Ahad, 15 Oktober 2017

LKS sebagai Perdana Menteri

CADANGAN LIM KIT SIANG SEBAGAI PERDANA MENTERI

Pandangan yang dilontar oleh Dr P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri 2, Pulau Pinang, Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP adalah calon yang layak untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia, masa akan datang, memiliki rasionaliti tersendiri.  Respons negatif awal menyerang DAP atas landasan perkauman, tanpa meneliti latar belakang isu dengan lebih cermat.

Memanglah tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan meletakan syarat kaum dan kepercayaan perlantkan seorang Perdana Menteri sebagaimana perlantikan Menteri Besar yang digariskan oleh Undang-undang Tubuh Negeri.  Mana-mana ahli dewan rendah Parlimen iaitu ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti dari kalangan ahli, layak diminta oleh Yang Dipertuan Agong untuk membentuk kerajaan. Ruang untuk mana-mana Ahli Dewan Rakyat tanpa mengira keturunan dan agama terbuka untuk menjawat jawatan Perdana Menteri. 

Pandangan dari seorang pemimpin DAP di atas lantaran cetusan Ketua Penerangan UMNO, TS Annuar Musa, bahawa Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri seandainya Pakatan Harapan menguasai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Rasionaliti ini berasaskan DAP yang mendominasi perwakilan pembangkang di Parlimen hari ini, dijangka akan mengekalkan kedudukan sebagai parti dominan dalam Pakatan Harapan dalam PRU14. 

Cetusan Ketua Penerangan UMNO itu di atas kapasiti, ketokohan dan kredibiliti Kit Siang menerajui DAP serta kegagalan Pakatan Harapan menguasai sokongan orang Melayu, walaupun berjaya membentuk kerajaan. Ketokohan Kit Siang  dibandingkan dengan kepimpinan parti-parti lain dalam gabungan pembangkang, Pakatan Harapan, berada di hadapan. 

Lontaran pemikiran Ketua Penerangan UMNO secara langsung mengiktiraf ketokohan Kit Siang yang wajar mengambilalih kepimpinan Melayu lebih 60 tahun, yang sedang dilandai  kleptokrasi dan berbagai karenah political immoral. Ilham perkauman ini bukan sahaja berobjektifkan politik ugutan dan amaran, tetapi memperkecilkan kepimpinan nasional terdahulu dan semasa.

Kit Siang yang berpengalaman sebagai Ketua Pembangkang Parlimen lebih 24 tahun, menjadi Ahli Parlimen sejak 1969 mewakili kerusi-kerusi Parlimen; Kota Melaka, Petaling Jaya, Tanjong, Ipoh dan Gelang Patah, yang tidak mempunyai cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri di atas realiti politik dan perundangan, wajar diberi peluang. Individu yang rendah diri, tidak menampilkan dirinya impian jawatan sepenting itu. Itulah pandanganTimbalan Setiausaha Agung DAP. 

Membangkitkan dan mengetengahkan ancaman perubahan kuasa serta kesan kepada kepentingan politik sempit yang sendat dengan resipi perkauman, sebenarnya sekadar merancakkan senario menjelang pilihan raya umum setiap lima tahun. Begitulah putaran isu diulang setiap lima tahun sekali, yang tidak lebih cumalah strategi murahan mengugut dan menakutkan khalayak pengundi yang terhad informasi dan pendedahan. Begitulah berulangnya, tradisi memperbodohkan rakyat dalam sistem demokrasi kepilihanrayaan. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, semasa berucap di himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi, 14/10/17, mengkonklusikan  promosi Kit Siang sebagai kerja orang gila. Kerja orang gila ini berterusan walaupun Kit Siang jelaskan perjuangannya lebih 50 tahun bukan nak jadi PM, dan kepimpinan Pakatan Harapan, termasuk Tun Dr Mahathir menafikan hasrat meletakan Kit Siang mengetuai kerajaan. Itu kerja orang gila, ulang Guan Eng.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan