Jumaat, 13 Oktober 2017

Membuli Guru

TRADISI MEMBULI GURU

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, perubahan besar dalam arena politik tanah air adalah pembentukan Barisan Nasional, sebuah gabungan mega parti-parti utama bekerjasama membentuk kerajaan. Penggantungan institusi perundangan pasca Pilihan Raya Umum 1969 selama satu tahun setengah, membuka ruang pembentukan dasar awam dan institusi baru merangkumi pelbagai bidang.

Penglibatan masyarakat awam dalam pengurusan sekolah awam  menerusi sebuah jawatankuasa pengelola atau lembaga pengelola diganti sebuah jawatankuasa melibatkan ibu bapa dan guru. Jawatankuasa pengelola sesebuah sekolah dianggotai oleh seorang pengerusi dengan keahliannya dari beberapa sektor: wakil kerajaan yang terdiri dari anggota perkhidmatan awam negeri atau Persekutuan, wakil murid tua dan wakil ibu bapa. Wakil kerajaan kebiasaannya dari kalangan pentadbir awam dalam daerah sesebuah sekolah, kebiasaannya Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah. 

Dif atau tetamu khas dalam majlis-majlis rasmi sekolah; Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah Tahunan. Peranan Pegawai Daerah sebagai ketua pentadbir awam daerah, diberikan pengiktirafan sebagai vvip, yang kebiasaannya diundang merasmikan majlis-majlis besar di sekolah. 

Pasca 13 Mei, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diberi peranan sebagai badan peranan awam, sementara Lembaga Pengelola Sekolah dihentikan. Keahliannya adalah perwakilan ibu bapa, sementara guru berperanan sebagai anggota ex-officio, ahli kerana jawatan. Pengerusi dipilih dari kalangan ibu bapa, sementara jawatan pengurusan; Setiausaha dan Bendahari dipertanggungjawabkan kepada guru. Peranan orang politik menggantikan penjawat awam. Kebiasaannya orang politik menguasai keahlian PIBG, memudahkan membawa masuk orang politik menjadi tetamu dalam majlis-majlis rasmi sekolah. Wakil Rakyat, Ahli Exco dan Menteri, lebih kerap dan keutamaan sebagai tetamu utama atau perasmi Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Tahun dan Mesyuarat Agung PIBG. 

Perubahan besar institusi pendidikan, khususnya sekolah, memperlihatkan peranan jentera parti kerajaan di sekolah. Bukan sekadar menguasai PIBG, tetapi peranan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di samping melaksanakan tugasan birokratik institusi perkhidmatan awam, juga jentera pembantu jentera parti pemerintah. Arahan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan PPD untuk memenuhi keperluan politik secara langsung menjadi arahan formal untuk dilaksanakan pentadbir dan kakitangan sekolah. Arahan popular ialah menghadiri majlis yang terangan bermotif politik dan perlantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran tempat bertugas. Bagaimana surat sokongan dan akuan dari parti perlu dilampirkan bersama urusan kenaikan pangkat. 

Minggu lepas, media melaporkan ratusan murid dan guru Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 (1) dalam satu program bertemakan "UMNO dan Kemerdekaan Negaraku". Acara dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan,  yang juga  Ahli Parlimen Putrajaya, Tengku Adnan Tengku Mansor, menyaksikan bendera UMNO dipasang di seluruh kawasan sekolah. Murid-murid diminta mengibarkan bendera UMNO, melaungkan "Hidup UMNO" dan menyanyikan lagu parti. 

Dilaporkan, sepanduk "Hidup UMNO, Hidup Melayu, Dulu, Kini Dan Selamanya", direntang di pentas. Tengku Adnan dalam ucapannya menggesa para guru menyertai UMNO.

Amalan memperbodohkan, membuli dan memperlekeh masyarakat pendidikan, selepas 13 Mei, meletakkan warga guru terkebelakang dengan penjawatan awam lain. Kaum guru dijadikan sasaran kepentingan politik, lantaran mereka lebih berpengaruh mendekati pemilih di sektor luar bandar khususnya. Program-program indoktrinasi dan memanipulasi guru atas nama kursus profesionalisme, meletakkan guru sebagai penggerak politik parti. 

Menjadikan sekolah sebagai pentas kepentingan politik, menjadikan memasukkan politik dalam halaman sekolah sebagai satu kelaziman, serta gagal memisahkan antara kepentingan dan keperluan awam dengan kepentingan dan kehendak politik. Satu pemandangan biasa terpapar dalam banner atau backdrop " dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian .....". Sepanduk Majlis Ucapan dan Penyampaian Hadiah Tahun tiada beza dengan Mesyuarat Agung Perwakilan UMNO Bahagian, terentang di pintu masuk sekolah.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan