Isnin, 27 November 2017

Undi Melayu dalam PRU14

KE MANA UNDI MELAYU DALAM PRU14

Sasaran utama mana-mana parti politik dalam menguasai medan pengundian adalah kepada kumpulan pengundi Melayu-Muslim, yang merupakan sekitar 60% jumlah pengundi di Malaysia. Kejayaan BN mempertahankan penguasaan lantaran kejayaan menguasai kelompok pengundi teras politik Malaysia ini. Daripada 165 bahagian pilihan raya Parlimen di Semenanjung sebagai contoh, 88 kawasan atau kerusi Parlimen daripadanya atau 53.3% adalah kawasan yang mempunyai lebih 60% pengundi adalah orang Melayu. Dari jumlah 88 kerusi Parlimen tersebut, BN menang 64 kerusi atau 72%, dalam Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13).

Berasaskan kecenderungan sokongan dalam PRU13 serta dalam beberapa pilihan raya kecil dan keseluruhan kajian sikap berbagai pihak selepas PRU13 memperlihatkan 35% pengundi Melayu-Muslim adalah penyokong tegar UMNO/BN di Semenanjung. Pengundi teras UMNO/BN ini banyak membantu BN mempertahankan kubu tradisi di kawasan luar bandar. 

30% pengundi Melayu-Muslim adalah pengundi tegar atau penyokong Pas. Justeru itu, kawasan majoriti Melayu menjadi medan perebutan antara UMNO dan Pas. Daripada kawasan dihuni 90% pengundi Melayu yang berjumlah 25 kerusi Parlimen, menjadi perebutan antara UMNO dan Pas dalam PRU13. UMNO menang 14 kerusi dan Pas 11 kerusi. 

Secara amnya, kajian mendapati baki 35% pengundi Melayu-Muslim adalah pengundi atas pagar dan penyokong pakatan pembangkang, Pakatan Harapan. Kumpulan 35% ini didapati tergolong dalam 3 kelompok: tak suka UMNO dan benci DAP, boleh terima UMNO dan benci DAP, liberal dan utamakan isu semasa.

Golongan pengundi atas pagar yang merangkumi 15% pengundi Melayu dikenalpasti mahukan perpaduan Melayu-Muslim tetapi marah kepada UMNO lantaran keangkuhan kuasa serta berbagai isu berpunca dari UMNO yang mempengaruhi prestasi ekonomi dan kestabilan sosial dan politik. Kelompok pengundi Melayu atas pagar ini bencikan DAP yang disinonim dengan cauvanisme Cina. Kelompok ini sensitif terhadap isu-isu masalah dan keperluan harian rakyat. Dalam PRU13, kelompok ini terpaksa mengundi UMNO/BN kerana tiada pilihan lain. Pas dinafikan pilihan kerana dikaitkan dengan kebersamaan pakatan dengan DAP.

Kumpulan kedua pengundi atas pagar Melayu ialah kelompok 13% dari jumlah pengundi Melayu, yang boleh setuju dengan UMNO dan membenci DAP. Seperti juga dengan kumpulan pengundi Melayu atas pagar pertama, mereka mahukan perpaduan Melayu-Muslim. Sama seperti kelompok pengundi atas pagar Melayu pertama, mereka melihat kepada isu permasalahan dan keperluan harian. Kumpulan ini memihak kepada UMNO, apabila melihat parti-parti Melayu lain berpakat dengan DAP. 

Isu-isu keperluan kehidupan harian; kos sara hidup, kenaikan harga barangan, peluang pekerjaan mengatasi isu nasional seperti 1MDB, derma RM2.6 billion, ketirisan dan pembaziran. Sungguhpun isu-isu tersebut menghiris hari pengundi Melayu yang perhatin kepada isu berbanding penyokong tegar iaitu kumpulan 35% pengundi Melayu, menyokong UMNO adalah sokongan yang tak dapat dielakkan. Sejauhmanakah kecenderungan kelompok 28% pengundi Melayu ini, apakah akan terus menyokong UMNO dalam PRU14 nanti, kerana dalam PRU14 nanti, mereka sudah ada pilihan lantaran Pas tidak lagi terikat dengan tahaluf sayasi dengan DAP. Keberadaan DAP dalam pakatan pembangkang menghalang pengundi atas pagar Melayu-Muslim, memisahkan diri dengan UMNO.

Di kalangan pengundi Melayu, kecenderungan tumpuan isu lebih bersifat status sosial individu. Isu 1MDB, ketirisan, pemborosan, rasuah dan isu moral yang seumpamanya hanya berkisar di kalangan pengundi strata atas dan kelas menengah atas, rata-ratanya pengundi sektor kota. Sementara pengundi kelas menengah bawah dan kelas bawah, rata-ratanya menguasai sektor pinggir kota dan kawasan luar bandar cenderung memikirkan isu-isu kehidupan; kos sara hidup, harga barangan dan peluang pekerjaan. Masyarakat Melayu kelas atas memerhati isu moral dan jatidiri sementara kelas bawahan yang merupakan kumpulan majoriti membawa isu menggalas perut.

Selain kelompok: penyokong tegar UMNO, penyokong tegas Pas, pengundi atas pagar Melayu yang tiada pilihan untuk berpisah dengan UMNO, terbaki lagi kelompok 7% pengundi Melayu. Kelompok ini adalah pengundi dianggap liberal kerana mereka boleh menerima pluralisme agama serta mementingkan isu urustadbir atau good governance, di mana isi-isu ini lebih bersifat nilai-nilai keharmonian sejagat. Oleh itu mereka tidak ambil peduli soal-soal Melayu dan Islam, yang membolehkan mereka bersekongkol dengan DAP. Keterbukaan dan liberalisme kecenderungan kelompok Melayu ini, agak terpencil dan terasing dari persepsi umum orang Melayu dalam mengambil atau membuat keputusan politik. 

Sejauhmana kejayaan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebuah serpihan UMNO mampu menarik kelompok penyokong tegar UMNO serta kelompok pengundi atas pagar Melayu menyokong Pakatan Harapan yang ikut serta serpihan Pas, Parti Amanah Negara (Amanah) bersama PKR dan DAP. Tidak kurang penting juga ialah keupayaan Amanah mengkucar-kacirkan penyokong tegas Pas. Ukuran kemampuan Pakatan Harapan menjadi ancaman utama UMNO mengekalkan kuasa, sudah tentu banyak bergantung kepada kemampuan Bersatu dan Amanah mengikis sentimen anti DAP di kalangan pengundi Melayu. 

Seandainya parti-parti yang berpaksi kepada sokongan Melayu dalam Pakatan Harapan berjaya merombak ikatan tradisi orang Melayu dengan dua parti teras Melayu: UMNO dan Pas, PRU14 akan memecahkan tradisi politik Melayu yang merupakan teras politik Malaysia. Mungkinkah PRU14 akan menzahirkan parti yang berkuasa tidak memiliki sokongan majoriti rakyat, di mana tiada parti atau gabungan parti mencapai undi popular melebihi 50%. Dalam Pilihan Raya Umum Pertama (1959), Pas yang berjaya menguasai DUN Terengganu hanya perolehi undi popular 36.87%,  sahaja, Perikatan (UMNO-MCA) 35.21% undi, sementara 27.32% dikongsi oleh parti-parti lain. Kegagalan menguasai majoriti undi rakyat, menyebabkan kerajaan Pas Terengganu tidak bertahan lama.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan