Isnin, 7 Mac 2016

Gerakan tukar PM

GERAKAN TUKAR PERDANA MENTERI: GERAKAN ELIT ATAU GERAKAN MASSA

Hari Jumaat (4/3/2016) satu pertemuan melibatkan tokoh-tokoh besar politik, Majlis Deklarasi Anti Najib telah diadakan di ibukota. Pertemuan yang dianjurkan oleh Dato' Zaid Ibrahim, bekas ahli kabinet Persekutuan, disertai tokoh-tokoh antaranya bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad, TS Mahyuddin Yassin, Tun Ling Liong Sik, Dato' Mukhriz Mahathir, DS Azmin Mohamad Ali, Dato' Mustapha Ali, TS Sanusi Junid, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu. Diberitakan ditandatangani oleh 45 individu, bahagian besarnya tokoh-tokoh Melayu disertai sama 9 tokoh politik dan aktivis NGO bukan Melayu.

Deklarasi empat perkara yang asasnya usaha untuk menurunkan DS Mohd Najib dari jawatan Perdana Menteri, sebagai menyuarakan desakan masyakat semasa yang menuntut perlunya sebuah pentadbiran baru dalam masa terdekat. Tuntutan tanpa menunggu tempoh PRU14 yang menjelang pertengahan 2018 dengan hasrat utama menyelamatkan Malaysia dari kemelut  urus tadbir yang bersimpang siur dengan kegelisahan sosial kesan prestasi ekonomi yang merudum. Isu-isu 1MDB, duit derma RM2.6 billion, hutang RM42 juta ditanggung 1MDB, merupakan antara isu yang menghambat satu kesedaran membentuk pakatan menyingkirkan kepimpinan utama kerajaan.

Mereka yang menandatangani deklarasi tersebut berlatarbelakang berbeza: politik dan NGO, mengambil tanggungjawab merintis agenda menyelamatkan Malaysia dari kebokborakan politik dan ekonomi. Satu usaha menggabungkan semua tenaga demi masa depan negara yang lebih telus urus tadbirnya termasuk pengurusan harta awam dan ekonomi negara. Deklarasi ini adalah lebih berobjektifkan merintis kesedaran awam atau membuka ruang maklumat keperluan penukaran PM bergerak ke akar umbi: rakyat jelata tanpa batasan politik dan ras. 

Reaksi awal dari deklarasi ini ialah dari kepimpinan dan aktivis UMNO, yang melihat pertukaran PM adalah usaha tidak demokratik untuk meruntuhkan UMNO. Persepsi yang bertunjangkan parti menguasai kerajaan yang mengcengkam urus tadbir semata-mata hendak memperkukuhkan doktrin UMNO adalah nyawa dan penentu perjalanan hidup. Tanpa UMNO, segala-galanya musnah dan memberi masalah masa depan masyarakat dan negara, sedangkan hasrat daklarasi cuma menukar PM sahaja bukan menyingkirkan UMNO dari tampuk kuasa. 

Justeru permasalahan dan berbagai isu yang dibangkitkan kelompok gerakan deklarasi dikaitkan dengan DS Najib sebagai  pencetusnya. DS Najib sebagai watak utama yang dipertanggungjawabkan tahap urus tadbir yang mencorot serta bebanan ekonomi yang ditanggung rakyat terbanyak. Bebanan GST, peningkatan kos kehidupan, peningkatan kadar pengangguran, kebanjiran pekerja asing, adalah antara isu-isu yang dijangka akan menggugat kehidupan rakyat, maka perlu satu gerakan menyelamatkan Malaysia dengan cara menyingkirkan kepala kerajaan.

Keupayaan pihak pengajur mempertemukan berbagai golongan dan latar belakang politik berbeza untuk sama-sama menandatangani satu pengistiharan meminta PM ditukar,  adalah satu keberanian politik di kala kemerosotan sokongan popular rakyat, bermula PRU12. Pengorbanan dan kesanggupan individu yang berbagai latar belakang tersebut bersepakat amat mahal nilainya, kerana risiko politik yang berbagai mungkin. 

Soalnya, sejauh manakah sokongan sebenar rakyat terbanyak untuk menukar seorang PM, masa akan menjawabnya. Sejauhmanakah kejerihan dan keperitan rakyat berdepan dengan situasi semasa, akan mempercepatkan dan mengajak rakyat turut sama menuntut sebagaimana saranan deklarasi. Rakyat terbanyak berbelah lagi bersama gerakan deklarasi kerana yang berubah sekadar tukar kepala pemerintah, ianya lebih bersifat peribadi atau dengan kata lain, menyelesaikan masalah dalaman UMNO serta memperkuatkan UMNO, untuk memimpin BN yang semakin kurang popular. 

Penyingkiran PM berkecenderungan untuk membuka ruang baru menguji sejauh mana kemampuan kerajaan baru pimpinan UMNO dapat membaiki kelemahan yang dikritik musuh dalaman dan luaran parti itu. Prestasi dan kemampuan kerajaan baru akan menentukan apakah UMNO bersama BN akan perlu dikekalkan dalam PRU14 nanti. Bagi rakyat terbanyak demi masa depan ialah kerajaan yang lebih tinggi intergriti, lebih telus dan lebih matang dalam memenuhi inspirasi politik baru masyarakat berbilang kaum.

  






 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan