Selasa, 17 Oktober 2017

Pondok Bersama Pas

INSTITUSI PONDOK  BERSAMA PAS MENJAGA AKIDAH UMMAH

Ijtimak Pondok Se Malaysia kali ke 2, yang telah diadakan di Madrasah Manadi Al Ulum Al Dinniah, Pasir Tumbuh, Kelantan, pada 14/10/2017 telah menggariskan 4 resolusi, mencerminkan pendirian seluruh pusat pengajian pondok. Resolusi yang telah diikrarkan di akhir ijtimak oleh Tuanguru Haji Mohd Rejab Md Akhir, mudir madrasah berkenaan berbunyi:
1. Bahawasanya Ijtimak Pondok Se Malaysia kali ke 2 yang telah diadakan di Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan menegaskan bahawa seluruh pondok akan mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASW) berasaskan manhaj Imam Asyaari dan Imam Al Maturidi dan menolak fahaman, aliran, akidah, ideologi dan fahaman selainnya;

2. Perhimpunan pondok hari ini berikrar mempertahankan sistem pengajian Turath sebagai asas utama kurikulum pendidikan pondok di Malaysia, di samping menerima kurikulum tambahan yang memberi manfaat kepada pelajar pondok;

3. Ijtimak menegaskan akan berdiri teguh di belakang gerakan Islam Pas di dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan akidah ASW;

4. Ijtimak menegaskan kerajaan Islam Kelantan wajib dipertahankan dan sebarang kelemahan perlu diperbaiki.

Ijtimak sehari suntuk berkesimpulan institusi pondok akan mempertahankan akidah ASW serta akan bersama Pas di samping mempertaankan kerajaan Kelantan pimpinan Pas. Resolusi ini memantapkan dan membersihkan dari tohmahan musuh Pas bahawa pemerintahan Pas Kelantan diresapi aliran Wahhabi. Tohmahan dilontarkan demi melemahkan sokongan kepada Pas dalam usaha merampas kerajaan Kelantan dalam PRU14. 

Isu dan strategi musuh Pas, UMNO khususnya, bahawa aliran Wahhabi akan menguasai kerajaan Kelantan seandainya Pas terus diberi kuasa dalam PRU14. Justeru itu, berbagai isu digunakan untuk meranapkan kerajaan Kelantan sejak lebih 27 tahun; pembangunan, infrasarana, peluang pekerjaan, gagal mengubah sokongan kepada Pas, isu agama cuba diketengahkan menjelang PRU14. Isu agama dimanipulasi dengan harapan Pas tanpa Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) akan terjejas. 

Resolusi dari ijtimak Pasir Tumboh yang meletakkan pegangan akidah ASW lebih kukuh, yang bermula dari institusi pendidikan dan tarbiyah, tidak mudah ruang resapan aliran Syiah, Wahhabi, Liberalisme dan Pluralisme, untuk menggugat keyakinan dan harapan pemilih kepada Pas. Ikrar dan resolusi dari ijtimak tersebut menyediakan ruang kepada Pas untuk lebih selesa dan yakin berdepan cabaran musuh bila isu agama dan akidah diasakkan ke atas Pas. 

Resolusi ijtimak meletakkan institusi pondok sebagai wadah mempertahankan, memantapkan dan mengembangkan akidah ASW. Harapannya, institusi pendidikan dan tarbiyah ini sebagai benteng terakhir menyelamatkan akidah ummah bila bertembung dengan berbagai aliran pemikiran; ideologi, kepercayaan dan idealisme politik. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan