Ahad, 24 September 2017

DAP bersama BN

DAP AKAN BERSAMA UMNO SELEPAS PRU14

Kerjasama antara dua parti dominan dalam politik Malaysia; DAP dan UMNO, yang merupakan seteru politik tradisi sejak separuh abad, mempunyai kebarangkalian berputar 180 darjah, selesai Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Kebarangkalian ini bukanlah sesuatu yang sukar dan pelik dalam amalan demokrasi berasaskan perwakilan berkawasan (constituency representatives). Sungguhpun kedua parti dominan ini tidak membayangkan janjian kebarangkalian itu dalam masa terdekat, dalam medan persiapan PRU14, di atas desakan suasana dan keperluan politik, ianya bukanlah sesuatu yang mustahil. 

UMNO, parti dominan dalam komponen gabungan 14 parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, merentasi sempadanan etnik dan banjaran geografis, mempunyai perwakilan terbesar di Parlimen, diekori DAP sebagai parti nombor dua. Sejak lebih 50 tahun, kedua parti ini saling bertentangan dan menjadi musuh nombor wahid, satu terlalu kanan, satu terlalu kiri. Justeru politik dipenuhi dengan berbagai liku serba ketidakmungkinan, tidaklah di luar ruang lingkup kebarangkalian jika dijangkakan DAP akan bergabung dengan UMNO demi kepentingan kestabilan politik negara.

  Jika trend pengundian masyarakat Cina bersambungan dalam PRU14, setelah perubahan ayungan yang tinggi pengundi Cina dalam PRU13, yang bermula PRU13, sokongan pengundi Cina kepada BN akan terus merosot. Kemerosotan sokongan pengundi Cina, akan menjadikan BN hanya mewakili pengundi Bumiputera, sama ada Islam atau bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Kesangsian sejauhmana kemampuan calon-calon MCA, Gerakan, SUPP dan LDP mempastikan BN menang di kawasan bandar, yang menggambarkan sokongan pengundi Cina. 

Dalam PRU12, MCA mewakili masyarakat Cina diberikan 40 kerusi untuk ditandingi dan menang 15 kerusi, dalam PRU13 dikurangkan peruntukan kerusi ditandingi kepada 37 dan cuma menang 7 sahaja. 4 kerusi dimenangi MCA, merupakan kawasan pengundi Melayu melebihi 50%: Alor Gajah (58.49% Melayu), Ayer Hitam (57.91% Melayu), Tanjong Malim (53.52% Melayu) dan Tanjong Piau (52.11% Melayu). Baki 3 kerusi Parlimen MCA dimenangi dengan majoriti kecil serta dibantu dengan penempatan FELDA yang didiami orang Melayu sepenuhnya; Tebrau (47.42% Melayu) menang dengan majoriti 1,767 undi atau 2.26%, Bentong (43.14% Melayu) menang dengan hanya 379 undi atau 0.74% dan Labis (36.53% Melayu) menang dengan majoriti 353 undi atau 1.13%. Kemenangan MCA di 7 kawasan ini, tidak menggambarkan mandat mutlak orang Cina, kerana faktor kepergantungan kepada undi Melayu lebih besar berbanding undi masyarakat Cina. 

Gerakan walaupun sebuah parti berbilang kaum, tetapi hakikinya sebuah parti mewakili masyarakat Cina. Dalam PRU12, diberikan peruntukan 12 kerusi Parlimen, hanya menang 2 kerusi: Gerik (68.20% Melayu) dan Simpang Renggam (56.79%). Dalam PRU13, kerusi Gerik dikembalikan kepada UMNO, dan Gerakan hanya berjaya pertahan kerusi Simpang Renggam sahaja. Bermula PRU12, Gerakan gagal pertahan kerusi tradisi belum pernah kalah; Batu (44.50% Melayu), Puchong (39.36% Melayu), Taiping (37.15%), Segambut (33.50%), Beruas (32.74%). 

Di Sarawak, SUPP kalah di semua kerusi Parlimen bandar atau kawasan majoriti Cina: Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri. Kecuali Miri yang dimenangi calon PKR, 5 kerusi lain dimenangi DAP. Di Sabah, kerusi majoriti Cina ialah Kota Kinabalu dan Sandakan, kedua-dua dimenangi DAP. 

PRU13, adalah kemuncak kemenangan DAP dengan membolot 38 kerusi Parlimen, dengan menguasai kesemua 13 kerusi majoriti bukan Melayu melebihi 80% pengundi di Semenanjung. Bagi 20 kerusi Parlimen yang mempunyai antara 60 hingga 80 peratus pengundi bukan Melayu, DAP menang 15 kerusi, 3 dimenangi PKR, dan 2 dimenangi BN dengan majoriti tipis, hasil bantuan pengundi dari rancangan tanah FELDA.

Mengklasifikasikan kawasan atau bahagian pilihan raya mengikut komposisi kaum membentuk pola agihan kerusi di kalangan parti-parti sama ada dalam BN atau Pakatan Rakyat perwakilan bersifat etnik atau kaum menerusi parti. Kawasan Melayu menyaksikan persaingan antara UMNO dan Pas, kawasan campuran antara MCA dan MIC melawan PKR, sementara kawasan bandar yang dikuasai pengundi Cina adalah medan tempur Gerakan dan MCA menentang DAP. 

Kecenderungan pola undi BN yang merosot dari 63.78% undi popular di Semenanjung daam PRU11, merosot ke 49.57% dalam PRU12, sementara undi popular pembangkang berubah dari 36.05% kepada 50.31% dalam tempoh tersebut, menerusi pakatan pembangkang dalam PRU12.  Trend ini berlanjutan dengan BN hanya perolehi 45.75% sahaja undi popular bahagian pilihan raya Parlimen di Semenanjung, dalam PRU13, sebaliknya pakatan pembangkang menerusi Pakatan Rakyat mengaut 53.30%. 

Tanpa persempadanan semula bahagian pilihan raya, PRU14 dijangka mendebarkan BN. Kecenderungan pemilih bermula PRU12 dengan peningkatan undi untuk asal bukan BN, memungkinkan satu keputusan pilihan raya yang bertentangan dengan kelaziman ragam pilihan pengundi Malaysia. Politik Malaysia yang dikuasai oleh dua wajah; orang Melayu masih mengharapkan UMNO sebagai tempat bergantung, sementara orang Cina, kumpulan kedua terbesar mula mengasingkan diri bersongkongkol dengan BN. Jangkaan PRU14 akan mengekalkan UMNO dan DAP sebagai dua parti dominan, yang memberikan satu hakikat politik perkauman terus berlanjutan. UMNO menguasai pengundi Melayu, sementara DAP menguasai pengundi bukan Melayu, khususnya Cina. 

Prestasi MCA, Gerakan dan SUPP yang teruk dalam PRU13, dijangka berlanjutan kemerosotan berasaskan kepada iklim politik Malaysia semasa. Iklim politik semasa memperlihatkan persiapan BN berdepan PRU14 lebih bertumpu kepada mempertahankan kepimpinan DS Najib, menguji dan mengabsahkan survival kepimpinannya. Serangan Parti Peribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu lebih menjurus kepada kepimpinan DS Najib dengan wajah kleptokrasi, bukan menghancurkan UMNO. 

Orang Cina yang amat sensitif prestasi ekonomi yang tidak menyakinkan, memaksa mengekalkan kecenderungan membuat pilihan sebagaimana PRU13, malah akan berlaku peningkatan, akan menyeksakan calon-calon MCA, Gerakan dan SUPP mewakili BN. Ruang ini akan memberi kelebihan kepada prestasi DAP. 

Sungguhpun pakatan pembangkang dijangka akan memberi saingan sengit kepada BN, manfaat yang besar akan dirasai DAP lantaran kelemahan komponen BN mewakili bukan Melayu. Sebaliknya, UMNO akan berebut undi Melayu bersama Pas dan pakatan pembangkang; PKR, Amanah dan Bersatu. 

Sungguhpun UMNO lebih banyak diserang atas keperibadian kepimpinan, faktor keseimbangan kuasa memberi lebihan kepada UMNO, bila orang Melayu melihat orang bukan Melayu khususnya Cina semakin meminggirkan BN. Untuk mengimbangi DAP yang menguasai pembangkang yang mendapat sokongan masyarakat bukan Melayu, mendesak orang Melayu  membantu UMNO membentuk kerajaan. 
 
Seandainya keputusan PRU14 mempolakan kerajaan terbentuk didominasi oleh UMNO, yang rata-rata disokong oleh pengundi Melayu, sementara barisan pembangkang dimonopoli oleh orang bukan Melayu dengan DAP sebagai parti dominan, satu manifestasi kegagalan perpaduan dan mengukuhkan politik perkauman dan kepuakan. Demi masa depan negara, kestabilan politik dan perpaduan nasional, memerlukan DAP menyertai kerajaan. 

Apabila MCA yang alami kemerosotan sokongan orang Cina dalam PRU 1969, MCA mengambil keputusan tidak sertai kerajaan mengambil tanggungjawab penolakan masyarakat Cina. Situasi ini mengheret kepada parti-parti pembangkang bukan Melayu; Gerakan, PPP dan SUPP menyertai kerajaan bersama UMNO. Tidak mustahil, DAP akan bekerjasama dengan UMNO membentuk kerajaan demi kestabilan politik, perpaduan nasional serta masa depan negara. 

Lainlah, seandainya undi Melayu berpecah kepada parti-parti yang berpengkalan di luar bandar, yang akan memaksa UMNO kehilangan kuasa. DAP mewakili masyarakat bukan Melayu akan membentuk kerajaan bersama PKR, Amanah dan Bersatu di samping parti-parti dari Sabah dan Sarawak yang akan meninggalkan BN. Di kala ini, akan meninggalkan UMNO serta beberapa rakan komponen yang masih setia, tidak berupaya membentuk kerajaan, walaupun mendapat sokongan dari Pas. 

Di atas faktor sambutan dingin masyarakat Cina khasnya kepada parti-parti komponen yang berpusat di kawasan bandar dan pinggir bandar, peluang lebih besar DAP menguasai kawasan demikian. Dalam PRU13, terdapat 58 kerusi Parlimen seluruh negara, yang mengandungi pengundi bukan Melayu/bukan Bumiputera melebihi 55% dari jumlah pengundi. Dari jumlah tersebut, DAP menang 37 kerusi, BN hanya menang 4 kerusi sahaja. Bakinya dimenangi oleh PKR dan satu kerusi kepada Pas. 

Parti yang mendapat manfaat besar dalam PRU14 adalah DAP. Jika calon-calon Bersatu, Amanah dan PKR, malah Pas gagal menghakis sokongan pengundi Melayu kepada UMNO, memerlukan DAP bersama UMNO membentuk sebuah kerajaan perpaduan mewakili seluruh rakyat berbilang kaum dan kepercayaan. Apatah lagi, jika orang Melayu mengejutkan UMNO, DAP akan membentuk kerajaan bersama rakan dalam kerjasama pembangkang, Pakatan Harapan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan