dalam dua kelompok: BN dan Pakatan Rakyat. Di samping itu, masih bersifat multiparties, dengan parti-parti kecil yang tak dominan bertanding bersendirian dengan prestasi yang jauh terbelakang. Justeru persaingan ala sistem dua parti dengan persaingan dua penjuru menjadi agenda utama menghasilkan kemerosotan sokongan kepada BN, dengan kehilangan suara majoriti dua pertiga di Parlimen. 

Berlainan dengan PRU14, apabila Pas bersendirian membentuk satu kelompok kerjasama dengan parti-parti kecil yang kurang popular, menjadi saingan berbentuk 3 penjuru. Kewujudan saingan 3 penjuru mendedahkan kepada kemungkinan berlaku Parlimen atau Dewan Undangan Negeri tergantung atau "hung", sebagaimana lazim berlaku dalam pengalaman British, sering berlaku "hung Parliament", bila kedua-dua parti utama Conservative dan Labour gagal menghasilkan penguasaan majoriti dan memerlukan kuasa ketiga; Liberal Deomcrat, sebagai "king maker" yang menentukan kuasa.

Perkara tersebut berlaku dalam PRU14 bila beberapa buah negeri gagal membentuk kerajaan: Kedah, Perak dan Sabah.  BN gagal pertahan Kedah dengan hanya perolehi 3 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Persaingan di Kedah adalah antara Pakatan Harapan (yang bertanding atas lambang PKR) dan Pas. PH dapat 18 kerusi, Pas 15 kerusi. Awalnya ada ura-ura 3 ADUN BN akan bersama PH, untuk membantu PH dapat majoriti mudah bentuk kerajaan. PH bentuk kerajaan tanpa majoriti: kerajaan 18, pembangkang 18.

Di Perak, PH dapat 29 kerusi, BN 27, Pas 3. Pas yang mendapat 3 kerusi berperanan penentu kerajaan, bila kedua-dua kumpulan terbesar PH dan BN gagal membentuk majoriti mudah. Pas tidak memainkan peranan "king maker", mendorong episod berakhir;  2 orang ADUN BN membantu PH bentuk kerajaan iaitu ADUN Sungai Manek dan ADUN Tualang Sekah, kedua-duanya UMNO.

Di Sabah, dua kelompok terbesar terikat dengan jumlah kerusi yang sama: BN dengan 29 kerusi, Parti Warisan Sabah (Warisan) yang mengadakan kerjasama dengan DAP dan PKR memperolehi 29 kerusi (Warisan 21, DAP 6, PKR 2), dalam DUN yang mempunyai 60 kerusi. Sebuah parti kecil,  Parti Solidariti Tanah Airku (Solidariti) memenangi 2 kerusi menjadi penentu dalam DUN yang tergantung. ADUN Solidariti membantu BN, menjumlahkan 31 kerusi untuk membentuk membolehkan BN mengekalkan kerajaan. Ketua Menteri penyandang angkat sumpah jawatan setelah berjaya membentuk majoriti mudah. Kurang 24 jam, 6 ADUN BN istihar bersama kepimpinan Warisan iaitu 2 ADUN dari parti UPKO (ADUN Paginatan dan ADUN Kadamaian) dan 4 ADUN UMNO (ADUN Sebatik, ADUN Tanjong Batu, ADUN Balung dan ADUN Kemabong). Kemelut berakhir dengan Pengerusi Warisan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, setelah pihak Istana Negeri diyakini berjaya membentuk kumpulan majoriti. 

Pergerakan kedudukan beberapa ADUN terlibat dalam menentukan pembentukan kerajaan adalah sesuatu wajar dilakukan demi mempastikan kestabilan politik di negeri-negeri terlibat. Tindakan mereka menepati keadaan untuk mengelakkan DUN digantung, diletakkan di bawah pentadbiran sementara oleh eksekutif sama ada dilantik oleh Istana Negeri atau pentadbiran terus dari Kerajaan Persekutuan. Jalan akhir kembali kepada proses demokrasi, satu pilihan raya baru peringkat negeri. 

Sebaliknya tindakan tiga orang ADUN BN dari UMNO di negeri Johor yang keluar keluar parti menyertai salah sebuah parti yang membentuk kerajaan negeri Johor, tak sampai 3 hari selepas PRU14, memberikan satu dimensi baru pendirian dan sikap seorang Yang Berhormat. Buat pertama kali dalam kematangan politik pilihanraya 60 tahun pasca kemerdekaan tanah air, wakil rakyat lompat parti sebaik selesai PRU apabila partinya gagal pertahan kerajaan. 

Johor yang terkenal sebagai kubu kuat BN, khususnya UMNO, sejak 60 tahun, PRU14 mengajarnya kuasa pemerintahan tidak kekal. Mungkin tersentak dengan kehilangan sebuah kerajaan yang tidak diduga, 3 orang YB iaitu ADUN Sedili, ADUN Endau dan ADUN Johor Lama, mengistiharkan keluar parti menyertai kerajaan pimpinan Pakatan Harapan. Penghijrahan mereka untuk mempastikan kerajaan baru menguasai majoriti dua pertiga. Kerajaan Pakatan Harapan Johor menguasai 36 kerusi, sementara pembangkang: BN 19 dan Pas 1 kerusi. Dengan lompatan mereka menjadikan penyokong kerajaan; 39 orang (melepasi majoriti dua pertiga), sementara pembangkang; BN 16 dan Pas 1. 

Di Sabah dan Perak, YB BN melompat untuk membantu PH membentuk kerajaan, tapi di Johor, mereka melompat demi melengkapkan kerajaan PH menguasai suara majoriti dua pertiga. Lompatan mereka kiranya berniat murni demi kestabilan politik dan kerajaan yang baru dibentuk haruslah diberi penghargaan bukan memandang serong atau negatif.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan