Sabtu, 30 Disember 2017

PRU14 : Saingan Ideologi

PRU14: PERSAINGAN 3 PENJURU, PERSAINGAN 3 IDEOLOGI

Persaingan Pilihan Raya ke 14 (PRU14) terpaksa diadakan dalam tahun 2018, lantaran penamatan tempoh penggal Parlimen semasa pada 24/06/2018. PRU14 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, selepas terbubarnya Parlimen, sama ada dibubar mengikut Perlembagaan atau terbubar dengan sendirinya. 

Dalam 11 siri PRU iaitu dari tahun PRU pertama (PRU 1959) hingga PRU ke 11 (PRU 2004), persaingan utama atas landasan perkauman, sama ada tersirat atau tersurat. Barisan Nasional (dulunya Perikatan) yang dikepalai UMNO mempertonjolkan isu perkauman demi kesinambungan kuasa. Kebimbangan kepentingan kaum masing-masing membolehkan BN mengekalkan pemerintahan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen. UMNO yang menguasai kawasan luar bandar mempertaruhkan ketuanan Melayu dan kuasa Melayu untuk mengekalkan kuasa. Di samping itu,  parti-parti komponen BN yang menguasai kawasan bandar dan pinggir bandar, menggunakan sentimen pengekalan suara bukan Melayu dalam kerajaan demi kepentingan kuasa untuk membela nasib bangsa atau kaum sendiri. 

Kegagalan parti-parti pembangkang mencabar kesinambungan kuasa BN, menggambarkan wajah yang sama iaitu pencapaian berfokus kepada perkauman. Pas bertarung dengan UMNO untuk menguasai suara Melayu, semntara DAP gagal mengatasi MCA, Gerakan dan SUPP merebut suara bukan Melayu dan masyarakat kota. 

Separuh abad, politik Malaysia diwarnai garisan-garisan perkauman, yang dilihat sebagai satu fenomena kegagalan membentuk satu rupa bangsa yang bersatu, dengan menolak identiti kaum dan keturunan. Hasil PRU12 (PRU 2008) telah membuka satu lembaran baru dalam medan politik Malaysia, pengundi membuat perubahan merentasi garisan perkauman. Bagaimana calon-calon Melayu mewakili parti yang asasnya berpengkalan akar umbi Melayu boleh menang di kawasan majoriti bukan Melayu. Sebelumnya, hanya calon-calon bukan Melayu mewakili parti perkauman atau etnik tertentu, yang bertanding atas tiket BN menang selesa di kawasan majoriti Melayu. 

Mesej disampaikan oleh pengundi dalam dua PRU terakhir (PRU12 dan PRU13) yang telah menafikan suara majoriti dua pertiga BN di Parlimen serta undi popular  parti pemerintah yang semakin merosot, memperlihatkan politik Malaysia sedang menuju kepada sistem dua parti. BN yang telah menguasai pemerintahan melebihi separuh abad yang mewarisi tangan penjajah tidak dapat mengasingkan diri dari pengaruh dan mesra penjajah meneruskan fahaman kapitalisme. 

BN yang lebih menyerlahkan perlanjutan budaya kapitalisme telah menampakkan elemen-elemen immoral neo-kolonialisme berbentuk perluasan ketidaksamaan sosial, ketidaktelusan, rasuah, ketirisan serta kelemahan tatakelola pentadbiran dan pengurusan awam. Sebagai alternatifnya, pengundi memilih pakatan pembangkang tanpa identiti perkauman, yang membangkitkan rawatan kepada penyakit neo-kolonialisme dan imperliasme. Sejarah dan pengalaman, kegagalan kepada kapitalisme dan imperliasme, sebagai jalan penyelesaian, rakyat memilih aliran sosialisme sebagai alat untuk perubahan, penyelesaian dan pembentukan budaya baru. Peralihan sokongan rakyat kepada parti yang mendokong kapitalisme yang mengejar kebendaan yang menjejaskan kestabilan ekonomi dan politik kepada pihak yang lebih membawa idealisme keadilan, kesamarataan dan ketelusan. 

Secara gambaran kasarnya, kejayaan mengayungkan sokongan dari BN ke pakatan pembangkang yang mirip ciri-ciri sosialisme. Justeru itu, ayungan dari pro-kapitalisme kepada pro-sosialisme bukan sesuatu yang luar biasa tetapi ianya adalah mengulangi atau membuktikan sejarah, aliran pemikiran sosialisme memenangi hati rakyat yang benci, cemuh dan bosan dengan kemelut yang lahir dari pembawaan kapitalisme. Kesederhaan pembawaan kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz (TGNA), cuba diadaptasi module kempimpinan Umar Abdul Aziz, serta pembawaan kesederhaan hidup dan ketelusan dalam pentadbiran, bila beberapa negeri diambil alih oleh pakatan pembangkang dari pemerintahan korup dan kleptokrasi BN/UMNO, menjelaskan telahan aliran boros pembawaan kapitalisme mendesak rakyat menukar kepada aliran sederhana yang mendekati pembawaan sosialisme. 

Apabila Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang dalam PRU14 nanti, jelas mencerminkan ketidakselesaan Pas bersama kelompok pro- sosialisme. Pas mengambil jalan kembali kepada matlamat asal penyertaan dalam demokrasi kepilihanrayaan ala Westminster ciptaan British. Justeru PRU12 dan PRU13 sudah menampakkan, pengundi mula mencampakkan perkauman keluar dari landasan politik, dengan mencari alternatif baru, persaingan antara dua aliran pemikiran; kapitalisme dan sosialisme. Berasaskan kepada peranan Pas yang cuba melarikan diri dari kedua-dua aliran ini, menawarkan pilihan ketiga, jalan tengah iaitu Islam. Sejarah membuktikan bahawa aliran atau apa saja pembawaan ciptaan manusia tidak akan kekal, di mana yang kekal atau pilihan penyelesaian terakhir ialah pendekatan tuntutan Ilahi berasaskan ketaqwaan dalam menyempurnakan tanggungjawab mengurus manusia dan tanah air. 

PRU14 berlainan dengan PRU12 dan PRU13, dijangka rakyat dihidangkan 3 pilihan, iaitu aliran kapitalisme dibawa BN yang dikepalai UMNO, aliran sosialisme menerusi pembawaan Pakatan Harapan yang hari ini lebih didominasi oleh DAP, sebuah parti sosial demokrat dan Pas menawarkan pilihan ketiga yang meletakkan bagaimana ideologi Islam dapat menawarkan perkhidmatan yang terbaik. 
Selamat Tahun Baru Masehi 2018
semoga tahun 2018 akan menjanjikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan