Khamis, 17 Mac 2016

Rakyat bangkit

RAKYAT BANGKIT BILA PERUT KOSONG

Gerakan rakyat secara besaran dapat dikesan dari pengalaman saling bergantungan antara faktor politik dengan faktor ekonomi. Sekurang-kurangnya 2 pengalaman krisis ekonomi pengalaman Malaysia yang mencetuskan mobilisasi atau gerakan kebangkitan rakyat berskala besar. Kesan krisis ekonomi yang mencetuskan gelombang politik yang berjaya mencetus perubahan lanskap politik. 

Berbeza dengan krisis ekonomi pertama dalam tahun 1973-1974, yang meletakkan negara kita terkena tempias inflasi, justeru iklim pasca 13 Mei, gagal menarik gelombang politik. Dalam kesempitan hidup kesan kenaikan harga barangan  serta kos kehidupan, tetapi rakyat memberikan mandat yang besar kepada Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum 1974 (PRU3).  

Persoalan mengisi perut dikesampingkan kerana agenda perpaduan kaum dan solidariti nasional menenggelamkan isu lain. Keperitan hubungan antara kaum ekoran Peristiwa 13 Mei 1969 dan pergantungan Parlimen (1969-1970), menjadikan agenda utama ialah memulihkan demokrasi dan perpaduan. Ketidakstabilan ekonomi kesan dari inflasi luar negara gagal menjadi isu nasional yang boleh menggerakkan kebangkitan rakyat. 

Rakyat dipersonakan dengan agenda besar gagasan BN, sebagai lambang penyatuan dan perpaduan merentasi perkauman, sokongan besar diberikan kepada BN, dengan kejayaan kemenangan tanpa bertanding BN di  90 kerusi: Parlimen (47) dan negeri (43). Menggambarkan hampir tiada tentangan untuk BN khususnya di kawasan luar bandar dan pinggir bandar. Pengundi bandar utama sahaja memberi undi kepada pembangkang: DAP (9 kerusi Parlimen) dan Pekemas (1 kerusi Parlimen), sebagai mewakili suara pengaduan rakyat. 

Lepas pilihan raya, barulah bangkit kesedaran rakyat tentang kehimpitan kehidupan. Bermula dari Peristiwa Tasek Utara mewakili keperitan kehidupan rakyat marhein di sektor bandar dan memuncak ke Demonstrasi Baling sebagai suara tekanan kehidupan penghuni sektor desa, bila harga getah jatuh dan harga barangan melambung naik.  Namun demikian, krisis ekonomi 1973-1974, sungguhpun gerakan kebangkitan sudah bermula menerusi penglibatan beberapa sektor: mahasiswa, kepimpinan belia, parti pembangkang, kesatuan sekerja dan kumpulan pendesak (pressure groups), tetapi gagal memobilisasi rakyat terbanyak merentasi kaum dan wilayah. 

Kemelesetan ekonomi 1987-1990, yang buat pertama kalinya mempamirkan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan keluaran IPTA di samping lepasan atau tahap pendidikan lain, banyak membantu kemelut politik masa itu. Kelembaban ekonomi  ekoran kemelesetan di mana penawaran perkhidmatan dan barangan yang tinggi di luar kesangguhan keperluan dan permintaan aggregate. Persaingan sengit perebutan jawatan tertinggi UMNO telah mencampakkan krisis dalam UMNO yang merebak ke peringkat akar umbi dibantu dengan krisis ekonomi, memperlihatkan keterlibatan yang lebih merata dan meluas. 

Krisis politik UMNO yang datang bersama krisis ekonomi memberikan peluang kepada pengundi menterjemahkannya di peti undi. Justeru itu, kejatuhan sokongan kepada UMNO khususnya bukan semata-mata kesan dari krisis dalaman parti tetapi tidak kurang penting ialah menginterpretasikan kejerihan hidup lantaran tekanan kemelesetan ekonomi, semasa membuat keputusan pada hari membuang undi. Undi protest sebagai satu manifestasi kekecewaan,  kemiskinan, pengangguran dan jurang ketidakseimbangan dalam masyarakat. 

Kekecawaan kepada kegagalan sasaran target penyertaan dan pemilikan kekayaan 30% di tangan orang Melayu dan Bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB), dijadikan isu induk dalam persaingan kuasa dalam UMNO. Era 1987-1990 adalah tahap akhir gagasan DEB, di mana data menunjukkan pencapaian kaum Bumiputera di sekitar 19% sahaja. Kekecewaan ini adalah antara faktor utama penolakan besar-besaran terhadap UMNO/BN di kawasan majoriti Melayu di Pantai Timur khasnya dalam PRU8 (PRU 1990). 

UMNO hilang sebuah kerajaan negeri, di samping kemerotoan undi dan hilang kerusi di beberapa negeri. Kerakusan ekonomi dan pencabulan intergriti meletakkan gabungan pembangkang di bawah Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat membawa tema "selamatkan Malaysia". Buat pertama kalinya, pembangkang Melayu berjaya menghantar perwakilan paling ramai ke Parlimen, 15 wakil rakyat dari Semangat 46 dan Pas, berbanding dengan hanya seorang pembangkang Melayu dalam PRU7 (PRU1986), 5 dalam PRU6 (PRU 1982) dan PRU5 (PRU 1978). 

Kegagalan DEB disertai sama krisis ekonomi 1997/98 membawa kepada kemuncak krisis politik yang mencetuskan "gelombang reformasi" ekoran pemecatan DS Anwar Ibrahim tahun 1998. Krisis ekonomi dan politik ini berjaya menggerakkan penyertaan rakyat, khususnya orang Melayu. PRU10 (PRU 1999) yang terpaksa dipanggil lantaran mengendurkan kebangkitan massa, gagal menghalang ledakan kemarahan dan simpatisan orang Melayu terhadap pemecatan DS Anwar dan kesan kemudaratan ekonomi. 

Dalam PRU tersebut, UMNO dan BN hilang banyak kerusi di kawasan luar bandar dan pinggir bandar; kawasan majoriti pengundi Melayu. UMNO/BN bukan sekadar gagal merampas Kelantan tetapi hilang sebuah lagi kerajaan negeri; Terengganu. Sebaliknya, BN terus menguasai kawasan bandar dan berjaya mematahkan Projek Tanjung 3 DAP untuk kuasai negeri Pulau Pinang.  Sekaligus menyimpulkan gerakan gelombang Reformasi hanya disokong oleh orang Melayu dan krisis ekonomi hanya memberi kesan ke atas sektor luar bandar dan sektor tani. Hasilnya, buat julung kalinya, perwakilan Melayu lebih ramai dihantar ke Parlimen; 32 orang: Pas (27) dan Keadilan (5), menguasai keanggotaan pembangkang di Parlimen. Buat pertama kali, anggota Parlimen Melayu dilantik sebagai Ketua Pembangkang, selepas penubuhan BN (1974); Dato' Fadzil Noor. 

Senario semasa hari ini; krisis dalam UMNO, parti utama dalam gabungan BN yang memerintah, akan menentukan apakah tindakan rakyat terbanyak selanjutnya. Kejatuhan prestasi BN bermula PRU12 (PRU 2008) membawa ke PRU13 (PRU 2013) memperlihatkan bermulanya hari-hari terakhir sebuah pemerintah yang dipilih menerusi sistem demokrasi kepilihanrayaan. Kegemilangan BN dalam 11 siri PRU yang digambarkan dengan besarnya jumlah kerusi-kerusi yang dimenangi tanpa bertanding, bukan kerana kesilapan teknikal tetapi ketidakupayaan parti lawan meletakkan calon, tingginya peratusan undi BN, besarnya bilangan calon-calon lawan hilang wang pertaruhan. Dua PRU terakhir menyaksikan, persaingan lebih sengit, jika ada calon menang tak bertanding disebabkan masalah teknikal pihak lawan dan sudah tiada lagi calon hilang wang pertaruhan. Justeru itu, dalam PRU terakhir, jumlah undi yang dikumpulkan oleh BN atau undi popular cuma 47% dari undi keseluruhan. Ertinya, BN yang membentuk kerajaan Persekutuan hari ini hanya disokong oleh kumpulan minoriti, tak sampai separuh atau bawah 50%

Suasana hari ini, dengan kemuncak deklarasi meminta DS Mohd Najib melepaskan jawatan PM ekoran kemelut dalam pentadbiran dan politik kepartian akan menguji tahap kesedaran rakyat untuk bangkit sebagaimana tahun 1990 atau 1999. Kemelut yang melanda parti dan kerajaan berbangkit dari isu derma RM2.6 billion, tanggungan dan hutang 1MDB, membawa kepada pengguguran jawatan eksekutif beberapa pemimpin utama UMNO, menunggu untuk digarapkan demi menyakinkan rakyat untuk bangkit menuntut perubahan. Kejatuhan harga minyak bertentangan kenaikan kos barangan lain yang mendorong kepada kemelut ekonomi semasa; pemberhentian pekerja, meningkat pengangguran, kenaikan kos kehidupan. 

Kegagalan pihak pemerintah memberikan penjelasan yang menyakinkan beberapa isu kontraversi disertai dengan ketidakstabilan ekonomi hari ini, akan mempercepatkan menghambat khalayak massa memikirkan perubahan, sebagaimana gelombangan rakyat 1990 dan 1999. Dalam keadaan ketenatan menanggung kos kehidupan, biasanya memudahkan kumpulan yang kritis memanipulasi isu untuk mendapat tarikan dan reaksi rakyat yang dahagakan keadilan, tuntutan hak dan cakna sosial.  

 




 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan