Ahad, 3 September 2017

Faktor FELDA 3

FAKTOR FELDA DALAM PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA

bahagian 3

Faktor penempatan FELDA menentukan kekuatan BN bermaksud masih relevan dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti. Sungguhpun 54 kawasan atau kerusi Parlimen dianggap sebagai deposit tetap kepada BN, hakikinya peranan FELDA membantu BN dalam mana-mana pilihan raya, tidaklah sebesar angka berkenaan. 

Sekurang-kurangnya dua faktor utama yang dapat dikesan mengukur kepentingan atau dominannya FELDA kepada kekuatan BN; komposisi pengundi mengikut kaum dan jumlah daerah mengundi. Komposisi pengundi atau klasifikasi kawasan pilihan raya, yang sudah dirancang oleh penguasa menerusi birokrasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sentiasa berubah setiap kali persempadanan kawasan pilihan raya mengikut selera dan keperluan atau kepentingan parti pemerintah, BN. 

Iklim kekalahan BN di 6 kawasan Parlimen yang melibatkan FELDA dalam PRU13.  cuba mencetuskan fenomena baru trend pengundian.  Kekalahan di Kulai dan Sungai Siput, tidak memberikan gambaran penolakan masyarakat FELDA, yang mewakili pengundi Melayu, lantaran peratusan pengundi FELDA  yang kecil di kawasan majoriti pengundi adalah bukan Melayu. Kekalahan di Kuala Nerus dan Temerloh, lebih memberi kesan kepada penerimaan orang Melayu kepada BN, walaupun peratusan pengundi FELDA kecil tetapi ianya merupakan kawasan majoriti pengundi Melayu. 

Kegagalan mempertahan kerusi Parlimen Dungun dan Raub, yang mempunyai peratusan pengundi FELDA yang agak tinggi, 12.0 dan 12.3 peratus, sedikit sebanyak memperlihatkan FELDA sudah merintis keluar dari kepompong simpanan tetap BN. Kejayaan pembangkang berjaya menarik 39 peratus undi FELDA, menjadi antara faktor utama kekalahan BN di kawasan majoriti Melayu. Di kawasan campuran, Raub, calon Melayu pembangkang boleh mengalahkan calon bukan Melayu BN, memperlihatkan kebergantungan BN kepada undi Melayu, khususnya FELDA, bukan lagi faktor memihak kepada BN. 

Umum berpandangan, faktor FELDA menjadi penghalang utama perubahan undi dari masyarakat luar bandar dan masyarakat Melayu daripada BN, namun senario dari trend pengundian atau pilihan pengundi dalam PRU13 mencatat sedikit perubahan sikap dan tindakan. 

Walau apapun pandangan, faktor FELDA terus membantu BN, di mana tanpa bantuan undi dari FELDA, BN boleh hilang sekurang-kurangnya 9 kerusi Parlimen dalam PRU13. BN mengekalkan kerusi parlimen Tanjong Malim bila berjaya memungut sebanyak 10,650 undi atau 68.8% undi FELDA, yang merupakan 37.73% dari jumlah undinya, 28,225 undi, untuk membolehkan calonnya menang dengan majoriti 4,328 undi atau 8.30%. Tanpa undi FELDA yang merupakan 22.9% pengundi Tanjong Malim, BN akan kalah dengan majoriti 1,494 undi. kerana undi BN dari luar FELDA berjumlah 17,575 undi, sementara undi PKR dari luar FELDA ialah 19,069 undi.

BN menang kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti 462 undi atau 2.11%, tanpa dikira undi FELDA, BN akan kalah dengan 650 undi. Jumlah undi BN; 10,506 adalah termasuk 1,854 undi FELDA, berbanding undi calon DAP; 10,044 undi termasuk 742 undi FELDA. Jumlah undi BN dan DAP tanpa undi FELDA Sungai Koyan I, II dan III: 8,652; 9,302. 

Jumlah undi BN bagi kerusi Parlimen Bentong ialah 25,947, sementara DAP: 25,568, yang memberikan kemenangan BN dengan majoriti 379 undi. Dari pungutan undi dari 8 daerah mengundi FELDA yang merupakan 17.6% dari jumlah pemilih, BN memperolehi 7,660 undi, sementara DAP; 3,326 undi. Tanpa undi dari FELDA, undi BN hanya 18,287, sementara DAP; 22,242 undi, iaitu BN ketinggalan sebanyak 3,959 undi. 

Kawasan Parlimen Bera, sebuah kawasan campuran luar bandar dengan pengundi bukan Melayu hampir 40%, mempertontonkan peranan besar peneroka FELDA menjadi penentu keputusan pilihan raya. Kawasan Bera merangkumi 3 komposisi sama rata: pengundi bukan Melayu, peneroka FELDA dan penduduk perkampungan trasidisional Melayu serta Orang Asal. Pengundi bukan Melayu khususnya Cina yang menguasai 30% pengundi dengan menjadi pengundi majoriti di kerusi DUN Teriang, di mana Teriang sekadar pekan kecil di pedalaman. 

BN menguasai undi dari 13 rancangan pembangunan tanah FELDA dengan mengaut 12,939 undi atau 68.86%. Undi dari FELDA ini merupakan 59.17 % dari jumlah 21,669 undi calon BN. Tanpa undi dari FELDA, dengan undi 8,730 dari kalangan pengundi bukan FELDA, jauh tertinggal kepada jumlah undi calon PKR yang mewakili pakatan pembangkang. Undi calon PKR bagi kerusi Parlimen ini, 19,526, di mana 13,900 undi bukan FELDA. Tanpa menguasai undi FELDA, calon BN akan kalah dengan 5,170 undi, berbanding kemenangan dengan majoriti  2,143 undi dalam keputusan rasmi PRU13.  

Lantaran BN menguasai 18,794 undi atau 77.41% undi dari 14 rancangan FELDA, membolehkan BN menang dengan majoriti besar di kerusi Parlimen Jempol. BN menang dengan majoriti 8,614 undi atau 16.07% setelah memungut 31,109 undi berbanding 22,495 undi calon Pas mewakili pembangkang di kawasan 57.8% pengundi Melayu ini. Jika ditolak undi FELDA, undi BN hanya 12,315 undi dan Pas; 17,136 undi. Menunjukkan undi bukan FELDA, BN tertinggal sebanyak 4,821 undi. 

Negeri Johor yang merupakan kubu kuat BN, tambahan pula dengan bilangan rancangan FELDA yang luas merangkumi 64 penempatan, FELDA menyumbangkan 89.47% undinya kepada BN di peringkat kerusi Parlimen. 12 kerusi Parlimen di Johor terlibat dengan FELDA, kerusi Kulai dirampas DAP. Ada 4 kerusi terkesan tanpa penglibatan FELDA: Segamat, Sekijang, Labis dan Tebrau. Segamat, Kijang dan Tebrau adalah kawasan campuran, sementara Labis adalah kawasan majoriti bukan Melayu. 

Kejayaan BN menguasai lebih 90% undi peti undi FELDA Palung Timur membolehkan BN memenangi kerusi Parlimen Segamat, dengan majoriti 1,217 undi. Tanpa undi FELDA Palung Timur, BN memungut 17,101 undi, berbanding calon PKR; 18,563 undi, memperlihatkan BN ketinggalan 1,462 undi. Hasil undian dari FELDA Palung Timur; BN yang dapat 2,936 undi memiliki kelebihan bila calon PKR dapat 257 undi sahaja. 

Di Sekijang, sebelum dimasukkan putusan undi dari 5 ranccangan FELDA, BN ketinggalan 4,533 undi, bila jumlah undi BN; 11,480 undi, PKR; 16,013 undi. 5 rancangan tanah FELDA: Pemanis 1, Pemanis 2, Medoi, Kemelah dan Redong menyumbangkan 8,454 undi atau 90% undi kepada BN, berbanding 914 undi kepada calon PKR, menjumlahkan undi BN 19,914 berbanding PKR; 16,927, untuk memberikan majoriti 3,007 kepada BN. 

Kerusi Parlimen Labis yang mempunyai 64 peratus pengundi bukan Melayu, dimenangi BN hasil sumbangan besar diberikan oleh pengundi FELDA. Pengundi FELDA memberikan 87% atau 3,636 undi kepada BN, untuk membantu BN yang ketinggalan 2,776 undi, dari hitungan undu bukan FELDA. Tanpa undi FELDA, BN memungut 12,185 undi berbanding calon DAP; 14,961 undi, dengan sumbangan undi yang besar dari FELDA (87%) memberikan BN sejumlah 15,821 untuk mengatasi calon DAP dengan majoriti tipis 353 undi. 

Nasib baik Labis berada dalam negeri Johor, di mana undi FELDA adalah 89.47% diberikan kepada BN dalam PRU13. Negeri Pahang dengan rancangan FELDA terbesar, dengan 103 rancangan tanah FELDA, memberikan 66.48% undi mereka kepada BN. Jika pengundi FELDA di Labis hanya memberikan 70% undi mereka kepada BN sebagaimana di Pahang, dan baki 30% kepada pembangkang, dengan mudah pembangkang boleh kuasai Parlimen Labis. Dengan andaian 70% undi FELDA, jumlah undi calon BN (FELDA campur bukan FELDA), BN akan dapat 15,085 undi, DAP mewakili pembangkang dapat 16,204 undi, menyaksikan BN ketinggalan 1,119 undi.

Kerusi Parlimen Tebrau, campuran pinggiran bandar dan luar bandar dengan pengundi Melayu 49.34%, antara kawasan yang dibantu oleh keberadaan rancangan FELDA membantu BN mencapai kemenangan. Sungguhpun jumlah pemilih FELDA Ulu Tebrau hanya 2.26% sahaja dari jumlah pemilih, penguasaan 2,754 undi atau 86.96% undi FELDA Ulu Tebrau  memberikan kemenangan kerusi Parlimen Tebrau. Tanpa undi FELDA, undi BN adalah 37,231, sementara calon PKR; 37,805 undi, BN di belakang dengan 574 undi. Setelah ditambah dengan undi dari FELDA Ulu Tebrau, menjadikan undi BN; 39,985, PKR; 38,218, dengan BN mendominasi dengan majoriti 1,757 undi atau 2.26%.

Dengan meletakkan FELDA sebagai pergantungan statik dan strategik BN, yang mewakili suara pengundi Melayu yang teguh bersama BN. Keupayaan BN mempertahankan lagenda FELDA simpanan tetap BN khususnya UMNO semakain terhakis berdasarkan kepada analisis undi setiap daerah mengundi dalam kawasan FELDA dalam PRU13.

Kekebalan benteng terakhir BN yang berpijak di FELDA yang semakin tergugat, setelah berlaku hakisan sokongan di  kawasan perkampungan tradisional Melayu, perkampungan masyarakat Orang Asal adalah cabaran utama BN bedepan PRU14. Kecuali Johor dengan sokongan 89.47% dan Negeri Sembilan, dengan 78.19% kepada BN, sokongan BN dari FELDA tidak banyak memberi keyakinan yang dirangkaikan dengan berbagai isu politik dan kewangan semasa. 

Sungguhpun sokongan masyarakat FELDA masih besar di Johor, namun beberapa kerusi Parlimen yang dulunya tidak terusik dan tidak membimbangkan, tetapi asas PRU13 sebagai panduan amat menakutkan BN. Apatah lagi di negeri-negeri lain yang mempunyai angka pengundi atau penempatan FELDA yang besar. Pahang dengan 103 rancangan FELDA hanya menyumbangkan 66.48% kepada undi BN, Terengganu, dengan 18 rancangan FELDA memberikan 65.36 peratus undi kepada BN. Johor memiliki 64 rancangan FELDA, sementara Negeri Sembilan, 31 rancangan FELDA. Negeri-negeri lain: Perak: 15, Kedah: 12, Kelantan: 9, Selangor: 4, Melaka: 4, Perlis: 3, yang menyumbangkan antara 60 hingga 70 peratus undi untuk BN di peringkat kerusi Parlimen. 

Sepatutnya BN mampu mencapai undi melebihi 95 peratus undi dari penempatan FELDA dengan survival masa depan, khususnya PRU14, kerana dengan 89% sokongan di Johor pun BN banyak kehilangan kerusi sama ada Parlimen atau Negeri. Angka di atas sekadar bersumberkan undian peringkat Parlimen, jika diceraikinkan atau dianalisis bersama kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) undi kepada BN lebih rendah kerana kebanyakkan undi kepada calon Pas yang bertanding di kerusi DUN lebih besar berbanding undi kepada calon DAP atau PKR di setiap daerah mengundi dalam rancangan FELDA. 

bersambung





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan