Jumaat, 25 Mac 2016

Blok ketiga

PERANAN PAS SEBAGAI KUASA KETIGA

Keputusan Pas mengumumkan akan berperanan sebagai kuasa ketiga dalam amalan demokrasi berparlimen model British amalan negara kita mengundang lebih banyak pandangan kontra berbanding faktor menyokong. Pas meletakkan rasionaliti keperluan satu tenaga yang bukan sekadar membangkang tetapi bekerjasama dengan mana-mana pihak pembangkang atau kerajaan demi politik matang dan politik sejahtera

Sistem demokrasi kepilihanraya berasaskan kepada amalan sistem parlimen Westminster Abbey atau cedukan sistem Britain di mana badan perundangan atau legislatif terdiri dari dua dewan: dewan rendah dianggotai ahli berasaskan perwakilan mengikut kawasan pilihan raya, dan sebuah dewan tinggi dengan keahlian dilantik.  

Demokrasi kepilihanrayaan  gaya Britain mengiktiraf hak kebebasan bersuara, kebebasan berorganisasi dan kebebasan memilih yang memberikan sistem berbagai parti. Selepas Perang Dunia Kedua, pilihan raya di Britain didominasi oleh 3 parti utama: Conservative, Labour dan Liberal. 3 parti ini bertanding di hampir semua kawasan pilihan raya atau kerusi, di samping parti-parti wilayah yang meletakkan calon terbatas kepada wilayah sahaja: Scotland, Welsh dan Ireland Utara, sementara parti-parti kecil yang lain bertanding bertaburan dengan bilangan calon atau kawasan yang terhad. Sejarah demokrasi berparlimen Great Britain, pertandingan 3 penjuru bermula dalam pilihan raya umum 1923.

Pilihan raya umum pertama bagi Parlimen atau House of Commons Great Britain selepas perang ialah dalam tahun 1945. Saingan adalah antara Conservative dan Labour, sementara Liberal adalah kuasa ketiga sejak 1945 hingga terakhirnya 2015. Sebanyak 19 kali pilihan raya umum diadakan dalam tempoh tersebut setiap empat atau lima tahun sekali, kecuali dalam tahun 1951, di mana Parlimen dibubarkan pada usia 1 tahun sahaja untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan, dan pilihan raya 1966, selepas 2 tahun pilihan raya umum 1964.  Paling singkat ialah bila pilihan raya 1974, Conservative yang pertahan kerajaan cuma kelebihan 3 kerusi mengatasi Labour. Kegagalan Conservative mengajak dua parti kecil membantu bentuk kerajaan gagal, menyebabkan kerajaan pimpinan Edward Heath tidak bertahan lama dan letak jawatan. Pilihan raya semula selepas lapan bulan iaitu dalam bulan Oktober, 1974, Labour menang dengan majoriti mudah di Parlimen. Dalam tempoh 1945-2015, kuasa adalah silih berganti antara Conservative dengan Labour. 

Oleh kerana sistem berbilang parti yang didominasi oleh 3 parti, kelompok besar undi popular adalah dikongsi bersama oleh 3 parti berkenaan. Lantaran itu, mana-mana parti yang menguasai kerajaan, walaupun menguasai majoriti mudah kerusi di House of Commons, iaitu lebih 50%, tetapi undi popular paling tinggi ialah 43.9% oleh Labour di bawah kepimpinan James Callagham dalam tahun 1979 dan 43.2% bila Labour di bawah Tony Blair merampas kerajaan dalam pilihan raya 1997. Keseluruhannya dalam tempoh 70 tahun (1945-2015), undi popular Conservative dan Labour, masing-masing sekitar 30-40%, sementara Liberal sebagai kuasa ketiga memungut kurang 20% undi popular. 

Dalam pilihan raya sepanjang tempoh 70 tahun tersebut, ketiga-tiga parti meletakkan calon paling ramai sebagai parti nasional merentasi wilayah; Conservative, Labour dan Liberal (kemudiannya Liberal Democrat dalam tahun 1992) bertanding dengan jumlah kerusi yang seimbang antara satu sama lain. Jumlah kerusi Parlimen terakhir ialah 650 dengan taburan: 533 dari England, 59 dari Scotland, 40 dari Welsh dan Ireland Utara mengandungi 18 kerusi.

Sungguhpun ada juga parti-parti yang meletakkan bilangan calon yang besar tetapi lebih bersifat bermusim dan dalam tempoh tertentu. United Kingdom Independent Party (UKIP) meletakkan 496 calon dalam pilihan raya 2005, 558 calon dalam pilihan raya 2010 dan 624 calon dalam pilihan raya 2015. UKIP gagal memenangi sebarang kerusi dalam dua percubaan pertama dan mampu menang kerusi tunggal dalam pilihan raya 2015 dengan undi popular yang memberangsangkan.


Jadual 1

Taburan Calon Parti-parti Utama Dalam Pilihan Raya Umum Britain 1974-2015

CONSERVATIVE
LABOUR
LIBERAL
SDP
1974
622
623
619

1979
622
623
577

1983
633
633
329
307
1987
633
633
633

1992
645
634
632

1997
648
639
639

2001
643
640
639

2005
630
627
626

2010
631
631
631

2015
647
631
631


Dalam pilihan raya 1983, Liberal adakan kerjasama dengan Social Democratic Party (SDP) untuk membentuk kuasa ketiga.

Dalam pilihan raya 1987, Liberal dan SDP bertanding atas satu lambing & platform atas nama SDP-Liberal Alliance.

Dalam pilihan raya 1992, Liberal Democrat ditubuhkan hasil gabungan Liberal dan SDP


Jadual 1 memaparkan corak penglibatan parti-parti utama dalam demokrasi kepilihanrayaan di Britain. Liberal Democrat yang membentuk  kuasa ketiga atau sebagai alternatif kepada 2 parti peneraju kerajaan, meneruskan peranan walaupun tidak pernah diberi sokongan mutlak menguasai kerajaan. 

Sungguhpun Liberal Democrat memperlihatkan prestasi sekadar kuasa ketiga yang kurang pengaruh di Parlimen lantaran jumlah kerusi yang dipungut gagal untuk mencabar parti pemerintah atau pembangkang utama, tetapi undi popularnya mencerminkan kepentingan suara blok ketiga. Prestasi Liberal Democrat sebagaimana Jadual 2, sebenarnya menggambarkan suara hati pemilih menerusi undi popular. Dalam pilihan raya 1974 (Oktober), sungguhpun Liberal Democrat cuma dapat 13 kerusi atau 2.07% kerusi House of Commons tetapi undi popularnya adalah 18.3%. Undi popular pungutan Liberal Democrat menterjemahkan suara sebenar rakyat berbanding pungutan kerusi. Labour yang perolehi 319 kerusi atau 50.2% kerusi sedangkan undi popularnya hanya 39.2%, sementara Conservative dengan 277 kerusi atau 43.6%.
 


Jadual 2

Taburan Kerusi Dimenangi Parti-parti Utama Dalam Pilihan Raya Umum Britain 1974-2015

CONSERVATIVE
LABOUR
LIBERAL
SDP
1974
277
319
13

1979
339
269
11

1983
397
209
17
6
1987
376
229
22

1992
336
271
20

1997
165
418
46

2001
166
413
52

2005
198
355
62

2010
306
258
57

2015
330
232
8



Jadual 2 menyimpulkan ada kaitan antara prestasi Conservative dengan Liberal Democrat. Seolah-olah ada ayungan (swing) undi dari Conservative kepada Liberal Democrat, sebenarnya tidak kerana yang berubah ialah bilangan kerusi tetapi undi diperolehi oleh keseluruhan calon-calon kedua-dua parti merosot antara 1987 hingga 1997. 

Kesimpulan dari maklumat di atas dalam tempoh 70 tahun, walaupun dua parti silih berganti menguasai kerajaan, tetapi demokrasi Britain tidak menjurus kepada sistem dua parti. Faktor utama ialah peranan Liberal Demokrat kekal dan teguh sebagai kuasa ketiga, walaupun pada masa salah satu parti besar berkenaan gagal bentuk kerajaan majoriti. Sungguhpun Conservative gagal bentuk kerajaan majoriti selepas pilihan raya 1974 yang pertama (Februari), Liberal Democrat berkecuali, memaksa pilihan raya kedua.

Berbeza dengan hasil pilihan raya 2010, yang memberikan Conservative gagal bentuk kerajaan walaupun Labour gagal pertahan kuasa pemerintah. Conservative menang 306 kerusi, sedangkan untuk bentuk kerajaan majoriti memerlukan 326 kerusi dari jumlah 650 kerusi House of Commons. Dengan penyertaan Liberal Democrat yang memiliki 57 kerusi, terbentuklah kerajaan campuran; pemimpin Conservative, David Cameron sebagai Perdana Menteri, manakala pemimpin Liberal Democrat, Nick Clegg sebagai Timbalan Perdana Menteri. Setelah lebih 70 peranan Liberal sebagai kuasa ketiga dengan peranan check and balance antara kerajaan dengan government-in-waiting, akhirnya terpaksa mengalah kepada prinsip dan perjuangan demi mengelakkan pilihan raya baru untuk mandat baru dari rakyat. 

Apakah tindakan politik matang dan politik sejahtera diambil Liberal Democrat tersebut demi mengurangkan terlalu banyak politking, masa dan kewangan awam, diambil panduan atau rujukan Pas dalam membentuk dan mengistiharkan Pas sebagai blok ketiga dalam politik demokrasi berparlimen gaya Malaysia. Mungkinkah cetusan "politik matang dan sejahtera" mengambil iktibar dan sumber rujukan pengalaman kuasa ketiga dalam politik Britain yang lebih tua dan lama establishmentnya. 

Pengorbanan Liberal Democrat menyingkirkan peranan kuasa ketiga yang didominasinya sekian lama memberikan implikasi negatif. Rakyat yang mengundi Liberal Democrat yang setia menyokong kuasa ketiga akhirnya mengajar Liberal Democrat dalam pilihan raya umum 2015. Pilihan raya 2015 memberi dua bacaan jelas apa pengundi mahu: i. mereka hampa harapan Liberal Democrat tidak lagi berperanan sebagai kuasa ketiga, ii. mengalih kepada Conservative membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.  

Sokongan kepada Liberal Democrat menjunang kepada 8 kerusi sahaja atau 1.2% dan undi popularnya jatuh dari  6,836,248 undi atau 23.0% dalam pilihan raya 2010 kepada 2,415,862 undi atau 7.9%. Sokongan kepada Conservative dan Labour meningkat kerana pengundi mahu melihat sebuah kerajaan dibina atas sokongan kukuh bukan lagi kerajaan dibina atas asas perkongsian kuasa. Kerusi Conservative bertambah dan undi popular bertambah dari 10,703,654 undi atau 36.1% kepada 11,334,576 undi atau 36.9%. Pungutan undi Labour juga meningkat dari 8,606,517 undi atau 29.0% kepada 9,347,304 undi atau 30.4% tetapi kerusi berkurangan, kerana ketidakseimbangan bilangan pemilih antara kawasan pilihan raya. 

Liberal Democrat yang mempamirkan peningkatan peranan sebagai kuasa ketiga dalam tempoh 30 tahun terakhir dengan peningkatan perwakilan di Parlimen setiap kali pilihan raya, menerima kesan yang memilukan bila berkongsi kuasa membantu Conservative bentuk kerajaan, 2010. 

Scottish National Party (SNP) yang terhad aktiviti dan bertanding di negeri Scotland sahaja berjaya meningkatkan undi dan kerusi, menjadikan SNP sebagai parti ketiga terkuat di Parlimen Great Britain. Dalam pilihan-pilihan raya lepas, SNP biasanya menang 5 atau 6 kerusi sahaja.  Di Scotland terdapat 59 kawasan pilihan raya Parlimen. Dalam pilihan raya 2015, SNP menang 56 kerusi, sementara bakinya dimenangi parti-parti wilayah. Sebelum ini, parti-parti utama kebangsaan Conservative dan Labour berjaya memenangi kerusi-kerusi di negeri ini. 

SNP mencatat peningkatan sokongan dengan meraih 1,454,436 undi atau 4.7% undi popular berbanding 491,386 undi atau 1.7% undi popular 2010. Dalam pilihan raya sebelum ini, pencapaian kerusi Parlimen SNP yang meletakkan calon di semua 59 kerusi di Sotland ialah: 6 (2010), 6 (2005), 5 (2001).  

United Kingdom Independent Party (UKIP) yang meletakkan 624 calon dalam pilihan raya 2015, mengatasi undi popular Liberal Democrat. UKIP perolehi 3,881,129 undi atau 12.6%, berbanding 919,471 undi atau 3.1% dalam pilihan raya 2010, dengan 558 calon. Ini menjadikan UKIP sebagai parti ketiga paling popular dari sudut sokongan popular massa. Di samping itu, Green (gabungan parti-parti Green wilayah) meningkatkan undi popular dari 265,243 undi atau 0.9% dalam tahun 2010 dengan 310 calon kepada  1,157,613 undi atau 3.8% dalam pilihan raya 2015, yang ditandingi 575 calon. 

Kejatuhan undi atau sokongan Liberal Democrat sebagai kuasa ketiga bolehkan ditafsirkan sebagai penyokong kuasa ketiga mengayung atau pindah undi kepada SNP di Scotland, dan UKIP dan Green di negeri England dan Welsh. Sementara di Ireland Utara yang mengandungi 18 kerusi Parlimen berkisar di kalangan parti-parti wilayah sejak sekian lama. 

Kesan cukup besar dalam politik Britain bila parti yang menggagaskan kuasa ketiga memihak atau menjadi penentu, kadang-kadang jadi "spoiler" atau pengacau mana-mana parti yang hendak bentuk kerajaan bila gagal dapat majoriti kerusi, akan mengubah persepsi dan tanggapan awam. Perubahan tanggapan ini memberi impaks cukup besar masa depan parti. 

Parlimen Britain pernah berdepan situasi sama dalam tahun 1951. Conservative yang gagal bentuk kerajaan majoriti, berkerjasama dengan parti-parti kecil. Kerjasama ini berlarutan dalam beberapa pilihan raya selepas itu. Tetapi Liberal bertahan sebagai kuasa ketiga dan tidak terlibat dengan usaha membantu Conservative. Ketegasan ini membolehkan Liberal (kemudiannya Liberal Democrat) bertahan sebagai blok ketiga dalam sistem demokrasi berparlimen Great Britain, sehinggalah 2010. 

Menjadi perhatian kini, pengalaman Liberal Democrat yang mewarnai gelanggang politik secular demokrasi Westminster, apakah alasan Pas membuat keputusan membentuk blok ketiga. Alasan menjadi pembangkang alternatif, yang boleh berperanan sebagai penasihat kepada parti yang membentuk kerajaan. Politik Malaysia yang baru menampakkan ke arah sistem dua parti setelah kejayaan pakatan pembangkang dalam dua PRU terakhir. Salah satu keberuntungan atau impaks besar ialah buat pertama kalinya parti pemerintah gagal mendapat undi popular yang rendah, di bawah 50%. 

Seolah-olah perancangan Pas ke arah kuasa ketiga untuk mengelakkan sistem dua parti yang membuka ruang yang lebih luas ke arah saingan lebih sengit dua penjuru yang membuka kebarangkalian lebih tinggi untuk bertukar kuasa. Kemungkinan juga, kuasa ketiga membuka ruang kepada saingan permintaan untuk pengkongsian kuasa. Sebagai kuasa ketiga, Pas berkecenderungan menjadi penentu kuasa atau kuasa tawar-menawar, dalam politik berbilang parti. 

 


 





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan