Khamis, 7 September 2017

Faktor FELDA 4

FAKTOR FELDA DALAM PILIHAN RAYA UMUM DI MALAYSIA

bahagian 4


Kegagalan BN menguasai pengundi Melayu eksklusif yang diwakili oleh peneroka rancangan tanah FELDA meletakkan cabaran PRU14 lebih terbuka dan mendebarkan. Pemilihan peserta rancangan tanah ini yang dibuat secara langsung oleh jentera UMNO sejak bermulanya rancangan tanah ini dalam tahun 1961, menjadikan FELDA bukan sekadar kubu UMNO tetapi sebagai undi bonus. Justeru itu, kekebalan UMNO sukar ditembusi terutama Johor, Pahang dan Negeri Sembilan. Begitulah juga dengan negeri-negeri lain, penempatan rancangan FELDA memperkukuhkan kekuatan UMNO/BN. 

Istimewanya di beberapa rancangan FELDA, menjadi satu kawasan eksklusif dan berotonomi, menjadi kawasan larangan dan terkawal, memerlukan kebenaran pihak berkuasa untuk melepasi pos kawalan atau pintu masuk. Sungguhpun atas nama pihak berkuasa FELDA, tetapi hakikinya atas arahan pihak UMNO, terutama di musim pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Peneroka FELDA terpisah maklumat, dengan hanya disuapkan dengan sumber UMNO dan pihak berkuasa.

Dalam PRU13, BN hanya mengumpul 309,862 undi atau 74.17% keseluruhan undi sah bahagian pilihan raya Persekutuan di Semenanjung, sementara pakatan pembangkang (PKR-Pas-DAP) disokong oleh 107,123 pemilih atau 25.64% undi. Dalam persaingan satu lawan satu antara BN dengan pakatan pembangkang utama; Pakatan Rakyat, dengan pencapaian menguasai hanya tiga perempat undi bagi kerusi Parlimen, satu pencapaian yang tidak sepatutnya atau tak sepadan. Walaupun angka ini agak besar tetapi sebagai peserta yang dipilih secara langsung oleh kepentingan UMNO berbagai peringkat, sepatutnya lebih tinggi. Mengapa satu perempat pengundi Melayu yang mendiami sektor layanan khas pihak berkuasa ini tidak mengundi calon BN, khususnya UMNO. 

Sungguhpun generasi pertama di 268 rancangan FELDA di Semenanjung terlibat secara langsung dengan UMNO, kecuali FELDA Kemahang 1 dalam kawasan Parlimen Tanah Merah, dipilih secara langsung oleh kepentingan Pas, di awal 1970an, yang menguasai separuh pemilih FELDA, satu gambaran lain kepada generasi kedua FELDA. Ini bermakna, generasi kedua dan ketiga FELDA yang tergolong dalam kelompok pengundi muda,  berpecah dua: separuh menyokong BN dan separuh tidak menyokong BN. Jumlah pengundi generasi pertama yang semakin kecil, atas faktor kematian, pertambahan pemilih generasi baru yang dibesarkan dalam rancangan FELDA bergerak sealiran dengan kecenderungan pengundi di luar FELDA yang tidak terikat dengan apa-apa kepentingan, akan terus mengurangkan peratusan sokongan kepada BN. 

Keretakan kekebalan UMNO dan BN di kawasan FELDA di negeri Johor khususnya sebagaimana dipertontonkan oleh PRU13, memungkinkan layanan lebih istimewa demi mempertahankan undi simpanan tetap untuk BN. Janji rezeki bakal dikecapi peneroka FELDA seluruh negara, agak istimewa berbanding dengan masyarakat pengundi dari sektor lain. Mungkinkah peneroka FELDA yang dilayani sejak awal pengenalan rancangan ini hingga hari ini akan terlena dengan dedak yang ditaburkan. Apakah  masalah dan kemelut yang berlaku dalam institusi FELDA hari ini, akan tertutup dengan suapan dedak yang sedang dan akan bertambah rancak menjelang PRU14. Mampukah kemelut yang boleh mengancam masa depan peneroka akan tertutup dengan solekan dedak yang nipis.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan