Jumaat, 24 November 2017

DAP ada agenda agama

DAP DENGAN AGENDA AGAMA

Pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP minggu lepas (12/11/2017), tiada banyak berubah berbanding pemilihan pada 21/12/2012 yang tidak disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS). Hanya seorang saja, anggota CEC yang dipilih dalam pemilihan 5 tahun lepas, gagal mempertahankan kerusi CEC. 

Pemilihan tidak diiktiraf ROS 2012 menyaksikan DAP hampir tidak disenaraikan sebagai parti yang tidak layak menyertaikan Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13). Kepimpinan DAP membuat keputusan akan menyertai PRU13 dengan menggunakan lambang Pas di Semenanjung, dan lambang PKR di Sabah dan Sarawak. DAP merasakan Pas, sebuah parti yang berteraskan mendaulatkan Islam, tidak dipengaruhi sensitiviti pengundi bukan Islam. Hari-hari terakhir menjelang hari penamaan calon PRU13, SPR memberi kebenaran logo roket boleh digunakan. Mungkin senario politik Malaysia sekarang jauh berbeza andainya dipaparkan logo Pas menguasai kawasan perbandaran dalam PRU13. Satu anjakan politik baru yang mempamirkan penafian agenda perkauman dan perbezaan kepercayaan. 

Satu perkara menarik dari CEC DAP yang baru dibentuk, disertai dengan lantikan 10 Ahli CEC Tambahan. Mengikut Dr Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM), dikenalpasti 6 daripada 10 ahli tersebut; Stephen Wong (Ahli Parlimen Sandakan), Thomas Su (AP Ipoh Timur), Dr Ong Kim Ming (AP Serdang), Wong Kah Woh (ADUN Perak), Hannah Yeoh (ADUN Selangor), Yeo Bee Yin (ADUN Selangor), Dr John Brian Anthony dan Jannie Lasimbang, terlibat dalam aktiviti evangelisme Kristian. 

Evangelisme adalah dirujuk kepada amalan dan tradisi keagamaan yang terdapat dalam ajaran Kristian  mazhab Protestant konservatif. Makna umumnya, evangelisme satu gerakan memperluaskan atau mengembangkan ajaran agama Kristian. Antara ancaman kepada kestabilan dan status quo  ialah penyerapan nilai-nilai Kristian dalam sistem sosial dan pentadbiran lantaran keupayaan menguasai politik.

Selepas berjaya menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang, dulunya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan, dengan menguasai kerusi Parlimen terbanyak, DAP menonjolkan peranan yang lebih besar dalam masyarakat. Bukan sekadar menguasai politik, menguasai sebuah kerajaan negeri tetapi mengcangkupi bidang kehidupan yang lain. Perubahan drastik dalam pentadbiran di Pulau Pinang yang dapat dipertontonkan bila memasuki penggal kedua pentadbiran, sudah menampakkan kesan dan gejala yang negatif. Ketua Menteri dan Exco didakwa dalam kes salahguna kuasa, kerancakan pembangunan fizikal yang mengundangkan bencana alam, antara kesan awal. 

Masuk penggal kedua serta berjaya pertahan kerajaan negeri, menguasai pakatan pembangkang dengan inisiatif membubar Pakatan Rakyat, yang secara langsung untuk menyingkirkan Pas yang tegas membawa misi mendaulatkan Islam. Sebelum PRU13, memperlihatkan gambaran mesra tamadun Islam dengan membawa acuan pentadbiran ala Umar Abdul Aziz dan sanggup guna logo Pas dalam PRU13, sebaliknya lepas PRU13, atas sifatnya parti dominan membawa haluan berbeza. Ego dengan prestasi meningkat berbanding Pas dengan sedikit merosot, mendorong DAP mula memulas dan mendera Pas seolah-olah ada persaingan agenda agama. Hinggakan DAP menganjurkan ahli Pas membuat perubahan kepimpinan parti demi mengikis suara memertabatkan Islam menerusi kuasa politik.

Bila Dr Kamarul Zaman Yusoff mengetengahkan bagaimana perjuangan DAP berusaha meresap dalam politik dan pe ntadbiran demi penyebaran semaian nilai-nilai Kristian atau dengan kata lain menyuburkan nilai-nilai agama berasaskan ajaran Kristian dalam birokrasi dan mekanisme pentadbiran awam. Ulasan beliau bersandarkan tulisan Hannah Yeoh, Speaker DUN Selangor dalam buku Becoming Hannah. Hannah telah menyaman Kamarul Zaman, dengan menafikan hasratnya menyemai nilai ajaran agama anutannya dalam pentadbiran awam.

Terbaru, Hannah telah menolak perlantikannya sebagai ahli CEC lantikan. Mungkinkah telahan yang dibuat bagaimana agenda evangelisme menguasai kepimpinan DAP, memaksa Hannah menarik diri demi mengendurkan persepsi awam terhadap DAP, tambahan beliau adalah menduduki status tinggi, mengetuai sebuah badan awam yang penting. 

Usaha bersungguh DAP menyingkirkan kepimpinan Pas yang tak sehaluan dengan liberalisme DAP, menjelaskan persaingan bukan atas perbezaan ideologi tetapi demi persaingan antara agama atau kepercayaan. Apakah DAP mahu menjuarai usaha menggunakan liberalisme untuk mengekang kebangkitan Islam yang dipercayai satu ancaman masa depan. Apa yang dibimbangi liberalisme menjadi alat imperialisme Barat menguasai pemikiran dan tanggapan masyarakat yang akan merencatkan kebangkitan Islam.



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan