Sabtu, 9 September 2017

Sempadan Lama Untuk PRU14

PERSEMPADANAN LAMA UNTUK PRU14

Kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemukakan syor persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk dibentangkan di Dewan Rakyat hingga kini, membantut perancangan Barisan Nasional untuk mempastikan Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) memperbaiki pencapaian buruk BN dalam PRU13. Kelazimannya, apabila notis syor dikeluarkan, persempadanan baru akan diwartakan dalam tempoh tak sampai satu tahun. 

Syor persempadanan semula bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri bagi negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah, telah dipamerkan selama sebulan, 15/09/2016 hingga 14/10/2016, untuk cadangan dan bantahan. Sebulan kemudian, bermula prosiding bagi bantahan. Keputusan prosiding dimaklumkan kepada pembantah; kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan 100 orang awam dan dalam bulan April lepas diberi peluang untuk prosiding rayuan dan prosiding rayuan sudah selesai, kecuali beberapa negeri terpaksa dibawa ke mahkamah dan kes masih belum selesai. Bagi negeri Sabah, yang terlibat dengan pertambahan kerusi atau bahagian pilihan raya Negeri, sudah pun diwartakan. 

Ramalan awal menjangkakan PRU14 akan diadakan dalam bulan September 2017, iaitu setahun selepas pemberitahuan awam syor persempadanan atau perubahan sempadan, berasaskan beberapa andaian munasabah. Mengambil kira sidang Parlimen Ogos 2017, akan meluluskan rang undang-undang persempadanan baru, kemudiannya Sukan Sea 2017, yang dijangka Malaysia sebagai tuan rumah akan mencapai kejayaan cemerlang, secara langsung menaikkan imej kerajaan pimpinan DS Najib dan BN. Sukan Sea yang berakhir menjelang Sambutan Kemerdekaan 31 Ogos, akan dipergunakan kesempatan untuk meningkatkan imej dan aura kepimpinan Najib. Di tengah-tengah kegembiraan dan kemegahan ini, Parlimen dijangka dibubarkan, untuk membolehkan PRU14 diadakan dalam bulan September. 

Justeru masih ada syor persempadanan yang belum selesai lantaran masih menunggu keputusan mahkamah,  memberi sumbangan kepada terbantutnya usaha BN mengambil kesempatan imej yang dibina menerusi penajaan Sukan Sea. Sungguhpun BN sedang berdepan imej yang merudumkan terutama isu 1MDB, kemelut beberapa agensi kerajaan termasuk FELDA, boleh diseimbangkan dengan masalah kecelaruan hubungan parti-parti pembangkang utama semasa. 

Maklumat yang boleh dipercayai membayangkan PRU14 akan menggunakan persempadanan yang sedia ada. Persempadanan yang berorientasikan manifestasi kepelbagaian kaum dan etnik, memecahkan kawasan majoriti Melayu dicantumkan kawasan bandar dan separa bandar, membentuk kawasan-kawasan campuran. Persempadanan ini tidak mengusik kawasan-kawasan pilihan raya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, kerana negeri-negeri ini tidak bersifat kepelbagaian kaum. 

Persempadanan yang dibentuk dalam tahun 2003 ini, memberikan kemenangan besar dalam PRU11 (PRU 2004) malah paling cemerlang buat BN,dalam sepanjang sejarah pilihan raya di negara ini. Sebaliknya memberikan pencapaian paling merosot buat BN dalam PRU12 dan PRU13, hinggakan buat pertama kalinya BN gagal menguasai majoriti 2/3 di Parlimen. Pengalaman pahit buat BN, sokongan popular BN hanya 47% undi rakyat dalam PRU13, pertama kali parti pemerintah dibentuk dengan sokongan suara minoriti. 

Dengan pengalaman prestasi rendah dalam dua PRU berturut, untuk mengembalikan semangat dan roh perjuangan, sepatutnya menggunakan persempadanan baru yang menang diatur untuk membantu BN mengekalkan kuasa. Oleh itu, PRU14 boleh diadakan bila-bila masa, tanpa menunggu keputusan mahkamah yang sedang mengendalikan urusan bantahan persempadanan. Paling munasabah ialah selepas pembentangan Bajet 2018, akhir Oktober nanti. Hari ini pun, PM sudah membayangkan beberapa inisiatif yang akan dibentangkan dalam Bajet 2018. Para peneroka FELDA sudah diumumkan pemberian dividen RM5000.00 seorang, pekebun kecil getah akan diberikan saguhati khas musim tengkujuh, dipercayai beberapa pemberian akan disasarkan lagi dalam bajet nanti. 

PRU14 akan diadakan setelah diumumkan hadiah untuk rakyat menerusi bajet tahunan, di kala isu bajet masih panas dan relevan. PRU10 (PRU 1999) diadakan selepas sidang bajet, iaitu pada 29 November 1999. BN terpaksa mengambil risiko mengadakan PRU14 menggunakan persempadanan lama dengan bermodalkan janji bajet, sebelum ianya basi dan menjadi lapok. Pendek kata, BN memiliki "feel good factor" dalam iklim jatidiri pengundi Malaysia yang mudah tergoda dengan janji kebendaan dan pengisian perut mengatasi keperluan ketelusan dan nilai moral.




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan