Rabu, 6 Disember 2017

UMNO di tahap tertinggi

UMNO DI TAHAP TERBAIK PERSIAPAN HADAPI PILIHAN RAYA

Semalan Presiden UMNO,  DS Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengumumkan UMNO sudah bersiap untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Beliau menyifatkan persiapan  berdepan PRU kali ini sebagai paling rapi dalam sejarah parti. Beliau berkata demikian dalam taklimat tertutup kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang bermula hari ini.

Tetapi sebelum ini, beliau menafikan PRU14 sebagai ibu segala pilihan raya, pengumuman malam tadi memperlihatkan kegelisahan dan kegusaran UMNO berdepan dengan PRU yang dikelilingi berbagai isu. Masakan tidak, meletakkan strategi dan persiapan yang cukup rapi dalam kerja-kerja menghadapi pilihan, biasanya bila parti berdepan dengan cabaran yang boleh mengancam kuasa dan mempertahankan status quo.

Pencapaian yang mencabar kedudukan UMNO yang mencerminkan kekuatan Barisan Nasional dalam dua PRU terakhir, membuatkan UMNO terpaksa bekerja keras bertarung pertahan kuasa, yang dibelenggui isu-isu yang terasing dari isu kestabilan politik. Setiap kali PRU terdahulu, UMNO/BN banyak bergantung di atas isu kestabilan politik; dengan meletakkan kepentingan bangsa dan ancaman perkauman. Setiap kali pilihan raya, didendangkan risiko kehilangan kuasa Melayu, ancaman ketuanan Melayu, dan masa depan generasi Melayu. 

Isu nasib orang Melayu yang disebut bergantung di atas perjuangan parti keramat, UMNO, sebenarnya tidaklah menjadi isu lagi. Sudah 60 tahun negara merdeka dengan meletakkan orang Melayu mengetuai semua kerajaan peringkat Persekutuan dan negeri kecuali Pulau Pinang, di samping hampir semua jawatan utama pentadbiran awam dikepalai orang Melayu, tidak perlu berbangkit nasib orang Melayu. Dengan UMNO sebuah parti berteras Melayu dan jentera eksekutif dikuasai oleh Melayu, apalagi yang boleh diperjuangkan UMNO yang telah diberi peluang 60 tahun mengetuai kerajaan, bagi orang Melayu dan Bumiputera menyaingi kaum lain dalam semua bidang kehidupan. 

Ancaman kepada UMNO hari ini, isu yang lebih besar, yang menguasai kelompok terbesar pengundi ialah isu menampung kehidupan. Kenaikan kos hidup ekoran peningkatan harga barangan disusuli wujudnya GST, peluang pekerjaan dan kadar pengangguran, yang menjadikan BN yang dikepalai UMNO tertekan dengan usaha menarik sokongan pengundi muda khususnya. Data taburan umur pengundi yang menunjukkan 40% pengundi adalah berumur 40 tahun ke bawah.  

Sejauh manakah keyakinan UMNO berdepan PRU14 untuk digambarkan kepada tontotan umum dapat menarik sokongan pengundi khususnya golongan muda dan sederhana yang tidak lagi termakan dengan isu perkauman yang menjadi modal UMNO sebelum ini. Ucapan-ucapan beberapa kepimpinan UMNO yang memberi gambaran Pas perlu berkerjasama dengan UMNO demi perpaduan Melayu dan Islam, lebih menampakkan UMNO amat memerlukan Pas, untuk berdepan dengan pakatan pembangkang, yang dikatakan mendapat sokongan kuat pengundi bukan Melayu. 

Presiden UMNO menyebut persiapan UMNO untuk berdepan PRU14 ini adalah persiapan yang paling rapi dalam sejarah UMNO berdepan pilihan raya, bolehlah dibaca sebagai UMNO menyedari ancaman dan cabaran getir menanti UMNO dan BN. Tambahan pula, tanpa menggunakan persempadanan semula kawasan pilihan raya, lebih parah lagi buat UMNO dan BN berdepan dalam kawasan lama yang sudah dikenali, diawasi dan dilazimi oleh parti-parti pembangkang. Justeru untuk meraikan PAU terakhir sebelum PRU14, perang saraf berstrategi yang bertenaga amat diperlukan untuk melahirkan rasa keyakinan dan kekuatan mental penyokong dan jentera parti.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan