Rabu, 25 Oktober 2017

Khurafat UMNO

MERUNGKAI IKATAN KHURAFAT UMNO

Kejayaan UMNO menguasai minda orang Melayu lebih 60 tahun dengan satu dendangan  tanpa parti keramat UMNO orang Melayu akan merana dan terpinggir. Tanpa pembelaan UMNO, orang Melayu akan ketinggalan dan negara akan porak peranda. Hanya kerajaan yang diketuai UMNO sahaja yang mampu membangunkan negara serta mengekalkan kestabilan dan perpaduan rakyat. 

Khurafat anjuran UMNO serta rakan-rakan pakatan asal; MCA dan MIC telah membelenggu keterbukaan minda rakyat serta menafikan penyuburan dan pengembangan inovasi rakyat. Keterbatasan ruang membuat keputusan, memudahkan laluan UMNO dan rakan-rakannya mengekalkan kuasa dan tempoh yang panjang. Kebimbangan dan kekhuatiran rakyat terhadap sebarang perubahan kuasa politik menjurus kepada rakyat didedahkan tiada pilihan, selain mengekal status quo yang ada. 

Apabila BN yang diterajui gagal pertahan kerajaan di beberapa negeri, tidak menampakkan sebarang kemunduran dan kepapaan kepada orang Melayu. Bila BN yang dikepalai UMNO kalah di Kelantan dalam PRU 1990 dan Pas mempertahankan kerajaan, yang sudah memasuki 6 penggal, tidak menampakkan sebarang mala petaka menimpa orang Melayu di Kelantan. 

Apa yang wujud, adalah perbuatan khianat serta anti-demokratik dalam hubungan federalisme; antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Membentuk peraturan serta mengubah amalan birokrasi dalam peruntukan pembangunan dan kewangan dalam sebuah sistem federalisme, yang menjurus kepada penguasaan dan kepentingan politik berparti dalam pentadbiran dan pengurusan. Perubahan amalan birokratik menyusahkan masyarakat awam kerana aliran pemikiran politik sempit dan anti-tamadun telah mengganggu keselesaan rakyat.  Memecahbelakan urus tadbir masyarakat seperti tidak iktiraf penjawat awam lantikan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan melantik penjawat awam alternatif, akhirnya wujud dua ketua kampung dalam satu kampung walaupun menggunakan istilah lain, menjalankan fungsi yang sama. Tidak iktiraf lantikan kerajaan negeri dalam beberapa urusan pentadbiran, bermotif politik demi "pecah dan perintah" 

Memecahkan urusan pengurusan masyarakat menerusi pengasingan pentadbiran Persekutuan dan pentadbiran negeri di negeri-negeri UMNO dan rakan-rakan komponen BN jadi pembangkang, mengukuhkan kekhurafatan UMNO. Tiada parti lain boleh memerintah atau menguasai kerajaan selain UMNO, khurafat  dipertaruhkan untuk menakutkan dan mengongkong orang Melayu, yang didakwa sebuah parti yang mempunyai keramat. 

Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Pas yang kuasa kerajaan sejak 1990 serta 1959-1978, direkodkan belum ada pemimpinnya sama ada eksekutif atau legislatif diheret ke mahkamah atas kesalahan urus tadbir atau berkaitan. Sebaliknya pengalaman negeri-negeri dikuasai UMNO, yang mencatatkan kepimpinan negeri terlibat berbagai kes terutama salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya. Di awal 10 tahun pertama selepas Merdeka, sudah tercatat beberapa menteri terpaksa letak jawatan atas kesalahan urus tadbir. 

Kejayaan Pas menguasai dan mempertahankan kemenangan di Kelantan, sedikit sebanyak mengikis taksub khurafat yang dipropagandakan sekian lama. Kejayaan Pas di Kelantan yang dirintis Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah mengendurkan khurafat tersebut, yang membolehkan rakyat di beberapa negeri melonggarkan ikatan khurafat bermula PRU 2008. Rakyat boleh menilai prestasi kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, semasa diperintah BN dan semasa BN jadi pembangkang.

.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan