Isnin, 28 Ogos 2017

Faktor FELDA 2

FAKTOR FELDA DALAM PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA

bahagian 2
Dalam Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), parti pembangkang berjaya merampas 5 kerusi Parlimen yang melibatkan penempatan FELDA: Kuala Nerus (Pas), Dungun (Pas), Raub (DAP), Temerloh (Pas) dan Kulai (DAP). Di samping itu, PKR (menerusi calon Parti Sosialis Malaysia) berjaya pertahan Sungai Siput. 

Kawasan Parlimen Kuala Nerus, memiliki 1.4% pengundi dari jumlah 76,238 pengundi merupakan peneroka FELDA; FELDA Belara. Dari daerah mengundi ini, BN perolehi 671 undi atau 69.30%, sementara Pas dapat 297 undi atau 30.68% undi. Undi calon Parlimen BN, 671 undi hanya 2.02% dari jumlah undi beliau iaitu 33,251. Calon Pas yang memperolehi 33,861 undi menang dengan majoriti 601 undi atau 0.91%, di kawasan 98.41% pengundi adalah orang Melayu, memperlihatkan komponen kecil pengundi FELDA yang berjumlah 1.4%, tidak memberi apa-apa jaminan kekuatan pengaruh UMNO dan BN amnya. Dalam PRU12, BN menang dengan majoriti 1,341 undi atau 2.60%.

Berbeza dengan kerusi Parlimen Dungun dalam PRU13, ada persaingan merebut undi pengundi rancangan FELDA antara BN dan Pas. Kerusi Parlimen yang mempunyai 95.65% pengundinya dari masyarakat Melayu, memiliki 5 daerah mengundi dari rancangan FELDA: LKTP Jerangau dan Kertih 1 hingga 4. Di Kertih 1, undi Pas mengatasi BN: 1359; 1174. Pas beri saingan di LKTP Jerangau: 496; 844, dan di Kertih 3, 640; 1090. BN mengumpul 5,502 undi atau 60.02% undi sah dari 5 peti undi FELDA, sementara Pas perolehi 3,602 undi atau 39.29% undi. 

Kawasan Parlimen Dungun mempunyai 12% pengundi FELDA dari jumlah 78,174 pengundi, saingan diberikan Pas di kawasan FELDA, kawasan fixed deposit BN, memberi sumbangan kepada kekalahan BN. Sumbangan undi dari FELDA sebanyak 5,502 undi adalah 17.51% dari jumlah undi diperolehi BN; 31,406 undi. Sebaliknya, 3,602 undi dipungut Pas dari kawasan FELDA, memberikan 10.1% jumlah undi Pas; 35,348 undi, untuk membolehkan Pas menang dengan majoriti 3,942 undi atau 5.87%. Dalam PRU12, BN menang kerusi Parlimen ini dengan majoriti 4,994 undi atau 9.33%.

Kawasan Parlimen Raub mempunyai peratusan pengundi FELDA menyamai Parlimen Dungun. Terdapat 12.3% pengundi FELDA membentuk jumlah pengundi Parlimen Raub; 54,124 pengundi dalam PRU13. Raub adalah sebuah kawasan campuran dengan 48.93% Melayu. Parlimen Raub mengandungi 5 daerah mengundi FELDA: FELDA Tersang 1 - 3, FELDA Lembah Klau dan FELDA Krau. BN meletakkan calon MCA, sementara DAP meletakkan calon Melayu DAP. 

Pengundi di Tersang 3 dari kerusi negeri Batu Talam, ada persaingan antara calon pembangkang dan BN. Calon DAP memungut 406 undi untuk kerusi Parlimen, sementara calon Melayu PKR yang bertanding di kerusi negeri mendapat undi 377 undi. Sementara calon BN dari MCA dapat 775 undi, tetapi calon UMNO di kerusi negeri dapat 814 undi. Undi dari FELDA yang rata-ratanya Melayu, ada yang mengundi mengikut kuturunan calon. 

Keputusan undi dari FELDA Lembah Klau dari kerusi negeri Dong yang ditandingi Pas memperlihatkan pengundi FELDA lebih memihak kepada calon Pas berbanding calon DAP bila memilih antara calon pembangkang. Untuk undi Parlimen, calon DAP dapat 471 undi, tetapi calon Pas dapat 529 undi bagi kerusi negeri dari peti undi ini. Untuk calon BN, undian bagi kerusi Parlimen yang ditandingi calon MCA; 1267 undi berbanding undi kepada calon UMNO kerusi negeri; 1206 undi. Maknanya ada sekitar 60 orang peneroka, mengundi Pas untuk kerusi negeri dan BN untuk Parlimen, walaupun calon Parlimen dari bukan Melayu. 

Undian dari lima peti undi FELDA di Raub memberikan 4,420 undi atau 71.83% kepada BN dan 1,733 atau 28.16% undi kepada DAP. 4,420 undi dari FELDA ini memberikan 21.45% jumlah undi diperolehi calon BN; 20,601 undi. Sementara calon DAP hanya dapat memungut 7.40% undi untuk jumlah 23,415 undi, yang membolehkan DAP memenangi kerusi Raub dengan majoriti 2,814 undi atau 6.39%. Sementara dalam PRU12, calon MCA mengalahkan calon Cina DAP dengan majoriti 2,752 undi atau 8.24%. 

Parlimen Kulai, sebuah kawasan majoriti bukan Melayu dengan 66.88% pengundi bukan Melayu, terdiri dari 3 bahagian pilihan raya negeri: Bukit Permai (majoriti Melayu), Bukit Batu dan Senai (kedua-duanya majoriti bukan Melayu). terdapat 4 rancangan FELDA dalam Parlimen Kulai: Bukit Permai (3) dan Bukit Batu (1) yang menjumlahkan 8.0% keseluruhan pengundi. 

Bagi kerusi negeri Bukit Permai, dalam PRU13, BN yang meletakkan calon UMNO perolehi 38.89% undinya datang dari 3 peti undi FELDA: FELDA Bukit Permai, FELDA Inas dan FELDA Taib Andak, sementara Pas mewakili pembangkang hanya perolehi 9.27% dari keseluruhan undinya. Kerusi negeri Bukit Permai mempunyai 21.19% pengundi FELDA. Kerusi negeri Bukit Batu, memiliki 6.7% pengundi FELDA dan dimenangi calon Cina PKR. 

Di peti undi FELDA Taib Andak, undi untuk calon Pas lebih besar berbanding undi untuk calon DAP yang bertanding di kerusi Parlimen. Pas perolehi 495 undi berbanding 352 undi untuk DAP, bermakna seramai 143 pengundi FELDA Taib Andak mengundi Pas untuk kerusi negeri dan tidak mengundi DAP bagi kerusi Parlimen, walaupun kedua calon BN dan DAP adalah Cina dan kedua-dua calon bagi kerusi negeri Bukit Permai iaitu BN dan Pas adalah Melayu. Bahagian pilihan raya negeri Bukit Permai mengan dungi 21.1% pengundi dari 3 daerah mengundi FELDA. 

8% pengundi FELDA dari jumlah 83,991 pengundi Parlimen Kulai tidak dapat membantu BN dalam PRU13 dan terpaksa akur dengan kekalahan 13,450 undi atau majoriti 18.31%, gagal pertahan kerusi tradisi MCA. Majoriti yang diperolehi calon DAP adalah sekali ganda dari jumlah pengundi FELDA. 

Bagi kerusi Temerloh, sama seperti Raub dan Kulai yang tidak pernah menyaksikan calon BN tumpas dalam mana-mana pilihan raya. Justeru Parlimen Temerloh dengan komposisi pengundi FELDA yang kecil, 5.6%, menjadikannya bukanlah satu kawasan selamat untuk BN. Dalam PRU 1999, calon BN hanya menang majoriti tipis, 213 undi. 

Bahagian pilihan raya Parlimen Temerloh terdiri dari 3 bahagian pilihan raya negeri: Kuala Semantan, Mentakab dan Lancang. Dalam PRU13, Kuala Semantan dimenangi calon Pas, Mentakab oleh calon Melayu DAP dan Lancang dimenagi calon UMNO. Penempatan FELDA: FELDA Bukit Damar dan FELDA Lakum, berada dalam kawasan pilihan raya Lancang. Dari kedua-dua FELDA, BN perolehi 2077 undi atau 62.76%, sementara Pas; 1,232 undi atau 37.23%. Undian BN sekadar 62.76% dari rancangan FELDA, satu gambaran BN tidak boleh lagi bergantung kepada undian dari masyarakat peneroka tanah. Calon Pas memperolehi 28,267 undi untuk mengatasi undi BN; 27,197 undi yang memberikan majoriti 1,070 atau 1.93%, di kawasan 63.47% pengundi Melayu. 

Bahagian pilihan raya Parlimen Sungai Siput dengan jumlah pemilih 3.4% dari jumlah 51,596 pengundi dalam PRU13 adalah pengundi dari daerah mengundi LKTP Lasah. Parlimen Sungai Siput adalah kawasan majoriti pengundi bukan Melayu, yang merangkumi 66.0% pengundi. Di LKTP Lasah, BN perolehi 1,092 undi atau 77.56%, sementara calon PKR hanya dapat 310 undi sahaja. PKR mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Siput dengan majoriti 2,793 undi atau 6.88%, berbanding dengan majoriti 1,821 undi atau 5.7% dalam PRU12. Jumlah pengundi FELDA yang kecil dalam kawasan ini tidak memberi ancaman kepada pihak pembangkang.

Dalam kes Kulai, Sungai Siput, Temerloh dan Kulai, peratusan atau bilangan pengundi dari daerah mengundi FELDA yang rendah, tidak membantu BN di peringkat Parlimen. Rata-ratanya, undian kepada BN dari rancangan FELDA adalah tinggi, melepasi 70 peratus, menepati peranannya sebagai deposit tetap BN secara tradisinya, tetapi dua PRU terakhir menampakkan perubahan yang boleh memberikan ancaman kepada BN, bukan saja kepada calon bukan UMNO, malah kepada UMNO khususnya.




bersambung







 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan