Sabtu, 7 Oktober 2017

Orang Melayu bantu DAP

KEANGKUHAN DAP ATAS IHSAN PENGUNDI MELAYU

Sikap DAP amat berbeza selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Kejayaan DAP menjadi parti dominan selepas UMNO, menyaksikan kemuncak peranannya dalam politik Malaysia. Lantaran itu, DAP telah mula menunjukkan dominasinya berbanding masa membentuk pakatan pembangkang selepas PRU12, yang memperlihatkan persepaduan demi kekuatan gabungan yang membentuk kerajaan di lima buah negeri. Ekoran lonjakan pencapaian dalam PRU13 berbanding PKR dan Pas, DAP telah mula membuli rakan pakatan terutamanya Pas. 

Meneruskan kesinambungan parti dominan membuli rakan kongsi, sebagaimana amalan UMNO dalam hubungannya dengan parti-parti komponen BN, DAP memulakan peranan parti dominan dengan mencampuran urusan dalaman Pas. Dalam Pas mempersiapkan jentera parti untuk pemilihan kepimpinan semua peringkat dalam tahun 2015, bagaimana DAP main peranan mengatur pemilihan kepimpinan parti. Kegagalan mengubah kepimpinan Pas mengheret kepada inisiatif DAP menyingkir Pas dari Pakatan Rakyat.

Dalam PRU12, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen, yang memberikan peluang mengetuai pakatan pembangkang di Parlimen, yang turut disepakati oleh DAP yang memenangi 28 kerusi dan Pas dengan 23 kerusi. Peningkatan sokongan di sektor bandar kepada pakatan pembangkang dalam PRU13, meletakkan DAP di hadapan dengan 38 kerusi, sementara PKR dan Pas sedikit merosot dengan 30 dan 21 kerusi. Namun begitu, status quo dipertahankan dengan PKR mengetuai barisan pembangkang di Parlimen, dengan peruntukan tugasan Ketua Pembangkang.

Di atas penolakan pengundi bandar kepada BN, yang secara langsung memberikan DAP kejayaan menguasai kelompok pembangkang. Sebaliknya di kawasan luar bandar, sokongan pengundi diberikan kepada BN, UMNO khususnya. PRU13 memberikan UMNO mendominasi kawasan luar bandar, sementara DAP menguasai kawasan bandar. 

Keangkuhan DAP  harus diletakkan di atas bahu pengundi Melayu dan pengundi luar bandar. Dalam kes Semenanjung, kegagalan Pas dan PKR menandingi UMNO, mempercepatkan menunjukkan pengaruh dan kuasa DAP walaupun sebagai parti pembangkang. Gelombang kebangkitan dan kesedaran rakyat demi perimbangan kuasa menerusi "check and balance" yang bermula dalam PRU12, sepatutnya menjadi panduan kecenderungan pengundian dalam PRU13. Rasionaliti panduan ini berasaskan prestasi dan perkembangan politik tanah air sepanjang tempoh Penggal Parlimen Kedua Belas (2008-2013). 

Petunjuk kecenderungan politik secara kasarnya boleh menjadikan keputusan semua pilihan raya kecil dalam tempoh tersebut sebagai ukuran. Sebanyak 16 pilihan raya kecil berlangsung dalam tempoh 2008-2011 (3 tahun) secara berkebetulan melibatkan semua negeri kecuali Perlis, membabitkan berbagai sektor geografis; bandar, pinggir bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman. Kedua-dua pihak; kerajaan (BN) dan pembangkang masing-masing memenangi 8 pilihan raya kecil. BN merampas dua kerusi: Galas dan Hulu Selangor, pembangkang pula merampas dua kerusi juga; Kuala Terengganu dan Sibu. 

Senario dari paparan prestsi pilihan raya kecil serta dua isu besar; faktor kelembaban ekonomi dan faktor pentadbiran di mana Parlimen dibubarkan pada waktu hampir luput tempoh, memberikan kerajaan yang ada semakin tidak popular. Faktor-faktor tersebut adalah kecenderungan pengundi sektor bandar membuat keputusan, berbanding pengundi luar bandar, mengundi atas faktor sokongan kepada parti. 

Pengundi Melayu sepatutnya tidak mengundi calon UMNO mewakili BN kerana kecenderungan keseluruhannya pengundi Cina khususnya menolak BN. Amalan dan kecenderungan tersebut menjadikan kerajaan yang didominasi oleh UMNO adalah didominasi oleh perwakilan Melayu, sebaliknya perwakilan Cina sebagai suku kaum kedua terbesar berada dalam blok pembangkang. Lantaran pengundian yang berat dipengaruhi sentimen perkauman menjadikan ketidakimbangan kuasa dan perwakilan yang membentuk kerajaan. 

Seandainya pengundi Melayu meletakkan kepentingan nasional demi perpaduan dan keharmonian antara kaum, DAP tidak akan menjadi angkuh dan berkuasa campuri urusan dalaman parti lain. Bila orang Cina menolak MCA, Gerakan dan SUPP, yang mewakili suara pengundi bandar, yang majoritinya penduduk Cina, orang Melayu sepatutnya menolak calon UMNO, memberikan Pas dan PKR menambahkan perwakilan untuk mengimbangi kekuatan DAP. 

Di Semenanjung, sejumlah 88 kerusi Parlimen mengandungi peratusan pengundi Melayu melebihi 60%. BN meletakkan 86 calon UMNO, seorang calon MCA dan seorang calon bebas yang ditentang oleh 58 calon Pas dan 30 calon PKR, dalam PRU13. BN menangi 64 kerusi, semuanya UMNO, sementara pembangkang menang 18 kerusi melalui Pas dan 6 melalui PKR. 

Bagi yang celik minda dan peka dengan suasana dan maklumat semasa dalam PRU13, mudah menerima mesej bahawa pengundi bukan Melayu dan pengundi bandar akan menolak BN. Demi perimbangan kuasa dan perpaduan nasional, sepatutnya membantu memperbanyakkan perwakilan Melayu dalam Pakatan Rakyat untuk memerintah Malaysia. Pegundi Melayu sepatutnya menolak calon-calon UMNO dengan menggantikan dengan calon Pas dan PKR. Secara langsung kerusi milikan Pas dan PKR akan mengatasi kerusi DAP, yang akan meletakkan DAP sebagai parti nombor tiga. 

Apabila orang Melayu terus memilih UMNO, walaupun UMNO berjaya mengetuai kerajaan, tetapi majoriti perwakilan Cina berada dalam pakatan pembangkang, menerusi DAP. Kerajaan yang dibentuk menampakkan satu kontradiks dengan orang Melayu berkuasa bersaing dengan orang Cina di sebelah pembangkang. 

Kejayaan DAP adalah hasil sokongan besar pengundi Cina secara umumnya dan yang meletakkan DAP sebagai parti dominan adalah atas bantuan pengundi Melayu. Orang Melayu yang tidak membantu mempastikan kerusi milik Pas dan PKR, untuk mengatasi atau sekurangnya seimbang dengan kerusi atau pencapaian DAP, sebagaimana hasil PRU12. Walaupun PKR, sebuah parti berbilang kaum, tetapi lebih fokus kepada kawasan pinggir bandar dan luar bandar, yang menghasilkan lebih separuh Ahli Parlimennya dari etnik Melayu. 

Keangkuhan dan keegoan DAP, lebih tepat atas bantuan pengundi Melayu. Pengundi yang matang melihat kepentingan nasional tanpa dipengaruhi tradisi menipu dan mengugut rakyat dengan warna-warni perkauman. Dimomokkan, UMNO kalah, DAP perintah Malaysia, sedangkan daripada 107 calon UMNO (semuanya Melayu) di kerusi Parlimen Semenanjung, ditentang oleh calon-calon Melayu Pas dan PKR. Kecuali kerusi Gelang Patah, satu-satunya kerusi Parlimen majoriti bukan Melayu ditandingi UMNO,  ditentang oleh calon Cina dari DAP. Baki 58 kerusi Parlimen di Semenanjung ditandingi calon-calon bukan Melayu mewakili MCA, MIC, Gerakan dan PPP, di mana BN hanya menang 12 kerusi sahaja. 






 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan