Isnin, 6 November 2017

Demokrasi adalah tukar kerajaan

APAKAH DEMOKRASI SATU MEKANISME UNTUK MENGABSAHKAN KUASA DAN PEMERINTAHAN

Demokrasi asasnya berakar umbi pada satu sistem politik untuk memilih dan menukar pemerintah menerusi pilihan raya yang bebas dan adil. Ruang yang disediakan oleh demokrasi secara idealnya meletakkan manusia memenuhi tuntutan naluri dalam kehidupan berjemaah. Anjuran demokrasi walaupun hasil kesepakatan naluri dan keperluan emosi yang diolah oleh manusia sendiri tanpa ketetapan Ilahi, bukanlah membuka ruang manusia mengatur perjalanan hidup tanpa panduan dari Maha Pencipta. Justeru itu, pemisahan antara tuntutan tabii manusia tidak boleh dipisahkan dari perancangan empunya alam ini.

Sungguhpun demokrasi menggariskan sebagai satu mekanisme untuk menjaga hak setiap warga, di mana ianya memerlukan satu rule of law di mana undang-undang dan peraturan memberikan kesamaan seluruh warga. Panduan hukum Maha Berkuasa diperlukan agar manusia tidak melanggari batasan merealisasikan asas-asas demokrasi, kerana kehidupan di alam ini berlanjutan ke alam akhirat. Tanpa pengawalan serta pergantungan kepada etika Ilahi, dibimbangi falsafah dan asas demokrasi dicabuli dan disalahguna. 

Pencabulan prinsip atau ajaran demokrasi disalahgunakan atau dieksploitasi untuk demi kuasa. Lantaran tanpa ikatan dengan alam akhirat, demokrasi dikotori untuk mempertahankan kuasa dengan berbagai alasan. Status quo perlu dikekalkan demi kestabilan dan keharmonian, yang sebahagiannya membawa kepada mengikis unsur demokrasi secara perlahan. 

Demokrasi kepilihanrayaan dipergunakan untuk mengabsahkan kuasa, demi perlanjutan kuasa, yang lebih merupakan acara berkala setiap empat atau lima tahun. Setiap tempoh masa, khalayak warga diprogramkan dalam satu acara pungutan suara menerusi peti undi untuk mengesahkan mandat baru untuk tempoh baru. Pembentangan suara rakyat di peti undi, sekadar untuk menyatakan "ya" demi perlanjutan kuasa, serta untuk mencatat peratusan sokongan pengesahkan.  Selesai penyertaan rakyat memasukkan kertas undi, maka bermula episod sambungan sang penguasa bermaharajalela di atas mimbar kuasa untuk tempoh empat atau lima tahun. 

Dipergunakan sepenuhnya ruang dan peluang yang ada, atas semangat "parti menguasai kerajaan", menguasai eksekutif dan birokrasi atau jentera pelaksana demi mempertahankan kuasa. Peraturan kepilihanrayaan sering dipinda atas nama penambahbaikan demokrasi, sebaliknya pindaaan untuk mempastikan parti pemerintah akan lebih selesa dan yakin berdepan pihak lawan dalam pilihan raya. 

Di manakah unsur asas demokrasi, "a political system for choosing and replacing the government through free and fair election", seandainya pilihan raya diadakan setiap empat atau lima tahun sekali, sekadar untuk membaharui mandat sebuah kerajaan. Tanpa pertukaran kerajaan atau pemerintah mengikut masa tertentu, demokrasi akan jadi lesu dan terdedah serta dikhuatiri berkecederungan menjadi satu alat untuk mengesahkan mandat baru sahaja, yang tak ubah sebuah pemerintahan monarki mutlak. Sebuah kerajaan atau pemerintahan untuk selama-lamanya untuk mengesahkan moto Barisan Nasional: dulu, kini dan selamanya.








 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan