Selasa, 1 Mac 2016

Penggantungan Timbalan Presiden

PARTI KERAMAT GANTUNG TIMBALAN PRESIDEN

Majlis Tertinggi UMNO minggu  lepas telah menggantung jawatan Timbalan Presidennya TS Mahyuddin Yassin berkuatkuasa serta mereta. Tahun lepas beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Dalam Perhimpunan Agung UMNO akhir tahun lepas, buat julung kalinya orang nombor dua parti keramat itu tidak dibenarkan berucap. Lebih menarik, semalam mantan Presiden dan mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad pula istihar keluar parti.

Penggantungan dan keluar parti, dua tokoh utama parti ini, sedikit sebanyak akan mencelarukan sebuah parti yang dianggap keramat. UMNO yang amat tebal dengan pembawaan dan pegangan feudalisme sebagai mewakili kelompok Melayu yang kental dan tegar dengan politik tradisional, amat menyanjung nilai-nilai mitos antaranya kekeramatan. Justeru itu, parti amat berani mengambil tindakan tidak popular dalam jangka masa pendek, tetapi umumnya parti tetap utuh dan tidak bergoncang dalam jangka masa panjang. Tepatlah kata-kata popular mantan Presidenya; Melayu cepat lupa. 

Walaupun UMNO dalam sejarahnya alami tindakan keluar parti dan pemecatan, atas sifat feudalistik yang berpagang kepada doktrin keramat, UMNO terus bertahan walaupun berlaku sedikit keretakan. 

Dato' Onn Jaafar, pengasas dan Yang Dipertua (sekarang Presiden) pertama, keluar parti kerana krisis kepimpinan.  Menerusi parti yang ditubuhnya, Parti Negara yang berlainan dasar dengan parti asalnya, gagal berperanan, berpengaruh dan berkembang.  Akhirnya parti berkubur setelah beliau meninggal. 

Abdul Aziz Ishak, Naib Yang Dipertua UMNO yang telah dipecat dari parti selepas meletak jawatan kabinet ekoran krisis dengan kepimpinan parti di bawah Tunku dan Tun Razak, dalam tahun 1963. Seorang pemimpin kanan parti yang sama-sama merangka plan kemerdekaan dan mengetuai UMNO dan Perikatan Selangor. Sebagai Menteri Pertanian, beliau sentiasa bercanggah pendapat dalam kabinet kerana beliau lebih menfokuskan kepada pembelaan masyarakat luar bandar yang sinonimnya orang Melayu dan penghuni sektor kemiskinan. Beliau letak jawatan kerana ditukarkan ke portfolio kesihatan. 

Beliau mengasas dan memimpin Parti Perhimpunan Kebangsaan dan menyertai Partai Buruh dan Partai Rakyat Malaya dalam Socialist Front dalam Pilihan Raya Umum ke 2 (PRU 1964). Peranan parti ini serta keterlibatannya dalam pakatan sosialis ini tidak mendapat sambutan dan gagal menggugat UMNO dan Perikatan. Beliau ditahan di bawah ISA bersama beberapa tokoh politik kira dalam tahun 1965 hingga 1966.

Dato' Musa Hitam (kemudiannya Tun), Timbalan Presiden UMNO sejak 1981, telah meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 16/3/1986, di kala parti sedang membuat persiapan PRU ke 7 (PRU 1986). Perletakan jawatan beliau lantaran percanggahan dengan Presiden parti,  Dr Mahathir Mohamad. Beliau tidak meletak jawatan parti dan parti tidak menggantung atau menggugurkan jawatan beliau, kerana PRU makin hampir. Dalam PRU7, beliau diberi laluan mempertahankan kerusi Parlimennya, Kota Tinggi (yang ditukar nama dari Parlimen Panti). 

Peranan dan pengaruh beliau ditonjolkan menerusi pemilihan parti dalam tahun 1987, bila beliau bergabung dalam kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Sungguhpun pasukan Razalegih-Musa tewas tetapi kesan kepada UMNO dapat dilihat dalam beberapa siri pilihan raya kecil selepas itu. Ini lebih ketara melihat kepada pola sokongan di kawasan selatan dan tengah sebagai kubu Musa Hitam, sementara kawasan Pantai Timur menggambarkan pengaruh Tengku Razaleigh. 

Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Puteri pada 5/3/1988 mula menampakkan kemerosotan UMNO khususnya. Calon yang menang dalam PRU7 dengan 530 undi, cuma menang 31 undi sahaja dalam PRK berkenaan. Itupun mengikut sumber bekas penyokong UMNO, sebenarnya calon UMNO kalah dalam PRK tersebut, jika tidak dibantu undi pos yang popularnya bahan manipulasi. Tanjong Puteri adalah sebahagian dari kawasan Parlimen Johor Bahru yang terlibat dengan PRK lima bulan kemudian. BN gagal pertahan kerusi ini setelah kalah dengan undi besar, melebihi 12,000 undi. Dalam PRU7, BN menang dengan majoriti kecil, 2,235 undi di Parlimen Johor Bahru. Dengan pencapaian calon UMNO mewakili BN dalam PRK Tanjong Puteri, memang sudah dibayangkan BN akan bermasalah dalam PRK Johor Bahru, justeru itu, penyokong Musa Hitam, Shahrir Abdul Samad sangguh meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru untuk membolehkan satu PRK diadakan, dan beliau bertanding menentang calon BN.

Dua bulan kemudian, satu PRK diadakan untuk kerusi negeri Parit Raya. Kerusi Parit Raya yang terletak dalam kawasan Parlimen Sri Gading adalah kubu UMNO paling kuat di Semenanjung, yang sering melihat calon BN menang tanpa bertanding dalam beberapa pilihan raya terdahulu. BN menerusi calon UMNO menang tak bertanding di Parit Raya dalam PRU6 dan PRU7. Dalam PRK Parit Raja pada 20/10/88, calon BN hanya menang 413 undi sahaja bila perolehi 51.07% undi, berbanding calon bebas, penyokong Musa Hitam yang perolehi 48.18% undi. 

Di Pantai Timur, pergolakan UMNO memberikan wajah sebenar UMNO selepas pertembungan persaingan memilih pemimpin 1987, dalam PRK Manir pada 24/6/89, calon UMNO yang menang dengan majoriti lebih 700 undi dalam PRU7, gagal pertahan kerusi. Kerusi ini jatuh ke tangan Pas setelah kalah dengan 141 undi, hasil persepakatan bekas penyokong UMNO dengan Pas. 

Kesan daripada krisis keyakinan yang membawa kepada krisis kepimpinan UMNO bermula dengan perletakan jawatan Musa Hitam dalam kabinet mencetuskan beberapa krisis parti yang memerudumkan sokongan kepada UMNO khususnya dalam PRU8 (PRU 1990). UMNO hilang kerajaan di Kelantan, di samping kehilangan kerusi-kerusi UMNO di Terengganu dan negeri lain serta kemerosotan peratusan undi UMNO dan BN berbanding PRU7.  Pas yang menandingi kawasan Melayu melawan UMNO, yang hanya cuma dapat satu kerusi Parlimen dalam PRU7 melonjat boleh menguasai sebuah kerajaan.

Sungguhpun Musa Hitam tidak memegang jawatan kerajaan, sebagai Timbalan Presiden parti, beliau diberi hak tradisi UMNO, Timbalan tidak dinafikan untuk berucap di perhimpunan agung parti. Timbalan merasmikan mesyuarat agung sayap parti: pemuda dan wanita. 

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO, DS Anwar Ibrahim dipecat serentak dalam krisis kepimpinan UMNO, 1998. Pemecatan Anwar telah meledakkan satu kebangkitan massa Melayu dan diterjemahkan dalam bentuk pengundian kawasan majoriti Melayu dalam PRU10 (PRU 1999). Kemerosotan sokongan kepada calon-calon UMNO mewakili BN berlaku secara keseluruhan, kecuali Johor. UMNO hilang sebuah kerajaan negeri serta kalah teruk di Kelantan di samping peningkatan kerusi Pas di beberapa negeri, menerusi tsunami Melayu 1998-1999. Di beberapa negeri, calon-calon parti lawan UMNO terutama Pas, mula mendapat tempat di negeri-negeri kawasan tengah.

Sungguhpun prestasi UMNO dan BN dapat dipulihkan menerusi persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 di mana persempadanan ini sengaja dipolakan demi mempertahankan kerajaan pimpinan UMNO, ianya sekadar sementara sahaja. Penolakan terhadap UMNO ekoran pemecatan kepimpinan disambut oleh sokongan masyarakat berbilang kaum,  pakatan pembangkang berjaya bentuk kerajaan di lima negeri dan BN hilang suara majoriti di Parlimen, dalam PRU12 dan berterusan dalam PRU13 hinggakan kerajaan BN terpaksa membentuk sebuah kerajaan minoriti, dengan sokongan 47% pemilih. 

Pengunduran Dato' Onn dan pemecatan Aziz Ishak tidak memberi impaks kepada UMNO. Peletakan jawatan kerajaan Musa Hitam tanpa    meletak jawatan parti mula mengukir protes sokongan Melayu walaupun tidak menyeluruh. Penyingkiran Anwar Ibrahim memberi kesan yang lebih besar dan menyaksikan sedikit demi sedikit lagenda parti keramat menuju kelunturan mengikut edaran masa.

Apakah dengan penggantungan Muhyiddin Yassin diikuti tindakan Dr Mahathir keluar parti akan membuka era baru dalam kajian keutuhan sebuah parti induk dalam kerajaan. Jika era Musa Hitam dan Anwar Ibrahim diuji dengan beberapa siri PRK untuk melihat keupayaan UMNO berdepan kemelut dan krisis, tetapi era Mahyuddin dalam tempoh PRK tidak perlu diadakan jika ada kekosongan selepas jarak 3 tahun PRU terakhir, ertinya tiada PRK selepas Mei 2016. PRN Sarawak pada penghujung April 2016, tidaklah menepati mengesani impaks kepada BN, kerana tiada penglibatan UMNO di Sarawak. 
 


 


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan