Selasa, 14 November 2017

Ulasan Buku Politik Terengganu

ULASAN BUKU HASBIE MUDA: POLITIK TERENGGANU  - PERKEMBANGAN DAN PERGOLAKAN

Buku terbaru tulisan Saudara Mohd Hasbie Muda, "POLITIK TERENGANU: PERKEMBANGAN DAN PERGOLAKAN", mula berada di pasaran, Oktober 2017, menepati senario politik semasa, di kala kerancakan ramalan tarikh Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Kemunculan buku ini dapatlah dijadikan panduan, rujukan dan gambaran kecenderungan aliran persepsi pemilih khususnya di Terengganu. 

Buku ini adalah hasil tulisan yang ketiga tulisan Hasbie, menarik perhatian saya untuk diteliti dan dinilai. Saya tertarik dengan tulisan Hasbie setelah saya mendalami hasil tulisan beliau terdahulu: KEMENANGAN TERTANGGUH  dan PAS DAN PILIHANRAYA. Kejayaan Hasbie menghasilkan tiga buah buku politik popular, dalam tempoh pasca PRU13 dan pra PRU14, satu usaha yang harus dibanggai dan terpuji demi memakmurkan khazanah ilmu. 

Buku setebal 165 muka surat ini menganalisis politik Terengganu pra kemerdekaan dan selepas merdeka, dengan berfokus kepada politik Terengganu selepas merdeka hingga hari ini. Dalam tempoh 60 tahun, Terengganu diterajui oleh 9 orang Menteri Besar dari UMNO dan Pas. Buku ini menceraikinkan analisisnya kepada politik dan pentadbiran mengikut tempoh seseorang Menteri Besar yang mempunyai kekuatan, kelemahan, cabaran dan kejayaan khususnya dari sudut politik kepartian dan demokrasi kepilihanrayaan. 

Politik Terengganu agak menarik diberi tumpuan dan perhatian kerana keunikannya lebih bersifat dinamik dan pengundi tidak terkongkong dengan idealisme statik. Lantaran itu, kekerapan pertukaran kepimpinan negeri lebih menjurus kepada budaya keterbukaan ragam politiknya. Pengundi Terengganu tidaklah rigid dan kaku yang membuatkan mereka berani membuat keputusan dan perubahan. Dua kali tukar kerajaan, dua kali hampir tukar kerajaan, dua kali tukar Menteri Besar dalam masa tak sampai tiga tahun. Ada usul undi tak percaya terhadap MB zaman Pas dan zaman UMNO, ada berjaya, ada gagal.

Berbanding dengan dua buku terawal tulisannya, buku ini nampaknya lebih kemas dengan kecacatan minima khususnya dari sudut fakta. Di muka surat 54, sebenarnya PRK Kemaman bukan Kuala Terengganu, dalam tahun 1976. Halaman 66, Mustafa Ali menang kerusi Kuala Terengganu, bukan Dungun, dalam PRU 1974. 

Di muka surat 6, dinyatakan kerusi Pas telah berkurang daripada 11 kerusi yang dimenangi dalam PRU 1969 kepada 10 kerusi dalam DUN, bila ADUN Sura, Ibrahim Mat Noh keluar parti dan masuk UMNO pada 5 Ogos 1969. Tindakan Ibrahim ini adalah semasa DUN digantung berikutan pengistiharan undang-undang darurat selepas Peristiwa 13 Mei. Semasa pergantungan DUN ini juga, dua lagi ADUN Pas keluar parti; Wan Mohamad Wan Ngah (Ladang) dan Mohamed Taib Ismail (Binjai).  

Di halaman 124, disentuh peranan serpihan Pas iaitu Hamim dan Berjasa, yang gagal bertapak di Terengganu kerana kedua-dua parti lebih bersifat kenegerian. Kedua-dua parti ini, hanya bertumpu di Kelantan saja. Di Terengganu, wujud juga serpihan Pas, Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) di bawah pimpinan Abdul Wahab Yunus, dalam tahun 1989. Penulis tidak memasukkan fakta ini, yang merupakan antara detik kemelut dalam Pas khususnya di Terengganu.

Semasa menganalisa kemelut kerajaan Pas pimpinan Mohd Daud Abdul Samad (1959-1961) menyebut kemenangan Pas sebagai hasil pertembungan banyak penjuru dalam PRU 1959. Walaupun Pas menguasai 13 kerusi dari jumlah 24 kerusi, tetapi undi popular hanya 35.54% (halaman 18). 

Dari 13 kerusi yang dimenangi Pas, 8 dimenangi dengan majoriti kecil serta perpecahan undi parti lawan: Perikatan, Socialist Front (SF) dan Parti Negara (PN). Lebih kemas andainya Hasbie memberikan satu dua contoh bagaimana pertandingan banyak penjuru, memberikan kelebihan atau nasib menyebelahi Pas. Contoh: kerusi Kuala Besut, Pas (1,303 undi), SF (1,059 undi), Perikatan ( 942 undi); Kampung Raja, Pas (1,070 undi), Perikatan ( 677 undi), SF ( 379 undi) dan PN (305 undi). Begitulah bagaimana Pas memenangi kerusi Sura, Ulu Dungun, Kuala Terengganu Tengah, Binjai, Ulu Terengganu Timur dan Ulu Terengganu Barat. 

PN menang 4 kerusi juga hasil perpecahan undi lawan dalam saingan tiga atau empat penjuru. Di Langkap, PN (910 undi), Perikatan (774 undi), Pas (685 undi) dan calon Bebas (470 undi). Sementara 7 kerusi dimenangi Perikatan, adalah kemenangan mutlak, iaitu semua calon yang menang perolehi lebih 50% undi. 

Analisa penulis, usia kerajaan Pas tidak lama lantaran ketidaksediaan Pas memimpin sebuah kerajaan negeri. Faktor kemenangan Pas hasil dari persaingan banyak penjuru yang menghasilkan keputusan tidak menentu, adalah juga antara faktor kejatuhan kerajaan Pas. Wakil-wakil rakyat memenangi kerusi hasil perpercahan undi yang mengwujudkan wakil rakyat tidak mewakili pengundi, merasakan kedudukan yang terancam serta kurang keyakinan, menyebabkan berlakunya lompat parti. 

Lebih menarik andainya penulis membuat kesimpulan, mana-mana parti yang membentuk kerajaan hasil PRU 1959, berkecenderungan wujud sebuah kerajaan yang tak stabil. Perikatan hanya kebal di kawasan Kemaman sahaja, bila berjaya menguasai semua 4 kerusi DUN dalam Parlimen Kemaman, apabila Pas, SF dan PN tidak memberi cabaran sengit, malah calon Pas hilang pertaruhan di Chukai, calon SF hilang wang pertaruhan di Paka-Kerteh dan Chukai, sementara calon PN, hilang wang pertaruhan di Paka-Kerteh. Semua kerusi DUN melibatkan persaingan 4 penjuru: Perikatan, Pas, SF dan PN. 

Perikatan bukan setakat kalah semua kerusi DUN dalam Parlimen Besut, tetapi kelima-kelima calonnya dapat undi di bawah 1,000 undi. Semua kerusi dimenangi Pas. Di Kuala Besut dan Besut Tengah, undi SF lebih tinggi daripada Perikatan. Semua calon PN hilang wang pertaruhan di Besut. 

Pas menang semua 4 kerusi DUN dalam Parlimen Ulu Terengganu, dengan saingan sengit dari Perikatan. Undi SF dan PN juga mencabar di tempat ketiga dan keempat. Cuma calon SF hilang wang pertaruhan di Binjai dan PN hilang wang pertaruhan di Ulu Terengganu Barat. 

PN menguasai kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selantan, dengan memenangi 3 dari 4 kerusi DUN. Saingan adalah antara PN dengan Perikatan. Pas berada berada di tempat ketiga, dengan calonnya hilang wang pertaruhan di Bukit Besar, sementara semua calon SF hilang wang pertaruhan. 

Kejayaan kerajaan Perikatan mempertahankan kerajaan hasil dari kejatuhan kerajaan Pas menerusi undi tak percaya dalam PRU 1964 telah diolah dengan baik. Tapi ianya lebih menarik  kejayaan Perikatan ini dengan merangkul 21 dari jumlah 24 kerusi DUN, jika diolah berasaskan hasil PRU 1959, di mana separuh dari kerusi DUN dimenangi oleh Pas dan PN, tanpa sokongan majoriti pengundi kesan perpecahan undi persaingan banyak penjuru. Dua dari tiga kerusi dipertahankan Pas adalah kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar dalam PRU 1959; Hulu Besut dan Besut Tengah. 

Penulis menggambarkan selain Perikatan (UMNO-MCA) dan Pas main peranan utama dalam demokrasi kepilihanrayaan di Terengganu, tidak kurang pentingnya peranan PN dan SF (kemudiannya PSRM). 

Apabila Pas menyertai kerajaan campuran bersama Perikatan, kemudiannya sertai Barisan Nasional (BN), kekosongan ditinggalkan Pas diisi oleh PSRM. Di Kelantan, diisi oleh penyokong Pas yang menentang kemasukan Pas ke dalam BN, yang membentuk Barisan Bebas Bersatu menentang BN dalam PRU 1974. Di negeri-negeri lain termasuk Kedah, tiada pengisian menggantikan Pas, di kawasan atau kerusi majoriti Melayu. 

Perbicaraan politik Terengganu tanpa menyentuh pengosongan Pas sebagai pembangkang adalah tidak lengkap dan tergantung. Penulis mengabaikan sudut ini. Dalam PRK Kuala Nerus, 1973, masa Pas berada dalam kerajaan campuran, percubaan sulong PSRM agak hebat juga bila berjaya memungut 2,042 undi berbanding 4,154 undi calon Perikatan. Perbandingannya, dalam PRU 1969, Perikatan dapat 2,804 undi, Pas 2,480 undi, memperlihatkan majoriti undi Pas beralih ke PSRM, yang sepatutnya menyokong Perikatan atas semangat kerjasama berkerajaan campuran.

Lebih menarik kiranya penulis mengulas kesan pembentukan BN yang dapat diterjemahkan menerusi PRU 1974. Dalam pilihan raya tersebut BN hanya mendapat cabaran di Kelantan dan Terengganu, kesan kekosongan ditinggalkan Pas. Di negeri-negeri lain di Semenanjung, BN mendapat laluan mudah lantaran berdepan saingan tiga, empat dan lima penjuru bila BN ditentang pembangkang yang berpecah: DAP, Pekemas, KITA dan PSRM. Di Kelantan, BN ditentang gabungan calon bebas bekas penyokong Pas, bertanding atas nama "Barisan Bebas Bersatu". 

Sungguhpun disebut secara umum di halaman 124, pencapaian PSRM, harus diingati bahawa kekuatan sokongan PSRM banyak bergantung kepada penentang UMNO, termasuk penyokong Pas yang menentang kemasukan Pas dalam BN. Cabaran getir kepada BN menjadi kendur di saat akhir dengan memprovokasi sajak Kassim Ahmad, "Sidang Ruh". Bait akhir puisi yang berakhir " dan Tuhan sudah mati", ditafsirkan perjuangan sosialisme PSRM menafikan kewujudan Maha Pencipta.

Dalam PRU 1969, keputusan bagi kerusi Parlimen Kemaman: Perikatan 9,428 undi, Pas 8,534 undi. Dalam PRU 1974, semasa Pas berada dalam BN, kerusi ini ditandingi PSRM: BN 12,418 undi, PSRM 5,189 undi. Semasa PRK Kemaman 1976: BN 11,204 undi, PSRM 7,286 undi. Dua tahun kemudian, PRU 1978: BN 14,180 undi, Pas 7,715 undi, bila Pas keluar BN dan PSRM tidak bertanding. Bolehlah disimpulkan pengundi yang mengundi Pas juga yang mengundi PSRM bila berlaku dua penjuru menentang BN. Justeru itu, di Terengganu, ada individu yang sama bertanding atas tiket PSRM bila Pas berada dalam BN, dan bertanding atas tiket Pas, bila Pas di luar BN. Satu fenomena biasa di peringkat akar umbi, pengundi menyokong mana-mana parti asal bukan UMNO. 

Justeru politik Terengganu, walaupun lebih banyak didominasi oleh UMNO dalam tempoh 60 tahun, tetapi ianya mempunyai keunikan tersendiri. Sepanjang tempoh 60 tahun, persaingan politik antara dua parti utama, UMNO dan Pas mencetuskan keseimbangan pengaruh. Bila Pas bersama UMNO, persaingan kuasa terus konsisten, di mana pengundi mencari alternatif, bila PSRM beri cabaran untuk hidupkan keseimbangan pengaruh. Apabila Pas bersama UMNO berada di satu pihak, pilihan raya terus subur sebagai pesta demokrasi yang subur dan meriah, tidaklah sebagaimana di negeri-negeri lain, memberikan BN menang selesa, sebahagiannya menang tanpa bertanding, setengahnya berdepan dengan lawan yang lemah. 

Penulis lebih fokus kepada pencapaian tokoh atau gaya kepimpinan, menjadikan buku ini amat sesuai  untuk tatapan masyarakat awam. Jalan pengolahan dan penganalisaan dengan bahasa yang mudah sebati dengan keperluan khalayak umum sebagai rujukan serta melengkapkan fakta perkembangan politik tanah air. Satu hal yang menarik, bila membaca keseluruhan kupasan penulis, ianya tidak dipengaruhi berpihak kepada mana-mana fahaman politik, lebih terbuka serta menghormati kepada etika penulisan.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan