Rabu, 30 Mac 2016

Komunisme dan isu banglo

ANTARA KOMUNISME DAN BANGLO RM2.8 JUTA

Cepatnya setengah media arus perdana membina persepsi masyarakat terhadap perjuangan DAP. Sudah sekian lama DAP digambarkan sebuah parti berideologi komunisme dengan melabelkan pemimpin-pemimpin seperti Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Anthony Loke dan lain-lain sebagai bapak-bapak komunis. 

Di kala eratnya kerjasama tahaluf siyasi Pas dan PKR dengan DAP menjelang Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 2008), label dan propaganda kaitan DAP dengan perjuangan komunisme dipertingkatkan. Masa itu, tahaluf siyasi tidak rasmi atas kerjasama atau persefahaman pilihan raya, di mana 3 parti berkenaan berpakat tidak berlaku pertembungan antara parti-parti tersebut menetang Barisan Nasional. Kerjasama pembahagian kawasan pilihan raya atau kerusi untuk mempastikan dua perkara: pertandingan dua penjuru atau satu lawan satu antara BN dengan pembangkang, dan tidak berlaku BN menang tanpa bertanding di mana-mana bahagian pilihan raya.

Dalam tempoh atau masa tertentu, media letronik menayangkan filem atau drama berkaiatan keganasan komunis zaman belum merdeka dan ancaman rusuhan kaum selepas merdeka.  Khalayak awam didedahkan secara simboliknya bahayanya menyokong atau mengundi calon-calon DAP kerana DAP dikaitkan dengan komunisme. Lebih mendalam lagi tersirat implikasi politik mengundi atau menyokong Pas dan PKR yang bekerjasama dengan DAP. Strateginya, khalayak perlu menolak calon-calon pakatan pembangkang demi mengelakkan ketidakstabilan politik. 

Khalayak pemilih yang mempunyai visi masa depan ke arah memenuhi realiti politik baru, tidak mudah diperbodohkan dengan dongengan media pro-kerajaan. DAP berjaya mendapat sebuah kerajaan negeri. Undi kepada calon-calon DAP serta perwakilan DAP di dewan perundangan negeri mahupun Persekutuan meningkat secara mendadak. Propaganda DAP sebagai komunis semakin rancak, walaupun komunisme sudah semakin ditolak masyarakat antarabangsa. Tamadun komunisme di China dan Soviet mula runtuh. Pelik juga, rakyat Malaysia memilih parti aliran komunisme iaitu DAP, mengikut logik dan propaganda media dan jurucakap UMNO khususnya. 

Bila dapat kuasa di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan DAP akan mengamalkan etika pentadbiran ala Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz. Sukar juga hendak terima propaganda UMNO/BN, seorang komunis menyangjung pemerintah yang menjalankan urusan pentadbiran dan mengurus kewangan yang bertunjangkan nilai-nilai murni yang meletakkan hubungan dengan Pencipta itu lebih diutamakan. Mana mungkin seorang komunis menyanjung dan mengiktiraf  seorang ketua pemerintah Islam yang mewarisi sunnah Rasulullah dan peraturan tuntutan Ilahi. 

Selepas PRU13, dihighlightkan saluran dana dari Israel untuk DAP, untuk membantu parti itu dalam pilihan raya. Awam tertunggu-tunggu tindakan drastik pihak berkuasa menerusi alatannya: PDRM dan SPRM, sebagaimana tindakan bila ada aduan salahguna kuasa atau seumpamanya ke atas Tuan Guru Nik Abdul Aziz masa jadi MB Kelantan. Hari ini ada aduan, besok terus serbu pejabat MB Kelantan. 

Tuduhan kaitan dengan Israel menjadi tandatanya lantaran tiada dakwaan atau siasatan ke atas DAP atau kepimpinannya. Inipun satu keganjilan, bagaimana komunis, dalam masa sama ada hubungan dengan zionis, sedangkan komunisme amat bertentangan dengan zionisme yang tebal fahaman kapitalisme. Mana ada rakyat yang celik ilmu boleh terima DAP yang dituduh sebagai komunis dan bersongkol dengan Israel. 

Hari ini, Lim Guan Eng berdepan dengan isu pembelian banglo RM2.8 juta, dengan tuduhan terlibat dengan pengaturan proses pembelian yang berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa. SPRM sudahpun mulai siasatannya. Urusan Guan Eng dengan SPRM dan agensi pelaksana perundangan yang lain, kita serahkan kepada peruntukan dan kuasa perundangan. Isunya membongkarkan realiti propaganda musuh DAP khususnya UMNO/BN yang akhirnya meletakkan pihak musuh DAP sengaja merekacipta agenda palsu. Orang yang tidak memihak kepada mana-mana sokongan politik, akan tertawa di atas idea yang bertentangan, bagaimana seorang komunis boleh hidup bergaya dan eksklusif. Apakah Lim Guan Eng sudah meninggalkan dunia komunis, setelah ada hubungan dengan Israel, berubah gaya hidup dalam sekelip mata. Mungkin musuh politik DAP agak gusar bila penganut komunisme berubah gaya hidup sebagai mereka bila dapat kuasa, harta dan kekayaan. Justeru itu, dicungkilnya perubahan gaya hidup seorang yang dituduh bersama partinya sebagai penganut komunisme, seolah-olah musuh DAP amat sayang kiranya DAP tidak lagi komunis. 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan